Tun Musa Hitam adalah antara tokoh yang memahami gaya dan sikap lantang bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dan pada beliau, kritikan terbuka Dr Mahathir terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bukan sahaja tidak wajar, malah tidak baik untuk parti dan negara.

Walau apa pun hujah Dr Mahathir, Musa secara berseloroh berkata bekas ketua beliau itu sedang mengalami apa yang beliau gelarkan sebagai "sindrom pasca jawatan perdana menteri" yang menyebabkan bekas Perdana Menteri itu berfikir bahawa "hanya dia sahaja yang betul".

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu, beliau dulu pernah mengalami sindrom itu tetapi beliau berjaya menahan diri.

"Saya hanya berkata pada diri saya untuk tutup mulut. Saya kata pada diri saya...baik berdiam sahaja, tarik balik. Awak tidak boleh teruskan ini. Biar orang lain yang buat. Mereka boleh buat. Mungkin mereka boleh atau tidak boleh buat seperti apa yang saya mahu buat tetapi mereka kini di tempat itu.

"Mereka telah berikan sokongan penuh, sokongan penuh parti itu, rakyat. saya cadangkan supaya berhenti sahaja campur tangan dengan mereka," katanya dalam dalam temubual selama 75 minit dengan Bernama di kediamannya di Bukit Tunku.

'Sudahlah...'

Musa berkata, beliau terpanggil untuk memberi pandangan beliau kerana dukacita kritikan Dr Mahathir kini mencapai ke tahap yang membimbangkan.

"Apa yang saya boleh katakan ialah... Dr Mahathir sudahlah, cukuplah, jangan nak buat apa-apa. Kalau dia masih teruskan ni. Tak ada siapa yang untung.

"Cuma Dr Mahathir puas hati tapi yang menguntungkan yang anti-kita," katanya.

Menurut Musa, jika ada pun janji yang dikatakan dibuat di antara Dr Mahathir dan Abdullah sebelum ini, ia bukanlah sesuatu yang perlu mengikat kerana yang lebih penting ialah janji Abdullah kepada rakyat yang memberi mandat kepada beliau selaku Perdana Menteri.

Pak Lah enggan mengulas

Sementara itu, Bernama juga melaporkan, Abdullah Ahmad enggan mengulas kritikan Dr Mahathir dan ingin menumpukan perhatian bagi memenuhi amanah rakyat yang memberi sokongan kuat kepada kerajaan BN dalam pilihanraya umum lalu.

"Tak payah hurailah. Tun (Dr Mahathir) bebas nak cakap apa pun. Ini bukan satu masalah kepada saya, sebab apa, kita negara demokrasi," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kritikan bekas Perdana Menteri itu terhadapnya.

Dr Mahathir antara lain mendakwa Abdullah tidak memenuhi beberapa janji yang dibuatnya kepada beliau sebelum menjadi Perdana Menteri.

Perdana Menteri tetap enggan mengulas walaupun cuba ditanya lagi mengenai kritikan Dr Mahathir itu, selepas beliau menerangkan bahawa tumpuan beliau sekarang ialah terhadap pelaksanaan pelbagai program kerajaan.

"Sudahlah, cukuplah. (Dah) Cakap banyak dah," katanya sebelum mengakhiri sidang akhbar itu.

Tumpuan pada RMK9

Semasa menjawab soalan awal sebelum itu, Abdullah berkata beliau baru dua tahun setengah menjadi Perdana Menteri dan baru menyiapkan Rancangan Malaysia Kesembilan yang merupakan terjemahan kepada janji-janji manifesto semasa pilihan raya umum yang lepas.

Katanya di dalam manifesto itu telah disebut Malaysia perlu dibangunkan supaya menjadi negara maju berdasarkan Wawasan 2020.

"Jadi kalau itu, ia mesti ada perancangan rapi, yang betul-betul membawa kita ke arah itu," kata Abdullah.

Perdana Menteri berkata pelaksanaan program adalah penting kerana rakyat selalu bising tentang pelaksanaan.

"Pasal apa, pasal perkhidmatan (rakyat) bising sangat. Jadi kita perlu perbetul semua ini," katanya.

Oleh kerana pelaksanaan adalah penting, tumpuan perlu diberikan kepada kerja-kerja seperti ini, katanya.

Berikut ialah temubual penuh dengan Tun Musa Hitam:

Bernama: Tun, boleh tak beri pandangan mengenai konflik pendapat antara bekas Perdana Menteri dan pentadbiran kerajaan sekarang?

Tun Musa: Apa yang saya cakap ni semuanya pandangan peribadi sebab saya tidak lagi memegang apa-apa jawatan. Saya tidak lagi berada di dalam kerajaan dan di luar kerajaan pun, tiada ada hubung kait dengan sesuatu jawatan yang boleh dikatakan menggubal dasar atau strategi dalam pentadbiran.

