Belanjawan 2020 Negeri Perak yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri minggu lalu mempunyai agenda sosio-ekonomi yang cukup jelas dan holistik. Selari dengan tema ‘Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan dan Inklusif’, belanjawan yang mencecah angka RM1.098 bilion itu bertujuan membina daya tahan ekonomi untuk berdepan dengan pelbagai faktor risiko luaran, mempelbagaikan ekonomi bertepatan dengan perkembangan semasa dan masa depan, serta memastikan keseimbangan pembangunan semua daerah dan meluaskan jaringan keselamatan sosial sedia ada.
Kerajaan negeri membuktikan komitmen memperkasakan institusi agama Islam dengan peruntukan RM153.1 juta, peningkatan sekitar 20 peratus berbanding sebelum ini. Selain itu buat pertama kali, kerajaan negeri akan melaksanakan Program Bantuan Umrah dengan peruntukan RM5 juta yang akan memberi manfaat kepada 1,000 orang asnaf dan Program Bantuan Wang Saku kepada 3,000 jemaah haji muassasah dari Perak berjumlah RM1.5 juta bermula tahun depan. Kerajaan negeri juga akan memperkenal inisiatif baharu iaitu Bantuan Pengurusan Masjid peruntukan RM500,000 yang diselaraskan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dalam program pengindahan 25 masjid terpilih.

Ketika membentangkan Belanjawan Perak 2020, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk sekolah agama rakyat, RM2 juta untuk sekolah tahfiz dan pondok swasta, RM3.3 juta bagi meningkatkan keselamatan infrastruktur sekolah tahfiz dan RM22.2 juta untuk Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan.
Sepanjang tahun 2018, Perak mencatatkan pertumbuhan ekonomi 5.3 peratus dengan pelaburan masuk sekitar RM1.72 bilion sepanjang enam bulan pertama tahun 2019, merangkumi pelaburan langsung asing (FDI), berjumlah RM951.5 juta. Ketika mana dunia sedang berdepan dengan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan, angka yang dicatatkan ini merupakan manifestasi keyakinan pelabur tempatan dan asing kepada kepimpinan dan pentadbiran negeri.
Mengambil inti pati belanjawan Persekutuan, negeri ini memperuntukkan sejumlah dana yang besar untuk bidang pendidikan dan pembangunan infrastruktur. Hampir RM67 juta dikhususkan untuk tujuan tersebut. Buat julung kalinya, Kerajaan Negeri Perak mewujudkan peruntukan khas sebanyak RM2.7 juta untuk program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET). Jumlah ini tidak termasuk peruntukan keseluruhan pembangunan belia dan sukan sebanyak RM21 juta.
Iltizam mewujudkan suasana ekonomi yang “inklusif” dan terangkum diambil secara yang cukup serius. Ikhtiar sosio-ekonomi untuk membantu kumpulan berpendapatan rendah dijadikan keutamaan. Menerusi inisiatif ‘Kad Perak Prihatin’ misalnya, sejumlah 20,000 isi rumah berpendapatan rendah akan mendapat manfaat langsung. Jumlah ini bertambah, berbanding 17,000 isi rumah apabila inisiatif ini dimulakan pada tahun 2019.
Para pemegang kad Perak Prihatin layak untuk membeli barangan asas makanan bernilai RM960 setahun di kedai-kedai runcit yang berdaftar serta kemudahan mendapatkan rawatan kesihatan sehingga RM300 di mana-mana klinik panel terpilih.
Tuduhan tidak berasas kononnya kerajaan negeri tidak menyantuni keperluan masyarakat Orang Asli juga tidak benar dan meleset sama sekali. Berkesinambungan dengan agenda belanjawan 2019, Program Community Feeding (PCF) yang telah berjaya menurunkan kadar kematian kanak-kanak Orang Asli berumur antara 6 hingga 12 tahun, akan ditingkatkan 100 peratus kepada RM1.0 juta melalui Jabatan Kesihatan Negeri.
Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk pelbagai program akademik dan motivasi kanak-kanak Orang Asli dan meneruskan program-program lain melibatkan masyarakat Orang Asli.
