Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tan Sri Md Raus Sharif akan menyandang jawatan Ketua Hakim Negara bagi tempoh tiga tahun bermula 4 Ogos ini selepas dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan mulai tarikh dan bagi tempoh yang sama.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini menyatakan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan untuk tempoh dua tahun mulai 28 September ini, pula memegang jawatan Presiden Mahkamah Rayuan bermula tarikh dan bagi tempoh yang sama.

Menurut kenyataan itu, pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan yang juga hakim tambahan, dibuat mengikut Fasal (1A) Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-raja yang bersidang pada 24 dan 25 Mei tahun ini, telah memperkenankan kedua-dua pelantikan itu.

“Pelantikan Tan Sri Md Raus Sharif dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan setelah masing-masing mencapai umur 66 tahun dan 6 bulan adalah atas sembah cadangan dan nasihat Ketua Hakim Negara pada ketika itu, Tun Arifin Zakaria, kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Mac 2017 sebelum Yang Amat Arif bersara,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, cadangan dan nasihat berkenaan telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Fasal (1A) Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan dan aturcara tersebut juga selaras dengan peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan sekarang.

“Bagaimanapun, Kerajaan Malaysia sedang menimbangkan pembentangan cadangan di Parlimen untuk pindaan Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan, untuk meningkatkan umur persaraan bagi hakim-hakim Mahkamah Apex kepada 70 tahun. Ini adalah selaras dengan amalan dan jurisprudens Komanwel dan antarabangsa,” kata kenyataan itu.

Pada 1 April lepas, Md Raus dilantik sebagai Ketua Hakim Negara ke-14 bagi menggantikan Arifin yang bersara di usia 66 tahun dan 6 bulan pada 31 Mac lepas manakala Zulkefli dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan bagi menggantikan Md Raus.

Umur persaraan bagi para hakim ialah 66 tahun.

Sebelum ini, perkhidmatan Arifin sebagai Ketua Hakim Negara, Md Raus sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Zulkefli sebagai Hakim Besar Malaya dilanjutkan selama enam bulan.

Perkhidmatan Md Raus dalam badan kehakiman dilanjutkan dari 4 Feb ke 3 Ogos ini manakala perkhidmatan Zulkefli dilanjutkan dari 28 Mac hingga 27 September ini.

-Bernama

Lihat Komen
ADS