Terjemahan Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau mempercayai penafian Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu berhubung laporan yang memetik beliau sebagai berkata bekas Perdana Menteri itu tidak berbuat apa-apa untuk membantu masyarakat India di Malaysia.

"Beliau menelefon saya...ketika saya berada di Turki (minggu lalu). Katanya, beliau tidak pernah berkata sedemikian. Beliau kawan baik saya, jadi saya mempercayai cakapnya," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Laporan tersebut yang disiarkan oleh dua akhbar berbahasa Tamil Makkal Osai dan Malaysia Nanban memetik presiden MIC itu mengkritik Dr Mahathir kerana tidak memenuhi janjinya kepada masyarakat India di bawah Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8).

Samy Vellu menafikan laporan tersebut dan mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kedua-dua akhbar berkenaan.

Ia kemudian semakin berlanjutan apabila Samy Vellu menuduh timbalannya S Subramaniam bertanggungjawab mencetuskannya kontroversi tersebut.

Subra tidak telefon

Mengulas lanjut mengenainya, Dr Mahathir berkata adakalanya pihak akhbar tidak melaporkan keadaan sebenarnya.

"Anda tahu, kadang-kadang wartawan menulis sesuatu yang bukan perkara sebenarnya, dan kadang-kadang juga penyunting yang mungkin menukar apa yang diberitahu wartawan kepada mereka...apabila anda membaca laporannya, ia tidak mencermin jawapan sebenarnya," tambah beliau.

Bagaimanapun, akhbar Makkal Osai dan Malaysia Nanban, telah mempertahankan laporan mereka itu.

Menjawab soalan lain, Dr Mahathir berkata, Subramaniam tidak menelefonnya berhubung perkara tersebut.

"Tidak, beliau tidak bercakap dengan saya," katanya ketika ditanya mengenai perkara itu.

Minggu lalu, Samy Vellu memberitahu pemberita, beliau telah menghubungi Dr Mahathir untuk memperjelaskan mengenai perkara tersebut.

Beliau juga mendakwa seorang lagi pemimpin MIC, yang tidak disebut namanya, telah cuba untuk menghubungi bekas Perdana Menteri itu.