Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dunia belum kiamat. Bertabahlah.

Apa sangat dengan "10" berbanding harapan yang tidak wajar kita bunuh hanya kerana satu peristiwa. Apa lagi peristiwa itu di tanah rantau Arab yang memang kita tahu akhir-akhir ini sangat ramah serta pemurah kepada Malaysia.

Hidup belum berakhir, malah mungkin baru bermula. Mungkin.

Sepuluh itu memalukan, tetapi mengalah dan meletakkan senjata selepas berjuang berhabis-habisan sebenarnya adalah kekalahan yang tak terampun.

Anda boleh berkata apa saja dan kepada sesiapa saja. Harimau Malaya tidak boleh dibiarkan mati tanpa taring. Belang? Memanglah, harimau apa yang tak berbelang kecuali harimau albino. (Atau dalam kes khusus, mungkin anak harimau yang selepas lahirnya tidak menunjukkan "100 peratus ciri harimau".)

Jatuh setakuk lagi

Kita tak tahu apakah strategi disusun Dollah Salleh di Abu Dhabi malam tadi. Kita juga mungkin tak tahu apa formasi dipilih jurulatih pilihan FAM itu.

Namun kita sangat pasti bahawa Dollah adalah orang yang lebih kecewa berbanding dengan kita. Menjadi sangat aneh jika beliau tidak berasa apa-apa dengan kekalahan itu kerana sasaran utama yang dicari penyokong Harimau Malaya tentulah dia sendiri.

Tentang ranking dunia yang pernah dianggap tidak penting oleh orang tertentu, rasanya Dollah juga mahu kedudukan pasukan kebangsaan ditingkatkan ke tahap lebih baik.

اهداف مباراة الإمارات 10-0 ماليزيا اهداف الإمارات وماليزيااهداف مباراة الإمارات وماليزيا 10-0 الشوط الاول - تصفيات كأس العالم 2018 و آسيا 2019

Posted by Daily Sukan on Thursday, 3 September 2015

Hakikatnya ialah, posisi Harimau Malaya di mata Fifa kini jatuh setakuk lagi.

Rekod pasukan kebangsaan di bawah Dollah memang tidak begitu melegakan. Sebelum terkapar di Abu Dhabi malam tadi, Harimau Malaya sudah dikurung oleh Timor Leste, dan dilukakan dengan parah oleh Palestin.

Kalah itu memalukan. Mengalah jauh lebih mengaibkan. FAM perlu memikirkan strategi lebih berkesan untuk mengubat luka di hati setiap warga Malaysia.

Mungkin strategi lebih kreatif dan 'di luar kotak'. Atau jika perlu, FAM (atau, kita) tidak perlu memikirkan tentang "kotak" itu sama sekali.

Ia mungkin hambar, tapi jika mahu, apa salahnya strategi dipelopori Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini digunakan - kembangkan layar dan labuhkan sauh. Lantas ketua kapal dan anak kapal jangan menoleh ke belakang sama sekali.

Kita memiliki ramai pakar motivasi, pemikir dan sarjana yang boleh menterjemah maksud diungkapkan perdana menteri itu dan dilaksanakan pada peringkat pembangunan sukan.

Dengan ramuan pemikiran yang betul - dan mungkin tanpa memikirkan sama ada mahu kekal di dalam atau luar kotak, atau jangan memikirkan "kotak" itu sama sekali - kita mampu berjaya.

Ingatkan kata semangat keramat yang selalu kita ulang-ulang selama ini: MALAYSIA BOLEH!

Lihat Komen
ADS