Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud telah menuntut portal berita malaysiakini supaya menarik balik penyiaran beberapa artikel mengenai dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan beliau dan keluarganya.

Taib, yang menjadi ketua menteri Sarawak sejak 26 tahun lalu, berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap malaysiakini sekiranya ia enggan berbuat demikian dalam tempoh 48 jam.

Dalam surat yang dihantar dengan tangan ke pejabat malaysiakini di Bangsar Utama, Kuala Lumpur semalam, Taib mengenalpasti lapan artikel yang didakwanya berunsur fitnah.

Artikel-artikel tersebut yang disiarkan antara 6 hingga 14 April lalu mendakwa Taib telah dikaitkan dalam skandal membabitkan sogokan RM32 juta yang dibayar oleh firma-firma perkapalan Jepun yang mengangkut balak dari negeri tersebut.

Lapan artikel tersebut merupakan berita susulan kepada laporan akhbar Japan Times pada 29 Mac lalu yang bertajuk 'Wood carriers allegedly hid 1.1 billion yen income'.

Menurut laporan tersebut, 'sogokan' jutaan ringgit itu sepanjang tempoh tujuh tahun dibayar kepada sebuah syarikat Hong Kong yang dikatakan ada kaitan dengan Taib yang merupakan ketua menteri paling lama berkhidmat di negara ini dan keluarganya.

Perkara tersebut dikesan oleh pihak berkuasa percukaian Jepun yang menganggap bayaran yang dibuat oleh firma perkapalan tersebut 'tidak sah' kerana ianya tidak sepadan dengan perkhidmatan yang diberikan oleh agensi Hong Kong berkenaan.

Menurut pihak berkuasa percukaian tersebut, firma-firma perkapalan itu telah cuba menyembunyikannya sebagai 'perbelanjaan perniagaan' bagi mengelak dikenakan cukai.

Akhbar Japan Times melaporkan firma-firma perkapalan itu akan dikenakan bayaran lebih 400 million yen (RM11.6 juta) bagi cukai tunggakan serta hukuman yang berat oleh pihak percukaian tersebut kerana "menyembunyikan" wang itu daripada pengetahuan pihak berkuasa.

Laporan BPR

Berikutan itu, beberapa ahli Parlimen telah menggesa Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya menyiasat Taib yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan, dekat Kuching.

Dalam surat yang dihantar oleh firma guaman Shearn Delamore & Co, menyebut bahawa perkataan yang terkandung dalam artikel-artikel berkenaan jelas merujuk kepada pelanggannya dan berunsur fitnah terhadap pelanggannya.

Ia juga menyatakan bahawa artikel-artikel yang disiarkan itu merupakan satu fitnah yang amat serius terhadap Taib dan telah memalukan pelanggannya.

Surat itu berkata, dakwaan tersebut adalah tidak berasas dan telah merendahkan reputasi pelanggannya di mata rakyat dan mendedahkannya kepada kebencian, dipandang hina dan cemuhan.

Menurutnya, semua dakwaan terhadap pelanggannya itu adalah palsu dan tiada justifikasi untuk berbuat demikian.

Surat tersebut menuntut malaysiakini :

Menghenti segera penerbitan perkataan berbau fitnah atau perkataan yang sama dengannya .

Menyiarkan dengan segera penarikan balik artikel tersebut dan membuat permohonan maaf mengikut syarat-syarat yang dipersetujui oleh Taib.

Memberi jaminan secara bertulis dalam masa 48 jam bahawa lamanweb itu tidak akan lagi menyiarkan perkataan yang berunsur fitnah atau perkataan yang sama dengannya.

Mencadangkan jumlah pampasan dalam masa 48 jam terhadap kerosakan reputasi Taib.

Membayar gantirugi kepada Taib bagi kos yang terbabit dalam perkara tersebut.

Surat tersebut juga menegaskan sekiranya malaysiakini gagal memberi jawapan yang memuaskan terhadap tuntutan tersebut, maka tindakan undang-undang akan diambil terhadap lamanweb berkenaan.

Ketika dihubungi pagi ini, seorang kakitangan pejabat Shearn Delamore berkata, beliau tidak dapat menyatakan sama ada selain malaysiakini pihak-pihak lain juga turut dihantar surat guaman tersebut.

Malaysiakini: Kita akan lawan

Dalam reaksinya, Ketua Pengarang malaysiakini , Steven Gan berkata portal berita tersebut akan mencabar saman tersebut.

"Sejak tujuh tahun yang lalu, saya telah menerbitkan banyak laporan mengenai rasuah. Tak kan malaysiakini akan memohon maaf setiap kali kita melaporkan mengenai skandal seumpama itu. Sebagai wartawan, kita mempunyai tugas untuk melaporkan perkara seumpama itu, yang berkepentingan awam," katanya.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata BPR boleh menyiasat dakwaan tersebut sekiranya laporan dibuat kepada badan tersebut.

Bagaimanapun, Gan berkata, BPR tidak perlu menunggu laporan dibuat untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan tersebut.

"Memandang l aporan telah dibuat, maka BPR tiada alasan untuk tidak membuka fail siasatan terhadap Taib. Malah, mereka harus menyiasat bagaimana Taib dan keluarganya boleh menjadi kaya dalam tempoh 26 tahun sejak belaiu menjadi ketua menteri," katanya.

Menurut Gan, tindakan undang-undang itu bertujuan untuk menutup mulut malaysiakini .

"Jika dengan memfailkan tindakan undang-undang itu, Taib merasakan beliau boleh menakut-nakutkan kami, ternyata beliau silap. Bila kita ke mahkamah, kita mempunyai senarai saksi yang panjang yang kita bercadang memanggilnya bermula dengan BPR dan pihak berkuasa percukaian Jepun," kata Gan. Berita asal

ADS