Saya nampak begini. Tun Dr Mahathir (Mohamad), semenjak beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri telah berkali-kali mengatakan bahawa yang pertama, beliau tidak akan campur tangan dalam hal ehwal kerajaan dan politik. Sungguhpun beliau telah berkata begitu sejak mula-mula dia berhenti, melepaskan jawatan tapi saya nampak tiap-tiap kali tidak juga dia berhenti membuat sesuatu. Semua kenyataan yang dibuatnya bercanggah dengan apa yang dia janjikan.

Pada kali ini saya fikir dan memang sedar serta insaf atas kritikan dan pandangan Tun Dr Mahathir dengan secara langsung dan tidak langsung ditujukan ke atas pentadbiran Datuk Seri Abdullah Badawi.

Secara langsung, saya pernah berbual-bual dengan beliau di suatu waktu dan mendengar pandangan dia yang merupakan kritikan juga. Secara tidak langsung saya dengar orang bercakap dan laporan di dalam akhbar mengenai kritikannya.

Pada ketika itu, ia satu pendirian yang biasa yang berlaku pada sesiapa juga yang menjadi bekas atau mantan menteri, Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri. Itu perkara biasa saja.

Tetapi dalam jangka masa sebulan dua yang lepas ini, nampak saya Tun Dr Mahathir tidak segan silu. Tun Dr Mahathir telah mengenepikan segala tatasusila atau tradisi yang telah begitu lama terkenal di kalangan ahli-ahli Umno terutamanya, dan orang Melayu umumnya apabila dia dengan begitu keras dan lantang dan secara terbuka mengkritik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bukan sahaja mengkritik di dalam isu tapi nampaknya dalam mengeluarkan, dalam bahasa Inggeris, "perkataan yang tidak enak didengar kepada Perdana Menteri."

"Perkataan yang paling tidak enak didengar" yang dikeluarkan ialah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bukanlah pilihan pertamanya sebab (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) yang mendapat undi yang lebih tinggi. Padahal dalam Umno sendiri, dalam sejarahnya, itu adalah perkara biasa.

Dr Mahathir pun nombor tiga dulu. Saya pun nombor tiga dulu. Ini bukan satu perkara yang boleh dijadikan isu tapi sengaja dia bangkitkan. Bukan itu sahaja, dengan nyatakan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bukan pilihan pertama dan Najib lebih bagus, dengan secara langsung, ia seolah-olah hendak memecahkan kedua-dua mereka. Ini yang saya rasa amat dukacita. Saya amat bimbang ia akan menjadi sesuatu yang begitu negatif akibatnya.

Bernama: Implikasi yang negatif? Maksud Tun?

Tun Musa: Ya, implikasi negatif seolah-olah memberitahu Najib, "Sebenarnya saya suka awak. Awak lebih baik bukan Pak Lah." Dalam keadaan sekarang, saya fikir itu tidak sesuai dan ia merupakan satu pandangan bekas Perdana Menteri yang melemahkan semangat di dalam Umno dan kerajaan.

Kita jangan lupa bahawa Datuk Seri Abdullah Badawi telah dipilih oleh rakyat dengan majoriti yang besar, malah lebih besar daripada apa yang telah diperolehi Dr Mahathir. Sewaktu Dr Mahathir mendapat undi yang baik sekali pun tidak sebaik itu (yang diperolehi Abdullah). Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendapat undi yang lebih besar.

Pada hemat saya, undi yang begitu besar yang telah dihadiahkan oleh rakyat, diberikan oleh rakyat kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ialah kerana rakyat jelata mahukan penukaran selepas 22 tahun Dr Mahathir menjadi ketua pentadbiran dan satu daripada kekuatan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang telah mendapat sokongan rakyat ialah harapan bahawa beliau lain daripada Dr Mahathir.

Abdullah Badawi bukan Dr Mahathir dan Abdullah Badawi memberi harapan bahawa masyarakat di bawah pentadbirannya lebih terbuka, lebih telus, lebih toleran, lebih memberi kebebasan untuk memberi pendapat kepada akhbar dan sebagainya.

Sekarang kita boleh nampak dan tiada seorang pun boleh menafikan bahawa ini semua sudah wujud dan berbeza dengan zaman Dr Mahathir.

Saya sedar Datuk Seri Abdullah Badawi ada kelemahan-kelemahannya. Dr Mahathir, pada pendapat saya, pun ada banyak kelemahan-kelemahannya tetapi Dr Mahathir diberi sokongan di atas nama parti dan oleh rakyat jelata yang percaya kepada parti. Rakyat percaya bahawa parti ada kebolehan, ada kemampuan untuk memberi kepimpinan dan pentadbiran, dan mengikuti hasrat rakyat di dalam bidang pembangunan.

Saya dikatakan orang penasihat Pak Lah. Sebenarnya tidak. Saya mengaku saya pun kritik Pak Lah. Cuma Perdana Menteri sahaja yang tahu bila masa saya bertemu dengan beliau saya lebih mengkritik daripada memuji dengan lantang, dengan tidak takut untuk berterus terang.

