Sidang Dewan Rakyat kecoh gara-gara perkataan monyet
Persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh sebentar apabila ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bertikam lidah mengenai perkataan "monyet" dan "macam monyet" yang disebut oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas.
Persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh sebentar apabila ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bertikam lidah mengenai perkataan "monyet" dan "macam monyet" yang disebut oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas.
Isu timbul sewaktu beliau hendak menjawab soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) mengenai kes tertunggak paling lama di mahkamah.
Ketua pembangkang, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) kemudian bangun mencelah dan meminta Kayveas tidak menjawab sekiranya beliau tidak tahu.
"Jawablah berapa lama tertunggak punya," kata Lim.
"Ya saya jawab, you dengarlah dulu. Orang dari luar negara datangpun (ketika itu ahli Parlimen Kesatuan Eropah sedang menyaksikan perjalanan persidangan, Lim berlagak) macam monyet saja perangai. Memalukan negara kita ini...serupa monyet. Saya pun tak faham dari dulu macam itu juga, saya mau jawab tak mau dengar."
"Saya mau jawab kenapa kes itu tertunggak tapi tak mau dengar...kes tertunggak itu sebab dari peguam pembangkang juga...ramai pembangkang yang jadi peguam tapi kes tertunggak sebab tak datang mahkamah," kata Kayveas.
'Monyet di sarkas'
Ahli Parlimen pembangkang kemudian menggesa agar Kayveas menarik balik
perkataan itu dengan merujuk kepada Peraturan Mesyuarat Parlimen yang menyatakan bahawa ahli Parlimen tidak dibenarkan mengeluarkan kata-kata tidak sopan semasa bersidang.
Kayveas pada mulanya berkeras mempertahankan tindakan beliau yang menyatakan ahli Parlimen pembangkang "bertindak seperti monyet di sarkas" kerana enggan mendengar penjelasan yang diberikan.
Ahli Barisan Nasional (BN) Jerai, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin (foto) dan Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Larut) kemudian bangun mencelah agar ahli pembangkang yang menimbulkan kekecohan, dirujuk kepada Jawatankuasa Khas Parlimen.
Menurut laporan Bernama, ahli parlimen pembangkang juga menuntut agar Kayveas dirujuk kepada jawatankuasa itu kerana telah mengeluarkan perkataan yang tidak menyenangkan terhadap mereka.
"Peraturan Mesyuarat mengatakan bahawa ahli Parlimen tidak boleh mengeluarkan perkataan yang tidak sopan semasa bersidang. Adakah kami ini anggota pembangkang sepatutnya digelar monyet?" kata Fong.
Kayveas kemudian berkata bahawa perkataan yang dikeluarkan kepada anggota pembangkang itu "bukan monyet tetapi bertindak seperti monyet".
Rombongan ahli Parlimen Kesatuan Eropah itu telah menyaksikan perbalahan itu berterusan selama 10 minit sebelum keadaaan dapat ditenteramkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Ramli Ngah Talib.
Ramli kemudian mengarahkan agar Kayveas menarik balik perkataan "macam monyet" bagi mententeramkan keadaan dan Timbalan Menteri itu akhirnya berbuat demikian.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.