Komitmen syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC negeri) untuk menjadikan perkampungan Orang Asli terpilih sebagai ‘kampung angkat’ bagi mendayaupayakan mereka supaya dapat berkongsi ‘kek’ pembangunan negeri dan negara akan diteruskan. Setakat ini, program ini melibatkan 20 perkampungan Orang Asli.

Bagi menzahirkan harapan golongan B40 memiliki rumah pertama di bawah program Rumah Perakku, setakat hari ini, 7,000 rumah telah siap dibina; dengan 11,000 unit sedang di dalam pembinaan. Bagi tahun 2020, peruntukan sebanyak RM10 juta disediakan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) untuk meneruskan pembinaan Rumah Perakku.
Kerajaan Negeri juga memperkenalkan insentif baru tahun depan bagi menggalakkan pihak swasta turut terlibat di dalam usaha membina lebih banyak perumahan kos rendah dan sederhana yang berkualiti.
Sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam negeri, Kerajaan Negeri mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2 ribu kepada semua penjawat awam Negeri. Selain itu, sejumlah RM5 juta turut disediakan bagi pembayaran perubatan penjawat awam Negeri di klinik dan hospital Kerajaan.
Dasar dan asas hubungan yang baik di antara Menteri Besar dan pentadbiran Persekutuan di Putrajaya amat penting bagi memastikan negeri ini terus mendapat tempias agenda pembangunan lebih besar yang ingin dibawa oleh Kerajaan Pusat. Dua projek mega yang mendapat dokongan kuat Kerajaan Persekutuan – projek Pembangunan Bersepadu Stesen Kereta Api Ipoh dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah cukup dijadikan bukti.
Komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menaiktaraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah disebut secara spesifik di dalam pembentangan belanjawan 2020 di Parlimen baru-baru ini. Potensi yang bakal dibawa ke Ipoh dan negeri Perak secara keseluruhannya cukup besar. Bayangkan sahaja kemampuan lapangan terbang berkenaan menerima lebih ramai tetamu dari Guangzhou, Hong Kong, Taiwan, Chennai dan rantau Asia Selatan yang lain.
Pembangunan bersepadu Stesen Kereta Api Ipoh pula membawa potensi nilai pembangunan kasar (GDV) hampir RM5 bilion. Memorandum perjanjian persefahaman antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) itu sendiri merupakan satu sejarah – kerana meleraikan isu dan masalah yang berusia hampir 20 tahun.
Pelan pembangunan itu melibatkan kawasan seluas 27.5 hektar bagi mewujudkan sebuah daerah pembangunan berorientasikan transit yang terletak di sekitar stesen dan jajaran kereta api. Ia pastinya merubah ‘wajah’ bandaraya Ipoh dalam jangka masa panjang. Menteri Besar Perak turut menyatakan komitmen untuk membina Rumah Perakku di sekitar pembangunan bersepadu berkenaan.
Kerajaan Negeri komited untuk terus mengurangkan kadar pengganguran di kalangan graduan. Pelaburan lima syarikat berorientasikan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) ‘Perkhidmatan Perniagaan Global’ (Global Business Services) hasil kerjasama Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bakal menjadi pencetus kepada dimensi baru aktiviti ekonomi Perak.
Pelaburan GBS ini dijangka menzahirkan 1,500 peluang kerja pelbagai peringkat. Peluang ini cukup strategik dan mampu meletakkan Ipoh di kalangan lokasi penting industri berteraskan IR4.0. Generasi muda di negeri Perak tidak boleh sekadar menjadi pemerhati kepada segala perkembangan ini. Oleh yang demikian, pelaburan besar di dalam bidang pendidikan dan TVET dirasakan amat berbaloi sekali.
Secara kesimpulannya, belanjawan 2020 Negeri Perak mempunyai kekuatan dalam segenap segi. Belanjawan tersebut bukan sahaja mahu memastikan ‘kemampanan’ ekonomi negeri terus terpelihara; malahan meletakkan agenda kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya turut terangkum di dalam kebijaksanaan dasar ekonomi negeri.
