Dr Koh diminta buktikan keikhlasan bantu Melayu PP
Ketua Umno bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir mahu Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon membuktikan keikhlasannya untuk memajukan orang Melayu dan bukan sekadar bercakap kosong sahaja.
Ketua Umno bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir mahu Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon membuktikan keikhlasannya untuk memajukan orang Melayu dan bukan sekadar bercakap kosong sahaja.
"Pertama sekali Dr Koh perlu menyerahkan jawatan Pengerusi Pihak Berkuasa Air Pulau Pinang kepada Umno. Jawatan itu adalah hak Umno,"katanya.
Sebelum diambilalih oleh Dr Koh beberapa tahun lalu, jawatan berkenaan dipegang oleh Datuk Ahmad Saad, bekas ketua Umno bahagian Permatang Pauh.
Musa berkata, kuasa Dr Koh terlalu besar kerana segala keputusan termasuk membabitkan kepentingan Melayu berada di tangannya.
"Kalaupun sesuatu perkara itu telah diluluskan oleh mesyuarat Exco negeri, kelulusan akhir masih di tangan beliau.
"Dr Koh perlu ingat dia bukanya Ketua Menteri untuk ahli-ahli Gerakan sahaja tetapi pemimpin bagi semua rakyat Pulau Pinang," tegas beliau.
Konsep berkongsi kuasa
Musa juga menyokong cadangan Ahli Majlis Tertingi Umno, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik itu, supaya Ketua Menteri mengagihkan kuasanya secara bertulis kepada Timbalan Ketua Menteri bagi isu-isu yang membabitkan kepentingan Melayu.
Jawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang disandang oleh pemimpin Melayu dari Umno.
Dengan cara itu, kata Musa, barulah konsep berkongsi kuasa di kalangan anggota Barisan Nasional dapat direalisasikan.
Manakala Ketua Umno bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Hamid pula berpendapat, kuasa yang ada pada Timbalan Ketua Menteri sekarang sudah memadai.
Katanya, tiada gunanya diberikan kuasa tambahan kalau pemimpin berkenaan tidak mahu menggunakan kuasa yang ada untuk membela nasib orang Melayu.
"Yang penting ialah pemimpin itu tahu menggunakan kuasa yang ada padanya. Dengan kedudukan dan kuasa yang ada sekarangpun, Timbalan Ketua Menteri boleh memperjuangkan hak orang Melayu kalau dia mahu.
"Tak guna ada kuasa tambahanpun kalau kita tidak tahu dan tidak mahu menggunakan kuasa itu," tambahnya.
Lihat diri sendiri
Abdul Jalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti berkata, apa yang perlu ditekankan sekarang ialah para pemimpin Melayu negeri ini tahu menggunakan kuasa yang diamanahkan kepada mereka.
"Tak semestinya tanpa kuasa tambahan orang Melayu tak boleh berjaya. Orang Melayu di England dan Afrika Selatan membuktikan mereka boleh berjaya tanpa ada sebarang kuasapun. Malah mereka lebih berjaya orang Melayu di sini."
Beliau menegaskan, pemimpin yang ada di Pulau Pinang sekarang ini perlu menggunakan segala kuasa yang ada pada mereka untuk memajukan orang Melayu, bukannya mencari alasan menyalahkan orang lain.
"Kita perlu melihat diri sendiri terlebih dahulu," ujarnya lagi.
Kalangan Umno Pulau Pinang sejak awal bulan ini mendakwa Dr Koh telah mengabaikan kepentingan orang Melayu negeri itu.
Berikutan itu, empat bahagian Pemuda Umano negeri itu telah mengusulkan jawatan Ketua Menteri digilirkan atau Timbalan Ketua Menteri diberikan kuasa eksekutif bagi membela nasib orang Melayu.
Report this comment


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.