Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umno bahagian Bandar Tun Razak akan meneruskan mesyuarat agung tergempar (EGM) esok walaupun dinasihatkan oleh Majlis Tertinggi Umno supaya tidak berbuat demikian.

Ketuanya Datuk Rahim Baba berkata, keputusan itu dibuat secara konsensus oleh ahli jawatankuasa bahagian yang mengadakan mesyuarat khas malam tadi.

"AJK bahagian ini berpendapat EGM perlu diadakan bagi membincangkan masalah parti," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

"Kita menghormati keputusan MT tetapi AJK tetap mahukan meneruskan juga EGM esok," tambahnya.

Rahim bagaimanapun berkata, agenda utama EGM tersebut ialah untuk menyatakan sokongan kepada pucuk pimpinan parti dan bukannya peralihan kuasa dari Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Sebelum ini, Umno bahagian Gua Musang, Batu Pahat dan Cheras telah mengadakan EGM masing-masing di mana Batu Pahat meluluskan usul mendesak peralihan kuasa dilakukan sebelum perhimpunan agung Umno Disember ini.

Sementara itu, Umno bahagian Pasir Mas akan mengadakan mesyuarat AJK khas malam ini untuk menentukan sama ada akan meneruskan EGM Sabtu ini.

Hak akar umbi

Dengan nada bimbang, Naib ketua bahagian, Che Johan Che Pa berkata: "Saya bimbang jika EGM dibatalkannya, kerana inilah tempat untuk ahli membincangkan soal parti.

"Kita menghormati keputusan MT tetapi pada masa yang sama kita mahu hak ahli akar umbi juga dihormati dengan membenarkan mereka melakukan apa sahaja yang sesuai sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti.

"Mengadakan EGM adalah hak bahagian dan ia tidak terkeluar dan melanggar perlembagaan Umno.

"Bagilah sedikit kebebasan kepada bahagian untuk membincangkan masalah parti," tambahnya.

ADS