Generasi berilmu, generasi berdaya saing. Pendidikan adalah pelaburan yang paling penting untuk memimpin negara maju ke hadapan. Belanjawan 2021 dengan peruntukan RM50.4 bilion atau 15.6% daripada keseluruhan perbelanjaan jelas menunjukkan penekanan dan keutamaan terhadap aspek pendidikan.
Namun, meningkatkan kebolehpasaran graduan baru merupakan satu cabaran besar yang perlu diberi perhatian mendalam. Kecemerlangan akademik mungkin belum mencukupi untuk graduan baru memperoleh prospek pekerjaan yang baik dalam pasaran kerja yang sengit, apatah lagi dalam ketidaktentuan ekonomi semasa yang dibelenggui wabak Covid-19 berlarutan.
Bagaimana pula dengan nasib graduan yang baru tamat pengajian? Tanpa pengalaman dan tanpa kelayakan profesional sebagai ‘nilai tambah’, mereka seakan-akan tenggelam dalam persaingan pasaran pekerjaan. Bayangkanlah nasib antara mereka yang berasal dari keluarga B40 atau keluarga miskin yang menggalas harapan tinggi untuk memperbaiki kehidupan keluarga mereka. Selagi mereka masih menganggur atau tidak mendapat pendapatan yang setimpal dengan kelulusan mereka, selagi itulah sukar untuk mereka berganjak ke hadapan.

Reskilling dan upskilling untuk tingkat kebolehpasaran graduan
Justeru itu, Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz jelas mengambil berat perihal kebolehpasaran graduan baru dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif khas untuk golongan ini.
Program pemahiran semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) merupakan penekanan yang wajar mendapat perhatian graduan.
“Saya berbesar hati kerana Belanjawan 2021 menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam usaha meningkatkan kemahiran graduan melalui pensijilan profesional. Pengalaman mencari kerja saya mendapati majikan dalam bidang tertentu lebih mengutamakan calon yang memenuhi prasyarat kelayakan profesional,” kata seorang graduan yang baru tamat pengajian dan tengah mencari kerja, yang tidak mahu namanya disebut.
“Insentif dalam bentuk baucar bernilai RM3,000 yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini adalah tepat masanya memandangkan graduan baru rata-rata tidak mempunyai wang secukupnya untuk menampung perbelanjaan menyertai kursus professional,” tambah beliau.
Beliau menyarankan agar kerajaan mengadakan seminar percuma untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan daripada golongan sasaran kerana masih ramai lagi yang tidak ketahui atau tidak ambil kisah mengenai kepentingan kelayakan professional dan bagaimana ia boleh membantu memajukan kerjaya seseorang.
Peranan sokongan HRDF untuk bangun sumber manusia
Menurut Nik Surina Suria, Ketua Komunikasi Korporat, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF), RM100 juta yang diperuntukkan untuk HRDF akan dimanfaatkan untuk upskilling dan reskilling tenaga kerja rakyat Malaysia terutamanya yang kehilangan pekerjaan.
“Ini akan memastikan mereka mendapat peluang mempertingkatkan kemahiran bagi tujuan mendapatkan pekerjaan di dalam industri yang baharu. Ianya juga untuk membantu tenaga kerja rakyat Malaysia yang masih bekerja tetapi memerlukan latihan bagi memastikan mereka mempunyai kepelbagaian kemahiran yang boleh membantu mereka dalam mempertingkatkan produktiviti syarikat,” ujar beliau.
“Dalam keadaan semasa yang mencabar ini, pekerja sedia ada atau mereka yang sedang mencari pekerjaan, perlu mempunyai kepelbagaian kemahiran, dan dana tambahan ini akan
memastikan rakyat Malaysia yang memerlukan juga mempunyai peluang mendapatkan latihan ‘cross-skilling’ untuk memastikan mereka senantiasa mempertingkatkan kebolehpasaran mereka,” tambah beliau.
TVET bangun belia dengan kerjasama industri
Menurut Dr. Izyan Munirah Mohd Zaideen, pensyarah kanan Fakulti Pengajian Maritim, Universiti Malaysia Terengganu, latihan dan pembangunan kerjaya amat penting dalam kebolehpasaran graduan dan juga peningkatan tahap kecekapan dan produktiviti termasuk pekerja di peringkat pertengahan dan profesional.
Beliau memetik contoh peruntukan RM300 juta melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi menyediakan pinjaman kepada pelatih program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di institusi latihan kemahiran awam dan swasta.
“TVET mengetengahkan gabungan pengetahuan serta kemahiran vokasional dan teknikal bersesuaian dengan keperluan industri semasa dan masa akan datang. Usaha kerajaan memperkenalkan Sistem Latihan Dual Nasional Plus dengan elaun bulanan peserta dinaikkan daripada RM625 kepada RM1,000 akan menggalakkan lebih banyak penyertaan belia untuk mengikuti program berteraskan TVET yang turut merangkumi penglibatan industri,” ujar beliau.
Belanjawan 2021 memperuntukkan sejumlah RM60 juta untuk tujuan ini yang dijangka memanfaatkan 10,000 peserta.
Penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran
Menerapkan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran adalah seiring dengan perkembangan pendidikan terkini. Menyahut aspirasi ini, RM50 juta diperuntukkan untuk menaik taraf talian akses Malaysian Research & Education Network (MYREN) kepada 500Mbps - 10Gbps bagi meningkatkan kesalinghubungan internet di institut pengajian tinggi.
“Ingin ditekankan, penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran perlu disokong keupayaan infrastruktur jalur lebar yang mencukupi untuk meningkatkan keberhasilannya,” kata Raja Singham, Pengasas dan Ketua Pengarah Brickfields Asia College (BAC).
“Penambahbaikan kurikulum perlu mengambil kira kemahiran-kemahiran yang relevan untuk abad ke-21,” sambung beliau sambil menyarankan pembentukan jawatankuasa bebas untuk menyelia penggunaan bajet dan melibatkan kepakaran sektor swasta untuk berusaha bersama-sama bagi menghasilkan keputusan perlaksanaan yang optimum.
Untuk memastikan pelajar IPT yang mendapat pinjaman PTPTN dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian, kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi pembiayaan Skim BSN MyRinggit-i COMSIS iaitu skim pinjaman komputer riba, berusahasama dengan BSN.

- - - - - - - -
Ambil bahagian dalam kuiz ini untuk ketahui intipati Belanjawan 2021 dengan lebih menyeluruh.
