Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 7:11pm Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan segera keluar dari bangunan kedutaan Turki jika ada jaminan tegas pemimpin negara tentang keselamatannya.

"Sebaik ada jaminan keselamatan diri dan keluarga, kami akan segera pulang," katanya di blognya hari ini.

"Meskipun layanan di sini agak lumayan, tidak mungkin sama dengan keselesaan di rumah."

[ Terkini Anwar beredar dari rumah rasmi duta Turki di Kuala Lumpur, tempat beliau berlindung sejak pagi Ahad lalu, dan menuju ke rumahnya.

Anwar berjalan keluar dari rumah itu, yang terletak tidak jauh dari bangunan kedutaan, dan memasuki kenderaan kira-kira jam 6.45 petang ini.

Bekas timbalan perdana menteri itu kemudian bercakap ringkas kepada kumpulan kira-kira 50 wartawan di luar pagar rumah rasmi tersebut].

Penasihat PKR berkata beliau dilarang mengadakan pertemuan dengan media atau rakan-rakannya di kedutaan itu kecuali anggota keluarganya, termasuk presiden parti Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Dan tidak diizinkan sebarang pertemuan dengan media atau sahabat. Hanya Azizah dan anak-anak dibenar menziarah saya," katanya lagi.

"Mudah-mudahan pihak pemerintah segera memberikan jaminan keselamatan kepada saya sekeluarga.

"Jika tegas pengumuman sedemikian, saya akan segera pulang meninggalkan kedutaan."

khalid jaafar ikd sues um 180805 speaking Sejak tahun lalu Anwar kini tinggal di Segambut, Kuala Lumpur.

Tambahnya, pengalaman yang dilaluinya berdepan dengan dakwaan yang sama 10 tahun lalu "mengajar kita bahawa tindakan ganas dan rakus bisa saja daripada pendendam."

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata beliau bercadang membuat aduan polis terhadap ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Gani Patail.

Sementara itu Khalid Jaafar (foto kanan) , orang kanan Anwar, menjelaskan pemimpin-pemimpin tertinggi PKR mengambil masa selama tujuh jam antara malam kelmarin hingga awal pagi semalam untuk meyakinkan Anwar agar menerima tawaran kerajaan Turki memberikan perlindungannya.

Anak sulungnya dan juga ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah turut memujuk Anwar, kata pemimpin PKR itu lagi.

"Tujuh jam pemimpin-pemimpin tertinggi PKR bergelut untuk meyakinkan Anwar supaya mengambil tawaran pemerintahan Turki untuk memberikan beliau perlindungan.

"Apabila saya turun dari tingkat 24 Hotel Quality, Shah Alam, ke bilik saya di tingkat 22, Anwar masih dengan diri biasanya - degil," kata Khalid di blog peribadinya semalam.

"Rayuan puterinya juga tidak berhasil. Saya merasakan ketegangan yang luar biasa."

Bagaimanapun Khalid tidak menjelaskan bila Anwar mengubah pendiriannya untuk ke kedutaan Turki - tetapi Malaysiakini difahamkan beliau mula bergerak sekitar jam 6 atau 7 pagi semalam.

anwar in turkey embassy 290608 polis PKR semalam menyatakan, Anwar berlindung di kedutaan itu kerana risau keselamatan dirinya.

Khalid berkata, dalam setiap mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu, akan ada agenda khas untuk Anwar memberikan taklimat politik semasa dan memimpin perbincangan politik.

"Tetapi agenda perbincangan politik menjadi pendek apabila beliau (Anwar) diberikan maklumat tentang laporan polis yang dibuat oleh Saiful Bukhari.

"Ini bermakna dia boleh ditahan bila-bila masa untuk tujuan 'siasatan'," katanya.

Berita laporan polis yang dibuat terhadap Anwar jam 5.45 petang kelmarin menyebabkan barisan pemimpin PKR menjadi panik.

"Benak saya dan saya kira ramai yang lain dalam bilik mesyuarat bertanya: Apakah kita akan melalui ini semua sekali lagi, setelah 10 tahun, dan setelah gelombang rakyat 8 Mac?"

Tambah Khalid lagi, "Pada malam yang panjang itu ada suara yang meminta supaya tidak overreact (bertindak balas berlebihan) dengan laporan polis tersebut.

Katanya lagi: "Anwar sendiri bukanlah seorang yang mudah panik. Bahkah apabila orang lain sudah semuanya panik, Anwar akan mententeramkan mereka: Jangan overreact ."

ADS