Apa yang saya nak sarankan di sini ialah tidak ada sebab kenapa orang seperti Tun Dr Mahathir tidak boleh berbuat demikian. Lebih-lebih lagi pada waktu Dr Mahathir menjadi ketua pentadbiran dan ketua parti, dia sentiasa menuntut ahli-ahli Umno yang hendak mengkritik kerajaan supaya membuatnya mengikut saluran-saluran yang tertentu.

Dr Mahathir kata dia orang biasa sekarang maknanya dia ahli biasa. Jadi dia harus berbuat sesuatu sebagai ahli biasa iaitu mengikut tradisi. Dr Mahathir tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang membuat kenyataan, mengkritik kerajaan di luar parti atau tidak mengikut saluran. Pada pendapat saya, tidak ada sebab Dr Mahathir tidak boleh berbuat demikian seperti mana saya sedang buat.

Bernama: Maksud Tun, mengikut saluran yang betul?

Tun Musa: Ya, melalui saluran betul. Cara beliau mengkritik begitu keras dan lantang begitu tidak menguntungkan sesiapa melainkan parti pembangkang. Saya tahu orang Umno banyak mengkritik Perdana Menteri dari dahulu sampai sekarang. Bila waktu Dr Mahathir, orang kata ada rasuah. Dr Mahathir kata mana buktinya. Dr Mahathir sekarang kata ada rasuah, maka mana buktinya. Perbalahan yang sama.

Bernama: Tadi Tun menyebut tentang tindakan yang melemahkan semangat, menjejaskan semangat dalam Umno, kerajaan dan di kalangan rakyat. Adakah ini sudah berlaku?

Tun Musa: Siapa yang bercakap itu. Tun Dr Mahathir, bekas Perdana Menteri, bekas Presiden Umno. Kita bersetuju ataupun tidak, bukan soalnya. Persoalannya ialah bekas Perdana Menteri yang mengkritik dengan begitu keras dan lantang, dengan tidak segan-silu dan memperkecilkan kerajaan yang ada sekarang, kepimpinan yang ada sekarang yang dipimpin oleh Umno dan Barisan Nasional (BN). Di kalangan ahli-ahli parti dan di kalangan Barisan Nasional, mereka rasa dukacita.

Bernama: Tun melihat isu ini mempunyai impak di peringkat antarabangsa, pandangan antarabangsa terhadap Malaysia?

Tun Musa: Satu daripada impaknya ialah penganalisis ekonomi dan para pelabur melihat bahawa "ada sesuatu perkembangan tidak baik dalam Umno, iaitu parti paling penting di negara."

Ia seperti apa yang pernah saya alami (deja vu). Saya rasa ada deja vu, sejarah berulang lagi. Dulu Tunku Abdul Rahman mengkritik Dr Mahathir sewaktu Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. Keadaan menjadi begitu tidak stabil. Dan bagaimana Dr Mahathir mengkritik Tunku Abdul Rahman tapi waktu itu Dr Mahathir bukan Perdana Menteri bukan bekas Perdana Menteri. Waktu itu dia jadi penyokong kerajaan. Bagaimana Tunku Abdul Rahman yang mengkritik Dr Mahathir dengan begitu lantang dengan begitu kuat tapi waktu itu Tunku Abdul Rahman telah bersama-sama dengan mereka yang keluar daripada Umno atas nama Semangat 46. Tapi impaknya besar jugalah. Bagaimana pergolakan yang berlaku. Tapi Tunku Abdul Rahman orang luar, Bapa Malaysia.

Ini seorang yang telah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun. Sudah berakar berumbi. Yang perlu saya katakan zaman Dr Mahathir lain, zaman Datuk Seri Abdullah Badawi lain. Stail lain. Kedua-duanya lain dan ada juga isi dan kandungannya berlainan.

Dari segi tafsiran atau terjemahan apakah itu kepentingan negara pun berbeza di antara satu manusia dengan satu manusia yang lain. Saya tidak fikir tafsiran dan perterjemahan itu "sesuatu yang dimonopoli oleh hanya seorang lelaki".

Kalau Dr Mahathir kata sesuatu itu bertentangan dengan kepentingan negara, Saya terpaksa bercakap", maka Dr Mahathir mesti menghormatinya kerana apabila Datuk Seri Abdullah membuat sesuatu, dia membuat atas kepentingan negara. Lebih-lebih lagi di dalam pelbagai perkara yang telah mencetuskan ketidakpuashati Dr Mahathir itu, tentu telah dibincang di kalangan Kabinet.

Kalaupun mereka pernah menjadi anggota Kabinet Dr Mahathir, tidak bermakna apabila mereka di dalam Kabinet Datuk Abdullah Ahmad Badawi, mereka tidak boleh tukar. Pada pendapat mereka, zaman sudah bertukar, keadaan bertukar dan mereka menentukan "demi kepentingan negara", maka mereka tukar.

