Belanjawan 2021 yang bernilai RM322.54 bilion menitikberatkan keprihatinan terhadap kebajikan kesemua golongan dengan pelbagai jenis bantuan, subsidi dan insentif yang bernilai RM28 bilion keseluruhannya untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat yang terjejas teruk oleh pandemik Covid-19, agar kesemua manfaat yang tertera di sini sampai segera ke tangan mereka secepat mungkin.

Lanjutan moratorium pinjaman
Memahami kesusahan rakyat mengharungi wabak Covid-19, selain daripada Bantuan Prihatin Nasional (BPN), kerajaan akan menggunakan pendekatan Bantuan Pembayaran Bersasar dengan melanjutkan moratorium pinjaman (penangguhan pembayaran balik) selama 3 bulan lagi sehingga 31 Disember 2020. Bagi kemudahan moratorium dari April hingga September sebelum ini, lebih 650,000 permohonan diterima dengan kadar kelulusan setinggi 98%, menurut Menteri Kewangan Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Peminjam kategori B40 diberi dua pilihan, iaitu (1) Penangguhan ansuran bulanan selama 3 bulan atau (2) Pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50% selama 6 bulan. Golongan M40 yang terjejas dinasihatkan untuk menghubungi bank mereka untuk membuat pengisytiharan kendiri atau self-declaration pengurangan pendapatan untuk menikmati fleksibiliti pembayaran balik sebegini.
Hafiz: Penerima manfaat moratorium pinjaman
"Saya menghadapi keadaan yang amat sukar kerana saya telah diberhentikan kerja atas faktor syarikat saya tidak dapat meneruskan projeknya disebabkan pandemik ini. Jadi saya terpaksa mencari alternatif yang lain seperti menyunting video secara online untuk menampung kehidupan saya,” kata Hafiz yang juga merupakan penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kategori B40.
"Saya memang sangat terjejas, memandangkan saya memikul komitmen kewangan yang berat terutamanya ansuran rumah yang perlu dibayar. Nasib baik saya dapat kemudahan moratorium pinjaman yang dilaksanakan oleh kerajaan. Fleksibiliti ini memberi nafas untuk saya membayar bil-bil bulanan buat sementara ini walaupun ia masih sukar juga," ujar Hafiz yang tengah berusaha mencari pekerjaan yang stabil secepat mungkin.
Hafiz berpendapat selagi ekonomi belum pulih seperti biasa, selagi itulah bantuan daripada kerajaan amat diperlukan.

“Keadaan sekarang masih sukar untuk saya kembali ke kehidupan normal tanpa pendapatan tetap. Bantuan BPN adalah sangat wajar kerana ia membantu meringankan beban peribadi dan juga keluarga. Selain belanja dapur untuk beras dan telur, saya menggunakannya untuk membayar bil elektrik dan internet,” kata beliau.
“Memandangkan masih ramai lagi yang terpaksa duduk di rumah tanpa kerja, kalau boleh, BPN yang diberikan secara bulanan atau sekali setiap tiga bulan mungkin lebih praktikal kerana dalam situasi pendemik berpanjangan yang masih kritikal ini, adalah agak mustahil untuk seseorang itu terus bertahan dalam keadaan ekonomi yang suram,” sambung beliau.
Menurut Hafiz, mewujudkan peluang pekerjaan yang boleh disempurnakan melalui internet tanpa pekerja sepenuh masa turut membantu menggerakkan ekonomi.
“Selain daripada memberi bantuan BPN, kerajaan mungkin boleh memberikan peluang-peluang pekerjaan yang melibatkan kaedah menjana ekonomi secara online melalui internet. Contohnya kerja-kerja tambahan daripada sektor kerajaan untuk rakyat biasa terutamanya mereka yang menganggur, yang boleh disempurnakan melalui internet dengan menggunakan komputer atau telefon pintar,” ulas beliau.
Golongan M40 juga diberi penurunan kadar cukai pendapatan sebanyak 1% bagi banjaran pendapatan bercukai 50,001 hingga 70,000 ringgit yang dijangka memanfaatkan 1.4 juta pembayar cukai.
Perlindungan sosiaekonomi yang lain
Kerajaan turut membenarkan peningkatan had pengecualian cukai pendapatan bagi bayaran pampasan atas kehilangan pekerjaan daripada RM10,000 kepada RM20,000 setiap tahun genap perkhidmatan bagi tempoh 2 tahun taksiran.
Subsidi, bantuan dan insentif bernilai RM28 bilion akan diperuntukkan pelbagai segmen termasuk subsidi mengawal kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, dan bantuan pengangkutan.
Contoh: RM200 juta untuk melaksanakan Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming termasuk meluaskan pelaksanaannya ke 34 kawasan baharu antaranya di Pulau Sakar di Sabah dan Ulu Mujok di Sarawak. Melalui inisiatif ini barangan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak, gas LPG, petrol RON95 dan diesel dapat dinikmati oleh lebih 1.1 juta rakyat pada harga yang dikawal.
Kerajaan turut memberi penekanan kepada aspek kesejahteraan komuniti Orang Asli dengan peruntukan sejumlah RM158 juta yang meliputi pelaksanaan program bantuan sosial dan Program Pembangunan Bersepadu Perkampungan Orang Asli.
Ambil bahagian dalam kuiz ini untuk ketahui intipati Belanjawan 2021 dengan lebih menyeluruh.
