CENDANA (Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan) secara rasminya melancarkan SHIFT, iaitu Pameran Seni Visual Kontemporari di bawah naungan program Art In The City oleh CENDANA. SHIFT berharap untuk memupuk permintaan dan penghargaan terhadap seni tempatan dalam kalangan generasi muda dengan menampilkan lebih 170 karya seni dari 42 artis bebas tanah air.
SH/FT, yang berlangsung dari hari ini hingga 11 Ogos di White Box dan Black Box, MAPKL @ Publika, bermatlamat untuk meningkatkan profil artis dan kolektif kesenian tempatan dengan menyediakan satu platform bagi mereka mewujudkan kesedaran, di samping mempamerkan dan menjual karya seni unik mereka kepada pengumpul berpotensi serta khalayak ramai.
Selaras dengan usaha berterusan CENDANA untuk memartabatkan seni dengan mempromosikan dan mendidik masyarakat umum tentang seni, pameran ini akan bertumpukan kepada topik yang penting untuk Malaysia hari ini, dan esok hari. SH/IFT akan memberikan fokus kepada ‘perubahan’ sebagaimana maksud tajuknya melalui tiga tema sekunder, iaitu – SH/FT <Identiti>, SH/FT <Teknologi> and SH/FT <Budaya Pop>.

Pameran ini adalah terbuka kepada orang awam secara percuma, dan menampilkan karya seni merentasi pelbagai medium, termasuk lukisan, cetakan, pemasangan seni, audio visual dan persembahan. SH/FT menjemput para pelawat untuk menyelaras pemahaman mereka tentang seni melalui tafsiran para artis berkaitan pelbagai tema SH/FT.
SHIFT dilancarkan secara rasmi oleh Yang Berbahagia Dato’ Khairul Anwar Salleh, Naib Presiden dan Ketua Bahagian Melayu & Nusantara Kumpulan Kandungan Astro, serta Ahli EXCO CENDANA. Beliau menegaskan kepentingan platform-platform strategik seperti SHIFT, yang bukan sahaja mengiktiraf bakat seni artis tempatan, tetapi juga memacu sektor kreatif sekaligus menyumbang kepada ekonomi negara.
“Sektor seni dan budaya adalah pemacu ekonomi yang amat transformatif, serta memberikan fokus kepada pembangunan yang berteraskan insaniah, penyediaan pekerjaan, penjanaan pendapatan serta perolehan eksport. Justeru, kami memerlukan inisiatif-inisiatif seperti SH/FT bagi menyokong ekosistem seni yang semakin bertumbuh, di samping menghubungkan artis tempatan dengan masyarakat umum serta merangsang permintaan terhadap karya seni tempatan,” kata Yang Berbahagia Dato’ Khairul Anwar Salleh.

“SH/FT akan menyimpulkan salah satu kempen kami yang bermula pada tahun 2018. Ia merupakan satu usaha berasaskan kontemporari, yang menyumbang kepada kesinambungan artis-artis yang bergerak bebas atau berdikari, berkumpulan serta persatuan-persatuan artis yang memerlukan lebih banyak platform untuk mempamerkan karya seni mereka kepada khalayak ramai. Kami berhasrat untuk meneruskan kerjasama rapat dengan artis-artis tempatan untuk melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang terkenal dengan seni dan artis-artisnya, serta meletakkan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar budaya yang kreatif,” kata Izan Satrina Mohd Sallehudin, Pengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA.
Dari April hingga Mei 2019, CENDANA telah menerima lebih 90 penyertaan dari 80 artis bebas tempatan. Karya-karya seni yang telah disenarai pendek adalah berdasarkan keunikan dalam menzahirkan tema-tema SH/FT. SH/FT diilhamkan oleh CENDANA dan diketuai oleh satu pasukan yang terdiri daripada tiga orang kurator – Sharmin Parameswaran, kurator bebas, Nur Hanim Mohamed Khairuddin, kurator bersekutu Singapore Biennale 2016, dan James Ly, pengasas bersama ruang alternatif, Minut Init.

“Melalui SH/FT, kami telah bekerjasama dengan rangkaian artis serta kumpulan kreatif yang luas, serta mencari ikhtiar untuk terus menggalakkan penyertaan yang aktif dan dinamik dalam ekosistem seni visual, sekaligus menampilkan bakat-bakat seni kami kepada lebih ramai orang. Melalui pemohonan terbuka, kami amat teruja dan terdorong dengan artis-artis yang telah menyerahkan penyertaan. Mereka terdiri daripada pelukis, artis grafiti, arkitek, pereka fesyen dan sebagainya, yang masing-masing menzahirkan pandangan mereka terhadap kehidupan kontemporari di Malaysia,” kata Sharmin Parameswaran, Ketua Kurator SH/FT.
Artis-artis yang mengambil bahagian termasuk Ajim Juxta, Alias Mat, Alya Hatta, Amar Shahid, Ammar Idris, Anas Afandi, Azarikh, Blank Malaysia, Cristjen Lai, Emir Nazren, Fauzan Fuad, Fizrie Azhan, Haris Rashid, I-Ling, Jack Yong, Kara Inez, Khairul Zariq, Kua Chia Chi, Lai Chang Shiang, Lee Mok Yee, LimJing, Lith Ng, Mark Tan, Max Jala, Mohsin Aminuddin, Myra Myn, Nabihah Haiyee, Ng Kim Peow, Nicholas Choong, Rico Leong, Sanker Ganesh, September Khu, Seven Sans Set & Foie, Sheila Samsuri, Tsa Meera, Sophia Kamal, Syazana Afrina, Tajrin Fariqi, Tomi Heri, Victor Khoo, Wong Xiang Yi, Yati dan Zariq Zin.
Sebahagian besar karya seni yang dipamerkan adalah baharu dan dihasilkan khas untuk SH/FT 2019.
