Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Bekas pegawai tugas-tugas khas menteri besar Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri hari ini menjelaskan bahawa akaun kedua untuk memungut derma kepada PKR "tidak wujud".

Beliau turut berkata, tidak ada surat-menyurat daripada pejabat menteri besar yang meminta syarikat korporat menyumbang wang untuk majlis perayaan 100 hari pentadbiran Pakatan Rakyat di negeri itu.

yahya sahri and selangor people "Tidak ada akaun kedua yang dibuka untuk tujuan itu, tiada transaksi dan tidak ada pungutan wang," katanya, yang meletakkan jawatan tersebut dan setiausaha perhubungan PKR negeri pada Isnin lalu.

"Kenyataan menteri besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim), Datuk Dr Hassan Ali dan (bekas pemimpin kanan PKR) Ezam (Mohd Nor) tidak benar," katanya kepada Malaysiakini .

Beliau diminta mengulas dakwaan pesuruhjaya PAS itu bahawa partinya tidak diberitahu mengenai pungutan wang daripada syarikat swasta untuk menjayakan majlis sambutan tersebut, 20 Jun lalu.

Kelmarin, Ezam mendakwa pejabat menteri besar Selangor telah membuat surat dan menghantarnya kepada banyak syarikat supaya memasukkan wang ke dalam akaun milik individu.

"Ada syarikat yang beritahu saya mengenai perkara tersebut dan saya akan tunjukkan surat itu," kata Ezam ketika berceramah di Sungai Besi di ibu negara, Rabu lalu.

Yahya berkata, majlis sambutan 100 hari itu diuruskan oleh kerajaan negeri dan bukannya oleh Pakatan Rakyat.

Katanya, urusan kewangan untuk program tersebut juga tanggungjawab kerajaan negeri.

"Memang pada peringkat awal, Pakatan Rakyat mahu menganjurkan program tersebut tetapi ia dibatalkan dan diberikan kepada kerajaan negeri.

"Apabila ia dianjurkan oleh kerajaan negeri, secara automatik pembabitan parti tidak perlu lagi," kata Yahya lagi.

Beliau dilaporkan mengakui mengirim surat atas nama PKR dan menggunakan satu akaun tetapi tiada derma dimasukkan ke akaun tersebut.

Dr Hassan hari ini menjelaskan beliau hanya mempengerusikan jawatankuasa sambutan di peringkat kerajaan, sementara satu lagi ditubuhkan di peringkat parti.

Jawatankuasa peringkat parti turut melibatkan wakil-wakil PAS, PKR dan DAP, tambahnya.

padu convention 241004 hassan ali Katanya kepada Malaysiakini , beliau hanya mengetahui penggunaan dana di peringkat kerajaan dan tidak mengetahui kewujudan tabung kedua iaitu tabung politik untuk memungut derma.

Manakala Abdul Khalid awal minggu ini mengesahkan sejumlah kutipan "yang tidak perlu" telah dimasukkan ke akaun PKR, sepatutnya untuk kerajaan negeri.

Isnin lalu, beliau berkata demikian selepas mengumumkan penggantungan tugas Yahya sebagai pegawai kanan di pejabatnya selama dua bulan.

Yahya hari ini bagaimanapun berkata bekas ketuanya itu tidak merujuknya sebelum membuat kenyataan tersebut dan beliau tidak pernah diberikan peluang menjelaskannya, lapor sebuah akhbar.

Akhbar-akhbar semalam melaporkan Abdul Khalid berkata penggantungan Yahya akibat isu kutipan wang sempena sambutan 100 hari Pakatan Rakyat di Selangor.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) juga dilaporkan sedang menyiasat dakwaan pemindahan wang kerajaan itu ke akaun PKR.

Dalam satu kenyataan hari ini, Abdul Khalid "memberi jaminan bahawa segala siasatan yang dilakukan oleh pejabat menteri besar dan BPR yang melibatkan Yahya akan dibuat dengan telus dan adil."

Selain menyatakan bahawa ketua-ketua bahagian PKR tetap menyokongnya seperti dalam mesyuarat perhubungan yang disertai Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin, Abdul Khalid juga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Yahya.

"Beliau akan terus diberi peranan dalam parti," kenyataan pejabat menteri besar dipetik.

ADS