Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sambil makan kuih tradisonal dan teh tarik di restoran menara berkembar itu, Zaki Sadri menceritakan betapa 'daifnya' pengurusan sukan olahraga di Malaysia.

Dari sistem pemilihan atlet, program pembangunan, penajaan dan dana serta intensif yang dilakukan, pihak berwajib dilihat perlu ditransformasi untuk melangkah lebih jauh.

Zaki berkata, setiap kejohanan besar menawarkan kira-kira 40 pingat emas untuk acara olahraga berbanding sukan popular lain seperti bola sepak.

"Sistem pemilihan misalnya, perlu lebih terbuka bukan hanya menyasarkan kelompok tertentu.

"Pihak yang berkenaan juga perlu mengambil kira bagaimana seseorang atlet itu muncul - adakah dengan memenangi suatu kejohanan yang dianjurkan atau melalui pelapis-pelapis sedia ada.

"Kita boleh tengok dengan ribuan pelajar di sekolah sukan seluruh negara, hanya berapa kerap sahaja yang benar-benar menonjol dan boleh bertahan," ujar beliau.

[Baca temubual bahagian pertama]

Mengakui itu satu cabaran, bekas atlet kelahiran Parit Buntar, Perak itu berkata, bakat baru sememangnya boleh dicungkil melalui beberapa cara, seperti kejohanan sukan di peringkat sekolah, daerah, negeri atau institusi pengajian tinggi.

Bagaimanapun, kata Zaki, 49, untuk mengetengahkan bakat mereka untuk berada bersama dalam kelompok lebih spesifik - ia sukar dilakukan.

"Bila kita nak latih dia (bakat baru), kita kena ada modal. Macam saya sebelum ini bantu atlet di Terenggau kita tak perlukan modal. Sebab saya sendiri, jurulatih lain dan ibu bapa tengok pun mereka berasa yakin.

"Tapi sekarang adakah jurulatih yang sanggup keluarkan modal sendiri untuk membantu atlet?" keluhnya.

Pemilik gelaran "kanggaru emas" di era 1990-an itu juga berkata, sukan olahraga di Malaysia belum mencapai tahap profesional sebenar seperti negara-negara lain.

Keadaan itu, kata Zaki, menyebabkan atlet olahraga begitu sukar untuk meneruskan kerjaya dan fokus kepada apa yang dilakukan.

"Setiap orang mempunyai keperluan dan komitmen untuk kehidupan mereka. Atlet kita tidak boleh sekadar cari makan ketika waktu kejohanan saja. Mereka perlukan perbelanjaan untuk hidup, lebih-lebih di zaman sekarang.

"Itu antara faktor mengapa karier mereka terbantut. Saya sendiri pernah lalui keadaan itu," katanya.

Menurut Zaki yang kini menetap di Kemanan, Terengganu berkata, atlet olahraga sukar untuk mendapat penaja individu seperti dinikmati atlet dalam sukan lain yang dinilai dengan tahap profesional dan kejayaan yang dicapai.

"Inilah yang perlu dilihat dengan serius oleh pihak yang bertanggungjawab seperti kementerian, KOM (Kesatuan Olahraga Kebangsaan) dan MSN (Majlis Sukan Negara), iaitu bagaimana mereka boleh memastikan kelangsungan atlet," ujarnya. [Bersambung]

Bahagian 1: 'Sampai bila atlet kena makan pingat?'


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS