MMC: Nama doktor terbabit dalam salahlaku akan disiakan
Majlis Perubatan Malaysia (MMC) akan menyiarkan nama doktor yang didapati bersalah melakukan perbuatan salahlaku tanpa mengira sama ada mereka mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi.
Majlis Perubatan Malaysia (MMC) akan menyiarkan nama doktor yang didapati bersalah melakukan perbuatan salahlaku tanpa mengira sama ada mereka mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi.
Presiden MMC Tan Sri Datuk Dr Mohd Ismail Merican berkata, sebelum ini, MMC hanya menyiarkan nama doktor yang didapati bersalah jika mereka tidak merayu di Mahkamah Tinggi atau jika mahkamah menolak rayuan mereka.
Dr Ismail, yang juga Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, berkata majlis itu juga sedang dalam proses mengkaji semula kod etika dan garispanduan bagi penyesuaian masa kini serta amalan masa depan.
"Majlis sedang mengkaji semula kod etika dalam sembilan bidang khusus iaitu tele-perubatan, reproduktif bantuan, kematian otak, ujian klinikal dan penyelidikan bio-perubatan," katanya dalam kenyataan di sini Isnin.
Selain itu, bidang lain ialah penyebaran maklumat dalam profesion perubatan, rekod perubatan, implikasi etika doktor dalam situasi konflik, perkhidmatan dan perubatan genetik, pemindahan organ dan hubungan antara doktor dan industri farmaseutikal.
Menurut laporan Bernama, Dr Ismail berkata sejak 2004 hingga Ogos lalu, majlis tersebut telahpun mengambil tindakan disiplin terhadap 45 doktor di seluruh negara kerana pelbagai salah laku dengan 18 kes masih belum diputuskan.
181 kes tertangguh
Kes tersebut adalah daripada jumlah 344 kes disiplin yang disiasat oleh Jawatankuasa Siasatan Awal (PIC) majlis itu manakala 181 lagi kes masih tertangguh dalam tempoh yang sama.
Katanya, bagaimanapun, jumlah aduan masih kecil berbanding jumlah pengamal perubatan yang berdaftar dengan majlis itu.
"Berdasarkan jumlah doktor aktif yang dicerminkan menerusi jumlah pengeluaran Sijil Amalan Tahunan pada 2003 ialah 14,424, 2004 (15,386) dan 2005 (15,797), kadar aduan bagi setiap 1,000 doktor adalah masing-masing 0.46, 0.36 dan 0.31," katanya.
Dr Ismail berkata apabila sesuatu aduan terhadap pengamal perubatan diterima, PIC akan memulakan siasatan disiplin.
Dr Ismail berkata Kod Perilaku Profesional menyenaraikan empat jenis salahlaku yang boleh dikenakan tindakan iaitu mengabai atau tidak mempedulikan tanggungjawab profesional, menyalahgunakan hak istimewa profesional dan kemahiran, mencemar reputasi profesion perubatan dan mengiklan, mencari dan kesalahan profesion berkaitan.
Bentuk tindakan termasuk penggantungan, amaran dan pembatalan keahlian majlis, katanya.
Tindakan diambil
Antara 45 doktor yang dikenakan tindakan oleh MMC ialah Dr Mansor Ramli dan Dr Rohayu Md Jani dari Klinik Famili (T.T.D.I), Taman Sri Manja, Petaling Jaya dan Dr Suresh John dari Klinik Raj di Tanjong Sepat, Kuala Langat, katanya.
Beliau berkata Dr Mansor dikenakan tindakan gantung enam bulan kerana mengedar risalah bertajuk "Kempen Percuma" menawarkan perkhidmatan percuma atau menawarkan perkhidmatan pada kos yang lebih rendah di kliniknya.
Dr Ismail berkata Dr Mansor masih belum menyerahkan dokumen sijil amalan kepada majlis atau mengemukakan sebarang permohonan rayuan di Mahkamah Tinggi manakala Dr Rahayu diberi amaran selepas didapati bersalah membantu Dr Mansor.
Dalam pada itu, Dr Suresh John didapati bersalah kerana tidak mempedulikan dan mengabai hak istimewa profesion dengan mengambil seorang yang tidak layak dan tidak berdaftar sebagai pekerja.
Dia digantung enam bulan dan telahpun mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.