Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar mahu Najib jelaskan jika Shafee terlibat
Diterbitkan:  Jul 10, 2017 6:45 PM
Dikemaskini: 10:54 AM

Bekas pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan jika peguam terkenal Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah terbabit dalam penyambungan perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Makinudin.

Sehubungan itu, belia berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu pada kadar segera mengesahkan sama ada perkara ini adalah benar atau tidak.

“Saya telah difahamkan bahawa peguam Tan Sri Shafee Abdullah terlibat di dalam menyediakan pandangan perundangan serta asas untuk memutuskan perkara berkenaan penyambungan perkhidmatan Md Raus dan Zulkefli.

“Sekiranya benar, maka perkara tersebut perlu dimaklum kepada umum secara telus,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Anwar berkata lanjutan perkhidmatan selama untuk tiga tahun dan dua tahun masing-masing untuk Md Raus dan Zulkefli mengundang reaksi cukup negatif oleh umum kerana melibatkan persoalan pelanggaran perlembagaan.

Malah katanya, beberapa bekas hakim mahkamah persekutuan dan Majlis Peguam telah menyatakan penafsiran mereka bahawa penyambungan itu adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara ini amat kritikal kerana melibatkan hak rakyat untuk menikmati institusi kehakiman yang bebas,” katanya.

Jumaat lalu, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa Md Raus (foto, bawah, kiri) akan menyandang jawatan Ketua Hakim Negara bagi tempoh tiga tahun bermula 4 Ogos ini selepas dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan mulai tarikh dan bagi tempoh yang sama.

Menurut kenyataan itu, pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan yang juga hakim tambahan, dibuat mengikut Fasal (1A) Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-raja yang bersidang pada 24 dan 25 Mei tahun ini, telah memperkenankan kedua-dua pelantikan itu.

Sabtu lalu, Badan Peguam Malaysia melabelkan pelantikan dua jawatan tertinggi kehakiman sebagai "terang-terangan menyalahi perlembagaan".

Bagaimanapun, Muhammad Shafee mempunyai pandangan berbeza dan berkata hampir semua orang menyangka Md Raus melantik dirinya sendiri dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menjadi hakim tambahan.

Namun katanya, bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria adalah orang yang melantik Md Raus sebelum beliau bersara pada 30 Mac 2017.

Malaysiakini telah cuba menghubungi Muhammad Shafee untuk ulasannya.

Pada Mei lalu, Muhammad Shafee mencuri tumpuan selepas laman web Sarawak Report yang berpangkalan di London mendakwa bahawa Najib membayarnya sebanyak RM9.5 juta melalui dua tahap.

Muhammad Shafee dilantik pendakwa raya oleh bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail ketika kes liwat Anwar dibicarakan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Berikutan dakwaan Sarawak Report itu, Anwar memfailkan saman pada 9 Jun dengan menamakan kerajaan sebagai defendan untuk mengketepikan sabitannya berdasarkan pembayaran RM9.5 juta yang dilaporkan itu.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Lihat Komen
ADS