Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu hari Jumaat menuduh Datuk S. Subramaniam menikam beliau dari belakang dan menegaskan muslihat timbalannya itu sudah terbongkar.

Berikutan itu, Menteri Kerjaraya itu berkata, kini tiba masanya untuk beliau bertindak balas.

Menurut laporan Bernama, Samy berkata, beliau yakin Subramaniam (foto) terlibat dalam "segala-galanya" dan tidak akan membenarkannya menguasai MIC dengan menggunakan pintu belakang.

"Jika anda mahu bertanding melawan saya, saya akan adakan semula pemilihan (presiden). Tapi janganlah terlibat dalam kerja kotor ini," kata Samy Vellu sambil menambah, sejak menjadi presiden MIC 25 tahun lalu, beliau telah berdepan dengan "aktiviti subversif dan serangan kiri dan kanan", tetapi beliau tetap bersabar.

"Mereka cuba buktikan saya tidak layak menjadi presiden. Anda (Subramaniam) telahpun menjalankan helah anda, dan kini saya tiba masa saya bertindak. Sudah tiba masanya anggota perwakilan MIC memikirkan sama ada mereka mahu elemen-elemen subversif ini terus berada dalam parti," katanya kepada Bernama dan TV3 di Miri semalam.

Walaupun ramai yang tahu kedua-dua pemimpin paling kanan dalam MIC itu tidak sehaluan, kenyataan Samy Vellu hari ini adalah yang paling keras terhadap timbalannya itu sejak Subramaniam bertanding menentang beliau dalam pemilihan presiden MIC pada 1990 tetapi kalah.

Sejak itu, kedua-duanya berbaik-baik semula tetapi pada penghujung tahun lalu, Samy Vellu (foto) membuat kenyataan mengejutkan dengan mendakwa Subramaniam cuba memburuk-burukkannya dan usahanya untuk meningkatkan kedudukan dalam MIC.

Samy Vellu juga berkata beliau lebih suka Naib Presiden Datuk G. Palanivel menjadi timbalannya.

MIC mengadakan pemilihan presiden Mac lalu di mana Samy Vellu dipilih tanpa bertanding. Manakala pemilihan timbalan presiden, tiga naib presiden dan 25 ahli jawatankuasa kerja pusatnya akan diadakan pada 24 Jun ini.

Laporan akhbar Tamil

Kemarahan Samy Vellu itu berpunca daripada laporan muka depan dua akhbar Tamil Rabu lalu yang menyebut beliau memihak kepada Subramaniam, selain dipetik sebagai berkata bahawa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berusaha untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat India.

Menurut laporan itu, Samy Vellu berucap demikian di konvensyen MIC Johor sehari sebelum itu sebagai menjawab satu soalan anggota perwakilan kenapa masyarakat itu gagal mencapai ekuiti tiga peratus dalam Rancangan Malaysia Kelapan.

"Saya menjelaskan kepada perwakilan, walaupun Tun Mahathir telah membantu masyarakat India dalam pelbagai bidang, kita belum mencapai sasaran yang ditetapkan. Mengenai peningkatan dalam pegangan ekuiti itu, saya kata kita belum capai sasaran. Saya kata neihi (bererti 'tidak' dalam bahasa Hindi). Itu saja yang saya cakap.

"Tetapi esoknya, kedua-dua akhbar yang rapat dengan Subramaniam melaporkan bahawa saya berkata Tun Mahathir tidak melakukan apa-apa untuk masyarakat India semasa beliau menjadi perdana menteri. Tindakan ini bertujuan membunuh saya dari belakang.

"Ada seorang pemimpin MIC cuba menelefon Dr Mahathir (pada hari Rabu selepas laporan itu tersiar) yang berada di Turki pada masa itu, tetapi mujurlah saya sudahpun menghubungi Tun Mahathir dan menjelaskan bahawa itu bukannya apa yang saya cakap. Saya memberitahunya beliau berjasa besar semasa beliau menjadi perdana menteri," kata Samy Vellu.

Katanya, beliau telah meminta peguamnya menyaman kedua-dua akhbar Tamil itu, yang mendakwa mereka mempunyai rekod bagi membuktikan Samy Vellu memang cakap begitu.

"Mana rekodnya, mainkan. Oleh kerana saya tidak bercakap begitu, macam mana dia nak tunjukkan rekodnya. Jika ada orang yang menyamar seperti saya, itu soal lainlah," katanya.