Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali berkata beliau tidak tahu-menahu mengenai kewujudan tabung kedua iaitu tabung politik untuk memungut derma sempena sambutan perayaan 100 hari kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, 20 Jun lepas.

Exco kerajaan negeri itu berkata, kewujudan tabung itu tidak pernah dibincangkan dengan PAS Selangor.

selangor 100 days stadium 210608 crowd 03 "Saya tidak tahu ada beratus-ratus surat yang dihantar kepada syarikat-syarikat korporat untuk mendapatkan wang bagi sambutan perayaan tersebut," katanya, mengulas dakwaan bekas pemimpin kanan PKR Mohamad Ezam Mohd Nor dalam satu ceramahnya kelmarin.

"Saya juga tidak tahu kalau ada duit masuk ke dalam akaun itu.

"Saya tidak ada maklumat mengenai perkara tersebut."

Dr Hassan menjelaskan beliau hanya mempengerusikan jawatankuasa sambutan di peringkat kerajaan, sementara satu lagi ditubuhkan di peringkat parti.

Jawatankuasa peringkat parti turut melibatkan wakil-wakil PAS, PKR dan DAP, tambahnya.

Katanya kepada Malaysiakini hari ini, beliau hanya mengetahui penggunaan dana di peringkat kerajaan.

Beliau, yang juga wakil rakyat Gombak Setia, menduga kerja di peringkat jawatankuasa parti dikendalikan oleh pegawai tertentu dalam pentadbiran negeri.

yahya sahri and selangor people Bekas pegawai tugas-tugas khas menteri besar Selangor hari ini menjelaskan bahawa akaun kedua untuk memungut derma kepada PKR "tidak wujud".

Mohd Yahya Mat Sahri turut berkata, tidak ada surat-menyurat daripada pejabat menteri besar yang meminta syarikat korporat menyumbang wang untuk majlis perayaan 100 hari pentadbiran Pakatan Rakyat di negeri itu.

"Tidak ada akaun kedua yang dibuka untuk tujuan itu, tiada transaksi dan tidak ada pungutan wang," katanya kepada Malaysiakini .

"Kenyataan menteri besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim), Dr Hassan dan Ezam tidak benar."

Dr Hassan juga menafikan dakwaan bahawa beliau menyerahkan maklumat mengenai sambutan perayaan tersebut kepada Mohamad Ezam.

"Saya tidak berjumpa dengan Ezam dan saya tidak beri maklumat kepadanya.

"Ezam orang Umno, dia boleh dapat maklumat dari mana-mana. Lagipun surat itu dihantar ke banyak korporat, tentu Ezam dapat juga surat itu," katanya lagi.

Sementara itu, pejabat menteri besar hari ini berjanji memberi kerjasama penuh kepada BPR terhadap dakwaan salah guna kuasa dan rasuah yang melibatkan pejabatnya dan anak syarikat kerajaan negeri.

"Kerajaan Pakatan Rakyat memandang serius kepada dakwaan- dakwaan yang dibuat dan menyeru BPR membuat siasatan yang telus dan adil.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri akan memberi kerjasama kepada BPR," kenyataan itu dipetik.

ADS