Bernama: Masa Tun Razak, subjek Sains dan Matematik, dasar pendidikan, semuanya diajar dalam Bahasa Melayu. Beliau (Dr Mahathir) menukarnya semasa menjadi Perdana Menteri. Beliau tukar Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris. Adakah beliau juga membatalkan sesuatu?

Tun Musa: Saya pernah mengkritik soal ini. Apabila satu pagi saya bangun, alih-alih sudah ditukar. Pengajaran Sains dan Matematik sudah ditukar kepada Bahasa Inggeris. Dalam masa yang singkat. Dalam masa yang singkat telah ditukar. Ini satu soal yang begitu penting dalam sejarah perjuangan Umno selama ini. Saya bukan menentang penukaran itu tapi cara ia dibuat. Ditukar tanpa perbahasan. Fate accompli (tidak boleh dipersoalkan lagi) dalam masa yang singkat. Kenapa? Kerajaan semasa Dr Mahathir jadi Perdana Menteri memutuskan menukarnya tanpa mengambilkira dasar yang dirangka oleh Barisan Nasional dan Umno. Isu di sini ialah bagaimana ia boleh terjadi.

Itu soal kepentingan negara, yang boleh dibahaskan tetapi tidak dibahaskan. "Fate accompli" maknanya sudah tidak boleh dipersoalkan lagi.

Soalnya sekarang ini ialah mengenai peranan bekas Perdana Menteri. Adakah ia satu kritikan yang konstruktif atau ia memudaratkan? Sememangnya (Dr Mahahtir) mengatakan ia konstruktif, katanya ia bagi kepentingan negara. Saya katakan ia mula menampakkan bahawa ia akan memudaratkan dan bila awak bercakap mengenai kepentingan negara, bagi saya kerajaan sekarang memperlihatkan kepentingan negara seperti yang didakwa Dr Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

Bernama: Antara perkara yang dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir ialah penggantinya tidak menepati janjinya kepada beliau. Bahawa Datuk Seri Abdullah lebih kurang tidak tukar rancangan dan dasar Tun Dr Mahathir. Persoalan saya, adakah salah bagi kerajaan yang mengganti membuat penyesuaian dan mengadakan perubahan terhadap dasar atau rancangan yang diwujudkan oleh kerajaan sebelumnya?

Tun Musa: Apa yang saya faham ialah beliau (Dr Mahathir) berkata Datuk Seri Abdullah telah tidak menepati janjinya kepada beliau. Janji pada dia. Dua isu di sini. Saya tidak tahu apa yang dijanjikan atau dipercakapkan, atau yang berlaku di antara kedua-duanya.

Katakanlah Pak Lah berjanji kepada dia. Pada saya yang penting bukan apa yang beliau berjanji pada bekas Perdana Menteri tetapi yang dijanjikan kepada rakyat. Apa yang dijanjikan kepada rakyat dan sumpah yang dibuat apabila mereka mengambil alih kerajaan ialah apa jua dibuat ialah untuk kepentingan rakyat, negara, bangsa, agama. Untuk negara. Sekali lagi untuk kepentingan negara.

Apabila beliau mula menjadi Perdana Menteri, beliau mengambil alih jawatan, beliau barangkali belum tahu. Sekarang sudah tahu lebih mendalam. Dia kata ini salah, ini tak sesuai. Demi kepentingan negara, ini tidak baik. Apa salahnya membuat perubahan.

Harus kita ingat bahawa pada akhirnya adalah rakyat yang akan memutuskan sama ada sesebuah kerajaan yang dipimpin oleh pemimpin tertentu, oleh sebuah parti tertentu layak untuk memerintah atau terus memerintah. Itulah intipati demokrasi. Kita tidak boleh mengatakan bahawa seseorang itu tidak bekerja untuk kepentingan negara. Ya, pemimpin sekarang dengan kabinetnya dan keseluruhan pentadbiran didokong oleh rakyat. Ini pada fikiran kita sekarang apa yang perlu dibuat berbanding apa yang berlaku sebelum ini.

Pada hemat saya, Dr Mahathir ialah seorang yang berkeyakinan tinggi terhadap dirinya sendiri, terhadap kemampuannya, sehingga beliau tidak jumpa orang yang lebih baik daripada dia. Pada hakikatnya beliau mempunyai empat Timbalan Perdana Menteri dan setiap seorang mungkin beliau telah mendakwa telah menikam dari belakang, telah agak banyak memperkatakan mengenai orang ini. Setelah beliau memilih sesiapa sahaja, beliau tidak akan memperkatakan, "Awak melakukan perkara yang betul." Beliau akan terus bercakap ini caranya ia dibuat. Beliau belum dapat memahami bahawa selepas 22 tahun pentadbirannya, beliau perlu menerima hakikat bahawa lain orang lain cara mengendalikan dan menterjemahkan perkara itu adalah berbeza. Ini yang saya rasakan.

