Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada parti dominan terlampau dalam HARAPAN
Diterbitkan:  Jul 17, 2017 8:40 AM
Dikemaskini: 1:32 AM

Struktur kepimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) sengaja dibuat seperti sedia ada dengan prinsip kerjasama jitu antara empat parti berbanding BN.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata susunan berkenaan juga bukan menjadi masalah kepada HARAPAN.

“Kalau dalam BN, Umno dilihat terlalu dominan.

"Bagi orang Melayu mungkin (mereka) suka dengan dominasi Umno dalam BN, (sebab) kononnya Umno akan mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu.

“Tetapi sebenarnya kalau kita lihat masalah Felda, MARA, Tabung Haji dan semua ini agensi-agensi yang berkait dengan orang Melayu dan Islam ini, bermasalah kerana kepimpinan Umno juga," katanya seperti dipetik Sinar Online hari ini.

Bekas menteri besar Kedah itu bercakap kepada selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri di Dewan Padang Sera, Jerlun di Kedah, semalam.

Kata terpinggir pula

HARAPAN pada 14 Julai lalu mengumumkan barisan kepimpinan serta logonya selepas tertangguh beberapa kali.

Melalui susunan itu bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai pengerusi, manakala jawatan presiden disandang oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bekas seteru Dr Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilantik sebagai penasihat umum.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu pula dilantik sebagai timbalan presiden HARAPAN.

Mukhriz sendiri dilantik menjadi naib presiden bersama Datuk Seri Azmin Ali, Chong Chieng Jen dan Salahuddin Ayub.

Pengumuman itu menarik kritikan BN yang mempersoalkan keberkesanan struktur HARAPAN yang tidak menjelaskan siapakah yang sebenarnya menjadi ketua.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi misalnya berkata, HARAPAN akan tenggelam dalam lautan politik kerana ia dikemudi tiga nakhoda berbeza.

Kata Mukhriz tiba masanya untuk parti politik di negara ini menunjukkan struktur kepimpinan yang memberi ruang kepada semua parti.

Menurutnya, kenyataan yang dibuat oleh pemimpin Umno terhadap HARAPAN menunjukkan mereka mulai resah dengan kejayaan gabungan berkenaan.

Mengenai kritikan DAP tidak diberi jawatan utama dalam HARAPAN, Mukhriz berkata, ia menafikan tuduhan pihak lain bahawa parti berkenaan akan menjadi dominan nanti.

"(Dulu) kata DAP akan ke depan, apabila kita dah tunjuk (struktur kepimpinan HARAPAN) dia kata DAP terpinggir pula," katanya.

Lihat Komen
ADS