Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Klopp bakar emosi pemain, penyokong The Kop
Diterbitkan:  May 5, 2016 7:35 PM
Dikemaskini: 11:47 AM

Biasanya pasukan lawan tidak akan menjangkakan apa yang bakal dihadapi mereka jika bertandang ke Anfield, kata Jurgel Klopp.

Pengurus Liverpool itu berkata apa yang pasti Villarreal tidak boleh lega berdepan The Kop awal pagi esok (waktu Malaysia) walaupun kelab dari Sepanyol itu datang dengan kelebihan satu gol daripada perlawanan separuh akhir pertama Liga Europa.

Kempen Liverpool dalam saingan serantau itu dikatakan sering didorong oleh emosi pemain dan penyokongnya.

Pada perlawanan pertama 28 April lalu Villarreal mengatasi Liverpool 1-0 namun Klopp berkata, dia terkejut melihat reaksi anak buahnya dengan jaringan di minit-minit akhir perlawanan di El Madrigal itu.

Justeru, kenyataan Klopp itu membayangkan betapa pengurus Villarreal, Marcelino, perlu berhati-hati berkunjung ke Anfield dengan kelebihan gol jaringan Adrian Lopez itu.

Minggu lalu media Sepanyol melaporkan Marcelino tidak akan sekadar bertahan dengan gol tunggal Lopez berkenaan sebaliknya berjanji tetap melancarkan serangan ke kubu The Kop.

Seperti biasa Liverpool kembali berharap kepada 'kebangkitan semula' skuad itu untuk menaikkan semangat penyokong serta pemainnya.

Baru separuh masa pertama

Menjelang perlawanan awal pagi esok Klopp segera memetik perlawanan suku akhir Liverpool menentang Borussia Dortmund pada 14 April lalu.

Dalam perlawanan kedua suku akhir itu Liverpool yang ketinggalan 0-2 membuat kebangkitan semula mengejar pencabar dari Jerman sebelum akhirnya menang 4-3.

Suku akhir pertama mereka berakhir dengan keputusan seri 1-1.

"Jika kami boleh mencipta suasana seperti bertemu Dortmund dulu, pasti kesukaran yang dihadapi Villarreal jauh lebih besar berbanding apa yang mereka bayangkan," katanya.

Meneruskan komennya yang dianggap sebagai serangan psikologi kepada Villarreal, Klopp berkata, dia tidak pasti apa yang diketahui kelab Sepanyol itu mengenai Anfield.

"Villarreal nampaknya tidak begitu meraikan menjaringkan gol (dalam perlawanan separuh akhir pertama dulu), maknanya ada sesuatu yang tak kena.

"Apabila perlawanan pertama berakhir, saya berasa kami seperti baru saja menamatkan separuh masa pertama. Kini mereka perlu bermain di Anfield (utuk 'separuh masa kedua') dan saya masih mengalami perasaan itu," katanya.

Dalam perlawanan nanti skuad Klopp akan diperkuatkan dengan kembalinya Emre Can selepas pemain muda Jerman itu pulih daripada kecederaan buku lali.

Namun Klopp perlu mempertimbangkan strategi di bahagian tengah - sama ada akan membabitkan Daniel Sturridge atau sebaliknya.

Lihat Komen
ADS