Paling Popular
Terkini
mk-logo
Advertorial
Rosmah Mansor dan kilauan PERMATA-nya
Diterbitkan:  May 27, 2016 6:28 PM
Dikemaskini: May 30, 2016 4:26 AM

Menjangkau usia 9 tahun pelaksanaannya, program pendidikan awal kanak-kanak Pusat Anak Permata Negara (PERMATA) semakin menyerlah dan diiktiraf di peringkat global.

Namun demikian, PERMATA yang dinaungi isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ini tidak lari daripada kontroversi dan sering dipertikaikan pembangkang.

Sepadan dengan namanya, PERMATA sebenarnya diwujudkan bertujuan untuk ‘menggilap kemilau’ bakat anak-anak daripada pelbagai peringkat umur. 

Dengan peruntukan RM42 juta dan RM30 juta pada 2014 dan 2015, program ini mempunyai keupayaan besar untuk berperanan dalam pendidikan awal kanak-kanak di negara ini. 

Ada pihak menganggap PERMATA memainkan peranan yang seolah-olahnya bertindih dengan peranan kementerian lain dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

 Afifa Daud AO, 38, seorang guru pusat tuisyen menolak anggapan tersebut. 

Beliau membandingkan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) atau "Community-Based Rehabilitation" (CBR) telah dipelopori Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat terlibat secara langsung dalam pendidikan Orang Kelainan Upaya (OKU).

PERMATA Kurnia yang mula beroperasi November tahun lalu itu katanya memenuhi keperluan kanak-kanak penghidap autisme sebagai persediaan sebelum menjejakkan kaki ke sekolah arus perdana.

"Ia berbeza dengan PDK yang seperti pusat asuhan kanak-kanak. PDK tidak ada silibus untuk kanak-kanak seperti ini. Saya sudah mohon untuk anak saya yang juga autisme tetapi sukar untuk saya hantar kerana lokasinya jauh di Putrajaya. 

“Jadi mana program PERMATA yang dikatakan bertindih itu? Saya tidak lihat seperti itu kerana konsepnya juga diadaptasi daripada luar negara. Kalau buka di setiap negeri dan daerah lagi bagus, kerana setiap sekolah pasti ada kanak-kanak autisme," kata ibu kepada anak autisme itu.

PERMATA untuk anak VIP hanya persepsi

Bagi pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Sivamurugan Pandian, saringan kanak-kanak dan pelajar adalah yang dibuat PERMATA adalah penting untuk hasil yang berkualiti.

"Yang terpilih itu mempunyai keunikan dan kebolehan tertentu. Mereka dalam satu jangka masa diharap akan jadi satu modal insan berkualiti yang boleh menyumbang terus kepada proses pembangunan negara.

"Saringan dilakukan banyak faktor. Malah ada kawan saya bukan daripada golongan pertengahan terpilih. Salah jika menganggap hanya golongan tertentu seperti anak orang kaya dan anak VVIP sahaja terpilih.

"Mungkin persepsi tersebut disebabkan wujud pandangan serong tanpa mencari fakta yang sebenarnya. Banyak sebenarnya dilakukan PERMATA, namun mungkin sudah tiba masa PERMATA tunjukkan secara menyeluruh pada umum mereka mencapai pelbagai kumpulan fasa untuk menangani persepsi negatif tersebut.

"Kadang-kadang ada yang bermotifkan politik dan mewujudkan persepsi negatif. Jika program itu membawa manfaat sepatutnya pihak pembangkang atau sesiapa sahaja patut meraikannya," kata Sivamurugan yang optimis program ini akan memberi hasil jangkamasa panjang dalam pembangunan pendidikan.

PERMATA merupakan platform bagi kanak-kanak semua peringkat. Ahli akademik dan golongan profesional terlibat secara langsung dalam membimbing 7 program yang bernaung di bawahnya.

Bukan sahaja itu, kajian berkaitan mula dijalankan dengan menyelidik program pendidikan awal kanak-kanak di negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand untuk membentuk program PERMATA Negara.

Terkini, Program PERMATA mendapat pengiktirafan antarabangsa atas inisiatif cemerlangnya dalam kebajikan kanak-kanak.

Bertempat di Istanbul, Rosmah Mansor dikurniakan Anugerah Tadbir Urus Baik Global (3G Awards) 2016. 

Pengerusi Eksekutif Cambridge IF Analytica, Profesor Humayon Dar menganggap anugerah itu sepadan dengan usaha yang dicurahkan PERMATA selama ini, katanya sewaktu diwawancara sebelum menyampaikan anugerah.

Lihat Komen
ADS