Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP: Rampas akhbar perbuatan 'samseng politik'
Diterbitkan:  Feb 12, 2009 11:57 AM
Dikemaskini: 4:06 AM

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menyifatkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas akhbar rasmi PKR dan PAS - Suara Keadilan Harakah - sebagai satu perbuatan 'samseng' politik.

charles santiago Kedua-dua akhbar berkenaan dirampas kerana memuatkan laporan mengenai pergolakan politik ekoran pembentukan kerajaan baru Barisan Nasional (BN) di Perak.

"Rakyat mempunyak hak untuk mendapatkan maklumat. Mereka sudah jemu dengan 'sampah' yang disiarkan oleh akhbar tempatan dan saluran televisyen, yang dimiliki atau ada kaitan dengan parti kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, isu-isu berkaitan dengan drama politik dan pembentukan kerajaan baru BN di Perak - yang didakwanya tidak sah - adalah perkara yang membabitkan kepentingan awam.

Santiago berkata, rakyat membantah 'rampasan kuasa' tersebut yang mengakibatkan tumbangnya kerajaan negeri yang dipilih secara demokrasi.

"Mereka mempunyai hak untuk mengetahui kebenarannya," tambahnya.

Sehubungan itu, Santiago menggesa kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya menghentikan taktik membuli itu dan sebaliknya diminta memberi tumpuan memulihkan ekonomi negara.

'Gangguan KDN'

Di samping itu, katanya, adalah satu kesilapan besar sekiranya tidak diperbaharui permit Suara Keadilan yang dijadual pada April depan.

Semalam, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua dilaporkan berkata Suara Keadilan edisi krisis menggelegak politik di Perak menjadi sasaran rampasan KDN minggu lalu.

Menurutnya, hampir 20,000 naskhah edisi 4-11 Februari dengan laporan "Perak cabar SPR ke mahkamah" dirampas di seluruh negara.

Tian berkata, rampasan terbaru itu paling tinggi sejak organ parti itu mula mendapat sokongan meluas pembaca susulan kemenangan besar-besaran PKR dan pembangkang dalam pilihanraya umum, Mac tahun lalu.

Akhbar dwimingguan PAS Harakah yang memuatkan edisi-edisi terkini pergolakan politik di Perak dirampas di negeri itu, Kedah dan Selangor.

Gangguan KDN juga didakwa berlaku di Pulau Pinang dan Johor.

Ketua pengarangnya Ahmad Lutfi Othman memberitahu Malaysiakini kelmarin, pihaknya sedang mengumpul maklumat jumlah rampasan kementerian berkenaan.

ADS