Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kami berjanji untuk berjumpa di sebuah bangunan pencakar langit yang menjadi kebanggaan negara di ibu kota Kuala Lumpur.

Riak wajahnya ketika jabat salam pertama kami nampak sangat mesra. Terasa juga kesungguhan dan keinginannya untuk bersuara terhadap bidang yang pernah digaulinya lama dulu.

Pertemuan di sebuah restoran di bangunan pernah diiktiraf tertinggi di dunia itu berlangsung kira-kira sejam. Zaki Sadri banyak berkongsi tentang isu dan dunia sukan olahraga tempatan dan konflik politik yang turut menjadi 'kentut' dalam organisasi sukan.

Mempunyai bakat, keupayaan dan kelebihan dalam sukan olahraga - di Malaysia - dilihat tidak memberi ruang kerjaya jangka masa panjang buat seseorang atlet.

Malah, warna-warni sejarah sukan olahraga negara sekadar 'wujud' dan memenuhi balapan dalam setiap penganjuran kejohanan. Memang ada yang muncul wira, dikalungkan pingat - kemudian sebelum sepi menjadi sejarah di Wikipedia.

Bagi Zaki, 49, senario yang diwarisi sejak negara merdeka itu masih gagal diangkat berkembang mengikut masa dan tanpa suntikan motivasi lebih tinggi.

Ramai pilih jalan selamat

Justeru katanya, karier dan bakat olahraga seseorang itu dengan mudah akan lenyap dalam jangka masa singkat.

"Sampai bila atlet kita mahu 'makan' pingat? Olahraga berbeza dengan bidang sukan lain dalam pelbagai aspek dan keistimewaan kepada atlet hanya tiba sebaik individu tersebut berjaya," katanya kepada Malaysiakini .

Menurut beliau, untuk menggilap bakat baru dalam sukan olahraga kini semakin mencabar lebih-lebih lagi dengan pengaruh politik yang turut melanda organisasi sukan.

Tambah bekas jaguh lompat jauh dan lompat kijang itu berkata, seseorang yang mempunyai bakat dalam olahraga juga akan memilih 'jalan selamat' untuk membina kerjaya.

"Mereka boleh memilih sama ada untuk menjadi seorang atlet olahraga seperti saya, atau sukan lain yang mungkin lebih menjamin masa depan.

"Misalnya individu itu ada bakat laju dalam lumba lari, dia mungkin boleh pilih bola sepak dengan kelebihan lari laju dengan mendalami sukan bola sepak bermain bola.

"Dia takkan pilih lumba lari jika bola sepak lebih cerah masa depannya, ada gaji lumayan, dan imbuhan-imbuhan tertentu walau sekadar bermain untuk wakil negeri," jelas beliau.

Sehubungan itu, pemenang lapan pingat emas di temasya Sukan SEA penghujung tahun 1980-an dan 1990-an itu berpendapat, sebarang penganjuran sukan olahraga perlu menyediakan insentif kepada atlet.

Katanya, insentif tersebut perlu diberikan di peringkat akar umbi lagi supaya memberi suntikan motivasi kepada bakat-bakat baru untuk berjinak dalam arena balapan.

"Kita patut berubah, hadiah kemenangan juga patut tukar. Asyik bagi pingat saja... kena ada insentif lain sebab sekarang ini bidang sukan mengharungi arus berbeza berbanding zaman saya dulu.

"Dulu kita berbangga bila dapat wakili negara, kemudian naik podium. Bukan kata semangat patriotisme itu tak ada, tapi anak-anak zaman sekarang agak kuranglah," ujar Zaki yang kini berkhidmat sebagai Penyelaras Jabatan Korporat Petronas Pantai Timur, di Kemaman, Terengganu.

"Dari segi orang perseorangan hingga ke peringkat organisasi, kita banyak (hal) politik jugalah dan suasana politik kita juga yang menyebabkan benda macam ini.

"Kita tak didik daripada awal, apabila masalah macam perbezaan bangsa menjadi perbahasan dalam media-media soasial misalnya - daripada situ kita dah nampak ia membawa (kesan) kepada kurangnya nilai perpaduan," jelas Zaki membuat penampilan pertama pada Sukan SEA 1987 di Jakarta, Indonesia.

[Bersambung bahagian kedua]

Lihat Komen
ADS