'Kalau Raja kita boleh tukar-tukar ikut bulan, sistem Raja akan gagal' - Anwar
Sistem Beraja akan gagal jika institusi berkenaan boleh “ditukar ikut bulan” dan tidak mengikut lunas undang-undang serta Perlembagaan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata campur tangan politik yang tidak selari dengan kehendak sesetengah pihak, telah mengakibatkan wujud ketidakstabilan dalam institusi berkenaan.
“Di Negeri Sembilan, orang yang bising-bising, Raja Melayu, Raja Melayu, Raja Melayu, tapi bila keputusan tak selari dengan dia, mahu buang itu Raja Melayu…saya tak boleh terima, kita ikut Perlembagaan dan undang-undang.
“Kalau Raja ini kita boleh tukar-tukar ikut bulan, sistem Raja akan gagal. Sebab itu Yang di-Pertuan Agong faham, Raja yang ada sah. Maksudnya ikut prosesnya sebagaimana ada dalam Perlembagaan dan undang-undang.
“Dia nampak kurang stabil kerana ada orang politik yang mahu jadikan isu. Dia mahu Raja ikut dia. Raja mesti ikut Perlembagaan. Raja jangan ikut orang politik, negeri akan rosak,” kata Anwar ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Kebudayaan Cina Malaysia kali ke-41, di Kota Syahbandar di Melaka malam tadi.
Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) Steven Sim Chee Keong dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Salhah Salleh.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan proklamasi mengenai kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertarikh 19 April sebagai tidak sah, kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
AGC turut memaklumkan Menteri Besar Negeri Sembilan Ismail Lasim dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak mempunyai kuasa secara unilateral, untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Sementara itu, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan sekali lagi menegaskan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan Yang Dipertua DKU.
- Bernama
/file/attachments/orphans/anwaronpodcast2026091602_678858.png)