Bila saya bertemu dengannya, beliau telah dengan cara terus-terang pernah mengatakan: "Awak telah menikam saya dari belakang," Saya tidak takut cakap ini. Dia pernah beberapa kali kata, "awak tikam saya dari belakang". Saya terima dengan baik secara lucu dari segi politik. Pada saya, saya tidak menikam beliau dari belakang, saya fikir beliau menikam saya dari belakang. Itulah politik.

Kalau dikatakan Perdana Menteri sekarang menikam beliau dari belakang, cara dia buat sekarang dia balas bertubi-tubi. Menikam Perdana Menteri sekarang dari belakang. Itu tidak sesuai. Itu tidak membantu sesiapa pun melainkan penentang-penentang negara, parti dan kerajaan kita. Mereka yang mehu melihat Umno dimusnahkan, mereka yang mahu melihat kerajaan dimusnahkan, mereka yang mahu kita gagal ialah mereka yang bersetuju dengan beliau. Siapa yang beliau bantu? Saya pasti beliau akan menafikan dengan angkuh.

Saya terpanggil juga untuk memberi pandangan. Saya tidak pernah memberi komen sebegini. Waktu Dr Mahathir dulu saya berterima kasih kepadanya. Sungguhpun saya sudah berhenti begitu lama, saya pernah bertemu dengan beliau kerap kali sebagai bekas Perdana Menteri, lawan dengan dia, terkeluar hasil daripada pertelagahan dengan beliau. Saya sampaikan pendapat saya. Saya membuat kritik kadangkala saya sampaikan perasaan orang kerana saya percaya itulah caranya.

Bernama: Tun, mengatakan bahawa Tun pernah mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah tetapi bukan secara terbuka.

Tun Musa: Ya, saya kritik beliau. Jika hanya dinding boleh bercakap. Jika awak boleh bertanya kepada beliau, beliau akan berterus terang mengenainya. Saya fikir sayalah salah seorang yang betul-betul mengkritik daripada memberikan nasihat kepada beliau. Saya bukan penasihat beliau. Saya pengkritik beliau. Saya pengkritik tajam Perdana Menteri. Beliau menerimanya dengan senang hati. Anda boleh mengkritik dan jika beliau tidak berubah, itu bukan masalah saya. Saya fikir apa sahaja yang beliau persetujui atau tidak setuju atau sama ada berubah atau tidak berubah, beliau mesti memikirkan dirinya sendiri. Beliau perlu membuat keputusan. Hanya dua tahun sebagai Perdana Menteri. Saya fikir lebih ramai yang ingin menemui beliau, mengkritik beliau. Saya sangat kritikal mengenai beliau, saya beritahu awak berterus terang, sesetengah orang keliling beliau mula memperkatakan: "Musa anti Pak Lah. Saya tidak pernah takut dengan mereka. Saya tidak rugi dan untung. Tidak ada semuanya. Saya tidak minat. Saya tidak ada agenda sama sekali. Saya kritik beliau".

Bernama: Mengenai perkara apa?

Tun Musa: Saya tidak akan beritahu awak. Jika saya beritahu awak sekarang saya jadi Dr Mahathir.

Bernama: Antara perkara yang dibangkitkan?

Tun Musa: Mengenai pentadbiran, politik, apa yang berlaku di negara. Beliau (Pak lah) tidak akan menafikan ini.

Saya bersedia menjadi utusan bagi kedua-dua mereka. Beberapa kali bila saya main golf, saya berhenti di rumah Dr Mahahtir. Saya duduk dan saya kata: "Mari kita bersembang-sembang."

Beliau boleh panggil Perdana Menteri. Saya pasti Perdana Menteri ini merupakan orang terakhir yang akan mengatakan tidak. Hanya panggil. Ajak makan. Mari ke sini. Marilah, kita berada dalam parti yang sama, kita ada objektif yang sama. Ini kepentingan negara. Harapan saya demi kepentingan negara, Dr Mahathir mengubah caranya, metodologinya mengkritik kepimpinan dan kerajaan. Demi kepentingan perpaduan Umno, Barisan Nasional dan demi kepentingan semangat, saya harap Dr Mahathir berubah tetapi saya pasti beliau akan mengatakan: "saya tidak peduli". Ia tidak kisah"

Ia tidak kisah sama ada beliau peduli atau tidak tetapi ia adalah tanggungjawab saya untuk mengatakan ini. Ia beri kesan, akan berlaku, mula menunjukkan tanda kemudaratan dan perpecahan dalam parti. Sudah pasti beliau tidak mahu ini. Saya gembira bahawa Nombor Satu, Perdana Menteri mendiamkan diri. Nombor Dua Datuk Seri Najib telah membuat kenyataan yang konstruktif dengan menyeru semua pihak memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Perdana Menteri dan kepimpinan beliau. Bukan hanya dalam Umno tetapi dalam Barisan Nasional.

