Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
HARAPAN lantik Mahathir sebagai pengerusi
Diterbitkan:  Jul 14, 2017 12:37 AM
Dikemaskini: Jul 14, 2017 6:52 AM

Struktur dan logo Pakatan Harapan akhirnya berjaya dimuktamadkan selepas mesyuarat majlis presiden bersidang lebih empat jam hari ini.

Tun Dr Mahathir Mohamad secara rasmi dilantik sebagai pengerusi gabungan pembangkang itu. Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini meringkuk di penjara Sungai Buluh pula dinamakan sebagai Ketua Umum Pakatan Harapan, manakala isterinya, Datuk  Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dinamakan sebagai presiden.

Dr Mahathir yang membaca senarai jawatankuasa itu turut megumumkan tiga nama timbalan presiden.

“Mereka adalah Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden AMANAH Mohamad Sabu.

“Jawatan naib presiden disandang oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Chong Chien Jen dan Salahuddin Ayub,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, sebentar tadi.

Beliau diapit oleh pemimpin parti PKR, DAP, BERSATU dan AMANAH yang masing-masing memegang logo baru Pakatan Harapan.

Senarai yang diumumkan adalah seperti berikut:

Ketua Umum:
Datuk Seri Anwar Ibrahim

Pengerusi:
Tun Dr Mahathir Mohamad

Presiden:
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Timbalan-Timbalan Presiden:
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Lim Guan Eng
Mohamad Sabu

Naib- Naib Presiden:
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Datuk Seri Mukhriz Mahathir
YB Chong Chieng Jen
Salahuddin Ayub

Ketua Setiausaha:
Datuk Saifuddin Abdullah

Bendahari:
M Kula Segaran

Mahathir yang membaca kenyataan media Pakatan Harapan berkata, sejurus mendapat mandat rakyat pada PRU-14, dalam tempoh 100 hari pertama setelah membentuk kerajaan, Pakatan Harapan komited untuk melaksanakan perkara-perkara berikut:

  • Menghapuskan GST;
  • Menstabilkan harga petrol;
  • Memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat;
  • Memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh;
  • Memerangi rasuah hingga ke akar umbi;
  • Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan di-Raja skandal 1MDB; dan
  • Memulihkan Felda.

Pakatan Harapan juga berikrar memberi komitmen bahawa proses memohon pengampunan dan pembebasan Anwar akan dimulakan dalam tempoh seminggu selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan.

“Permohonan yang dikemukakan mengikut proses undang-undang ini, dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, akan membolehkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim kembali mengambil bahagian semula dalam politik negara sepenuhnya,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS