Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz, yang kini bercuti sakit, akan kembali bertugas pada 9 Ogos ini, demikian menurut satu kenyataan kementerian itu hari ini.

Ia juga menjelaskan bahawa Rafidah tidak dapat menghadiri mesyuarat kabinet semalam kerana menjalani rawatan pada lutut beliau susulan daripada pembedahan yang dijalaninya tahun lalu.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsuddin Osman mengesahkan Rafidah sedang cuti sakit tetapi tidak menyatakan tempohnya.

Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata kabinet akan meminta Rafidah memberikan pandangannya berhubung perkara yang ditimbulkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pengeluaran permit import (AP).

Berikutan itu, isu pengeluaran AP kereta tidak dibincangkan pada mesyuarat Kabinet semalam, yang dipengerusikan Najib.

Pembantu Rafidah pula dilaporkan hari ini mengesahkan bahawa menteri itu bercuti tetapi tidak tahu untuk berapa lama.

Najib juga dilaporkan berkata, kabinet ingin tahu penjelasan Rafidah kerana ada kenyataan Dr Mahathir dan jawapan balik daripada bekas Perdana Menteri itu.

Dr Mahathir yang juga Penasihat Proton sebelum ini mendakwa Rafidah tidak membuat kenyataan benar kepada perwakilan di Perhimpunan Agung Umno mengenai pengeluaran AP.

Rafidah jelas minggu depan

Sementara itu, semasa di Kuantan, Najib berkata Rafidah akan memberi penjelasan "apa saja yang dikehendaki kabinet" berhubung isu AP di mesyuarat kabinet minggu depan.

Katanya, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, yang sepatutnya membuat penjelasan berhubung perkara berkenaan dalam mesyuarat kabinet semalam, tidak dapat hadir atas sebab kesihatan.

"Datuk Seri Rafidah Aziz tak dapat hadir dalam mensyuarat jemaah menteri semalam kerana urusan kesihatannya yang perlu dikendalikan juga.

"Saya difahamkan minggu depan Datuk Seri Rafidah Aziz akan hadir dalam mesyuarat, segala penjelasan yang diperlukan kabinet akan dibincangkan dalam mesyuarat itu," katanya selepas menghadiri taklimat pembangunan daerah Pekan.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata menteri berkenaan ada

menghubunginya semalam bagi memaklumkan ketidakhadirannya atas sebab

kesihatan.