Ini satu tanda yang sangat menggalakkan bagi pemimpin muda yang telah mengambil alih daripada Dr Mahathir yang sudah lama mengambil alih daripada saya, saya fikir pemimpin ini mengendalikan perkara ini dalam cara yang betul.

Tapi saya terpanggil untuk berterus terang pada kali ini.

Bernama: Tun katakan tadi Tun percaya bahawa beliau tidak mahu melihat perpecahan parti. Tetapi melihat rekod apabila beliau mengambil alih pucuk pimpinan, sedikti sebanyak beliau benarkan perkara ini berlaku. Katanya beliau mahu melihat pertandingan bagi jawatan timbalan presiden. Beliau benarkan Tun dan Tengku Razaleigh. Walaupun pada pusingan kedua, beliau terima dan kekalkan Tengku Razaleigh. Pusingan pertama Tun boleh katakan jawatan itu kosong. pusingan kedua Tun (Musa) sudah berada di tempat itu. Tun ialah Timbalan Perdana Menteri. Seorang menteri biasa mencabar Tun. Sebenarnya tidak ada sebab untuk pusingan kedua. Beliau kekalkan Tengku Razaleigh dalam Kabinet dan seterusnya dengan cara kepimpinan yang pahit, parti berpecah dengan seriusnya. Perkara itu dibawa ke mahkamah. Semasa kepimpinannya Umno diharamkan. Beliau tidak boleh lari daripada fakta sejarah ini.

Tun Musa: Saya tidak mahu mengungkit cerita dulu. Itu cerita lain. Hanya satu perkara berkaitan dengan soalan awak ialah apabila saya menyebut mengenai perpecahan dengan Najib dengan mengatakan: "Oh Dollah awak bukanlah pilihan pertama. Sepatutnya Najib". Saya pertikaikan beliau dengan mengatakan bahawa dalam sejarah Umno sentiasa saya bukan pilihan pertama, beliau tidak pernah menjadi pilihan pertama. Tidak ada apa dalam Umno. Dengan mengatakan itu, saya terjemahkan sebagai beliau cuba memecahbelahkan antara kedua-duanya. Sebab itu saya memuji Najib kerana menyokong Pak Lah dan kepada Perdana Menteri yang mendiamkan diri.

Ada percubaan untuk memecahbelahkan. Kita tidak benarkan ini berlaku. Ahli-ahli Umno, Barisan Nasional tidak harus terperangkap, lebih-lebih lagi pucuk pimpinan tidak harus terperangkap kepada pecah dan perintah. Tidak boleh pecah dan perintah, beliau bukan yang memerintah. Maksud saya, cuba memecahbelahkan kepimpinan itu dengan kenyataan tersebut. Banyak mengenai kenyataan beliau. Itu bukan pertama kali Najib ialah. Dalam perkataan lain cuba memberitahu Najib: "Sebenarnya awaklah yang saya mahukan. Orang ini tidak bagus". Sebab itu saya memuji Najib. Itulah faktanya. Perkara pecah dan perintah ini dari dulu lagi, satu cerita yang panjang mengenainya.

Bernama: Beliau ialah naib presiden nombor tiga. Apabila Tun meletakkan jawatan, beliau memasukkan Ghafar (Tun Ghafar Baba). Ghafar ialah naib presiden nombor tiga.

Tun Musa: Saya juga nombor tiga. Tengku Razaleigh nombor satu. Lepas tu Tengku Razaleigh menang nombor satu, kata hendak lawan lagi.

Bernama: Tun, adakah menyangka ini akan berlaku?

Tun Musa: Ya. Saya tidak terperanjat kerana seperti yang saya katakan Dr Mahathir tidak mungkin... saya beritahu awak dari mula lagi. Saya katakan dari mula lagi bahawa Dr Mahathir telah mengatakan: "Saya tidak mahu masuk campur dalam kerajaan. Saya tidak mahu campur dalam politik" tetapi dari mula lagi beliau telah melakukan perkara yang sebenarnya dicakapkan tidak akan melakukannya. Saya tidak terperanjat hanya kerana saya selalu bergurau bahawa Dr Mahathir diganggu sindrom pasca Perdana Menteri. Kini saya anggap beliau diganggu sindrom pasca Perdana Menteri yang teruk. Dia saja yang betul.

Tahap yang berbeza. Semua merana. Saya diganggu sindrom pasca Timbalan Perdana tetapi saya dapat mengawalnya. Saya hanya beritahu diri saya untuk tutup mulut. Saya beritahu diri saya untuk berdiam, tarik diri. Awak tidak boleh teruskan ini. Biar yang lain. Biar yang lain mengambil alih. Mereka boleh buat. Mungkin mereka boleh atau tidak boleh seperti saya hendak buat tetapi mereka berada di tempat itu. Mereka telah diberikan sokongan penuh, sokongan penuh parti, rakyat.

Saya cadangkan untuk berhenti campur tangan dengan mereka. Rakyat telah pilih orang ini. Itulah sikap saya dan sikap saya sekarang. Siapa yang telah berdiam diri. Itu hanya logik. Itulah demokrasi sebenarnya. Awak lihat di dunia mana. Bekas pemimpin, mereka terus pergi. Ada juga yang terkecuali. Alan Garcia dari Peru yang suatu ketika menjadi presiden tetapi selepas 20 tahun, beliau kembali semula bertanding dan menjadi presiden sekali lagi.

Bernama: Tun pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri. Jika senario ini berlaku. Tun ialah Perdana Menteri sekarang. Apa yang Tun lakukan?

Tun Musa: Jika saya Perdana Menteri? Saya beritahu awak saya bukanlah Abdullah Ahmad Badawi yang bertingkah laku.

Cukuplah. Jangan kata tidak mahu campur. Jangan kata tidak mahu campur tangan dalam politik, dalam kerajaan, tapi hari-hari dalam kenyataan tidak ada lain.

Tabiat tersalah pilih. Tidak pernah terlintas kepada beliau bahawa beliau telah salah dan bukan salah orang. Tidak boleh salah orang. Ketua yang salah.

Wang Petronas bukan wang kerajaan. Wang Petronas ialah khazanah rakyat dan kerajaan harus tahu menggunakan khazanah rakyat. Jangan menyalahgunakan khazanah rakyat. Jadi dalam soal ini, tentu Dr Mahathir kata Putrajaya ialah satu projek yang sangat bagus. O.K. beliau ialah Perdana Menteri, beliau bina. Jika Perdana Menteri sekarang kata tidak, tidaklah. Beliau tidak boleh mengutuknya kerana itu. Sekali lagi, beliau memikirkan demi kepentingan negara dalam cara yang berlainan.

Bernama: Tun, telefon Tun Mahathir atau Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah baru-baru ini?

Tun Musa: Tidak. Kebetulan, beliau (Datuk Seri Abdullah) merasmikan Forum Yayasan Ekonomi Islam Dunia pada malam Rabu. Saya duduk di sebelah beliau. Apa yang saya boleh katakan ialah sesuatu yang mengkagumkan bahawa beliau sangat tenang mengenainya. Beliau ada cakap mengenai perkara ini. Katanya beliau akan mengendalikannya dengan caranya sendiri. Dia tidak melatah. beliau tidak terperangkap dengan respons perkara itu. Dr Mahathir tidak ada apa yang disukainya kecuali menegakkan pendapat sepanjang hidupnya. Beliau suka berbalah dan berkonfrontasi dan apabila Dr Mahathir berbalah, beliau sentiasa ingin menang. Ini sentiasa menjadi tabiat dalam hidup beliau. Beliau pastikan dia menang. Beliau mempunyai keyakinan diri yang tinggi.

Bernama: Tun menyebut bersedia untuk memainkan peranan sebagai orang tengah. Adakah Tun akan melakukannya?

Tun Musa: Saya tidak suka menggunakan perkataan orang tengah. Saya telah bertemu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada tempat dan masa yang sesuai. Seorang sama seorang. Kebanyakan jika tidak semua masa itu dipenuhi dengan kritikan, sangat berterus terang. Sangat terbuka, walaupun dalam perkara yang agak tidak disenangi terhadap banyak pandangan dan beliau menerimanya dengan keikhlasan. Kagum, dengan apa yang diperolehi. Jadi tidak ada sebab kenapa Dr Mahathir tidak boleh berbuat demikian. Demi kepentingan parti, demi kepentingan negara supaya kita tidak kocak-kocakkan air selaras dengan tradisi parti, kenapa tidak. Memandangkan fakta itu bahawa Datuk Seri Abdullah Badawi akan hanya terlalu gembira, dengan hormat menerima beliau, mendengar beliau satu sama satu. Saya fikir beliau akan menghargainya. Bagaimanapun, saya rasa sangat memandang berat mengenai perkara ini, jika saya diperlukan menjadi budak suruhan untuk menetapkan tarikh pertemuan, jika perlu.

Bernama: Mungkinkah keterbukaan Tun Dr Mahathir itu dibuat mengikut cara yang tidak betul. Sepatutnya berjumpa Perdana Menteri, membangkitkan secara tulus, telus dan ikhlas, begitu?

Tun Musa: Keterbukaan ini bagus dalam prinsip kerajaan iaitu kerajaan mesti mengamalkan keterbukaan tentang apa yang sedang berlaku. Kebebasan maklumat, kebebasan akhbar tapi keterbukaan bekas Perdana Menteri itu mengkritik dengan begitu hebat, dengan begitu keras Perdana Menteri, mana boleh. Itu sudah keterlaluan. Anda sudah melangkahi garisan sumbangan yang konstruktif.

Bernama: Pada pengetahuan Tun, keadaan begini biasa berlaku di negara-negara lain?

Tun Musa: Saya tidak pernah dengar. Belum pernah. Ini soal personaliti. Negara lain tidak ada Dr Mahathir.

Di kebanyakan negara demokrasi, sebaik sahaja mereka melepaskan jawatannya, mereka hanya datang ke majlis untuk menunjukkan sokongan. Di Amerika Syarikat, tidak ada satu perkataan pun mengenai sokongan, tidak ada perkataan mengenai kritikan (daripada bapanya George Bush kepada anaknya George W. Bush, presiden sekarang). Malah di Singapura, Lee Kuan Yew sendiri masih pegang jawatan tapi tidak ada kritikan terbuka. Malah di Thailand, bekas Perdana Menteri tidak campur tangan melainkan mereka yang masih aktif dalam politik. Chuan Leekpai masih aktif dalam politik jadi beliau berhak mengkritik. Bagaimanapun, tidak ada gunanya kita bandingkan dengan negara lain.

Waktu Dr Mahathir masih Perdana Menteri, dia akan kata: "Ini akan pecah belah perpaduan. Jangan buat begini. Ikut tradisi."

Bernama: Tun, apakah Tun sedih dengan apa yang telah berlaku?

Tun Musa: Saya rasa dukacita. Saya sedih ia sudah sampai ke tahap ini. Saya harap sungguh parti boleh menyelesaikan. Saya tidak patut kata selesai. Perkara ini harus ditangani oleh pucuk pimpinan parti, di kalangan mereka. Saya tak tahu macam mana tapi saya yakin penuh terhadap pucuk pimpinan menanganinya.

Hanya saya nak kata kepada Dr Mahathir... sudahlah, cukuplah, jangan buat apa-apa lagi. Kalau dia masih teruskan ini, tiada siapa yang untung. Cuma Dr Mahathir puas hati tetapi untung ialah yang menentang kita (anti-kita).

Bernama: Tun, apakah Tun ada membuat perjanjian gentlemen bila berundur, untuk mendiamkan diri?

Tun Musa: Tak pernah. Tak pernah. Saya gunakan budi bicara saya, prinsip saya, prinsip demokrasi saya, saya tidak lagi mewakili rakyat, tidak lagi dalam kerajaan, saya sudah bersara. Jadi saya bercakap untuk diri saya. Tidak ada janji, tapi seperti saya kata, saya jumpa Dr Mahathir selalu. Agak selalu. Saya tidak pernah jumpa beliau untuk memuji beliau dan beliau tahu ini. Setiap kali beliau luangkan masa buat saya. Tak pernah mengampu dia. Tidak ada. Minta apa pun tidak juga. (Kami bincang) isu-isu, banyak (mengenai) perhubungan antarabangsa. Saya sampaikan isu-isu kalau saya fikir perlu dan mustahak saya beritahu dia.

Ya, sekali sekala ada perbalahan pendapat tapi dalam semangat muhibah. Jadi saya tidak nampak mengapa beliau tidak boleh lakukan perkara sama dengan perdana menteri sekarang. Mungkin beliau ingat beliau terlalu hebat. Itu bukan masalah kita. Itu akan jadi masalah beliau yang paling besar. Kalau dia betul-betul ikhlas.

Bernama: Tun, bolehkah sesuatu pelan, dasar itu dipinda?

Tun Musa: Boleh. Cuma Quran sahaja yang tidak boleh dipinda. Kata-kata Allah sahaja tidak boleh diubah. Lebih-lebih lagi dalam politik dan pentadbiran kerajaan. Penerimaan pakai dan fleksibiliti adalah prinsip paling penting dalam kerajaan, berdasarkan maklum balas, maklumat, pengetahuan. Ekonomi-pengetahuan dan kerajaan-pengetahuan.

Bernama: Mungkinkah Tun Dr Mahathir lihat Pak Lah terlalu lembut, maka dia bertindak begitu?

Tun Musa: Tidak baiklah orangnya kalau macam itu. Kalau begitu sudah tidak baik tujuannya.

Bernama: Kemarahan kerana dikatakan menghabis wang negara...

Tun Musa: Kebetulan, saya tidak pernah dengar Perdana Menteri cakap. Pada saya pun tidak. Dia (Pak Lah) ada cerita pada saya pasal defisit. Waktu dia mula-mula dalam dua tahun, dia amat memikirkan soal defisit tetapi Dr Mahathir tak kisah pasal defisit. Tetapi bukan tak biasa dalam kerajaan, seseorang pemimpin berpendapat berbelanja defisit lebih baik sementara seorang lagi berkata defisit mesti dikawal. Ini debat biasa dalam pentadbiran sesebuah negara. Dr Mahathir tak kisah tentang defisit dan Datuk (Seri) Abdullah Ahmad Badawi mengambil berat tentang defisit dan beliau cuba mengurangkannya dan beliau dapat lakukannya. Tetapi dalam proses itu, ini mencetuskan kemarahan Dr Mahathir. Tidak boleh lah.