Keperluan asnaf adalah tanggungjawab kita bersama
Ramai yang hilang pekerjaan dan terjejas mata pencarian akibat pandemik Covid-19 sejak tahun lalu. Selain itu, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jumlah golongan asnaf juga bertambah. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah perumpamaan yang dapat digambarkan terhadap masyarakat yang menerima kesannya hari ini.
Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah melancarkan kempen Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB) yang berlangsung selama enam bulan bermula bulan Julai hingga Disember 2021 dan Kempen RM 10 yang akan berlangsung selama 5 bulan bermula 1 Ogos hingga Disember 2021.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, kempen Skim PZB bertujuan untuk menarik lebih ramai petugas swasta dan kerajaan khususnya di Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan untuk menunaikan pembayaran zakat secara bulanan melalui potongan gaji.
“Jika kutipan zakat meningkat maka lebih ramai asnaf dapat disantuni,” katanya dalam sidang media secara maya semasa melancarkan kempen Skim PZB secara dalam talian.
Tidak dapat dinafikan bahawa ramai asnaf yang kehilangan mata pendapatan sedang berusaha untuk bangkit semula bagi meneruskan kehidupan. Oleh itu, pembayaran zakat melalui Skim PZB akan memastikan dana zakat mencukupi untuk diagihkan kepada asnaf di luar sana.
Sebagai tanda keperihatinan kita yang masih mampu, marilah kita menunaikan tanggungjawab berzakat untuk membantu golongan asnaf yang kian meningkat kini. Kaedah yang termudah untuk menyumbang kepada golongan asnaf adalah melalui Skim PZB dan Kempen RM 10. Mereka yang menunaikan zakat pasti dapat merasai penambahan harta dalam kehidupan mereka seperti yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya dalam Riwayat Muslim (2588) “Zakat itu tidak mengurangi harta”. Melalui kedua-dua kempen ini tanggungjawab ibadah zakat akan dilunaskan.

MAIWP melalui Program MAIWP Prihatin Kasih Asnaf 3.0 telah memperuntukkan lebih RM38 juta untuk dimanfaatkan kepada 75,210 penerima yang terdiri daripada asnaf dan mereka yang terjejas khususnya mereka yang terjejas akibat PKP sebagai bantuan dan inisiatif tambahan. Jumlah ini tidak termasuk bantuan zakat yang telah diagihkan sebanyak RM373.7 juta dari Januari hingga Jun 2021.
PPZ-MAIWP bersama MAIWP dan penerima wakalah individu serta syarikat-syarikat pembayar di PPZ-MAIWP juga telah berkolaborasi memberi pelbagai sumbangan sepanjang tempoh PKP seperti menyumbang bekalan makanan kering dan kewangan kepada 7,100 buah keluarga di 20 lokasi PKPD Wilayah Persekutuan dengan nilai RM1.5 juta. Mereka juga menyantuni barisan hadapan di sekitar Wilayah Persekutuan dengan menghantar bekalan makanan tengah hari bagi membantu meringankan beban mereka ketika bertugas.
Selain bantuan & inisiatif tambahan ini, terdapat juga bantuan tetap bulanan seperti bantuan kewangan untuk kebajikan asnaf, bantuan Pendidikan, perniagaan, perubatan dan sebagainya melalui 30 Skim Bantuan Zakat oleh MAIWP.
Faedah Skim PZB
Antara kelebihan skim PZB adalah pembayaran zakat dapat dilaksanakan dengan pantas, mudah dan selamat secara tetap setiap bulan, perbelanjaan tunai lebih terancang, Potongan Zakat Bulanan (PZB) boleh diselaraskan terus dengan Potongan Cukai Bulanan (PCB) setiap bulan.
Selain itu, potongan tersebut akan mendapat 100% rebat daripada cukai pendapatan individu dan pembayar yang membayar zakat mereka melalui PPZ-MAIWP akan dilindungi Skim Kafalah Muzakki (Khairat Kematian) di mana waris akan menerima sehingga RM3,000 sekiranya berlaku kematian kepada pembayar.
Sementara itu, potongan gaji kakitangan yang melebihi RM100,000 setahun, pihak majikan layak menerima pengembalian semula wang zakat untuk diagihkan kepada asnaf melalui Skim Wakalah Majikan sebanyak 12.5% daripada jumlah keseluruhan potongan. Malah pengembalian ini boleh ditingkatkan lagi kepada 37.5% sekiranya pihak majikan dapat memastikan 80% daripada kakitangan yang beragama Islam membuat potongan gaji mereka melalui PPZ-MAIWP.
Syarat Penyertaan
Mengulas lanjut berkenaan kempen tersebut, Abdul Hakim berkata, penyertaan dibuka kepada semua pembayar zakat melalui saluran Skim PZB sama ada pembayar baharu atau pembayar yang menambah jumlah potongan zakat mereka. Sehubungan itu, peserta juga digalakkan menaksir pendapatan terlebih dahulu bagi mendapatkan jumlah potongan bulanan yang tepat. Anda boleh lawati kalkulator zakat pendapatan di sini untuk memudahkan pengiraan.
Ujarnya, orang ramai boleh menyertai kempen tersebut melalui beberapa cara iaitu mendaftar secara dalam talian di laman web ptg.zakat.com.my, mengimbas kod QR kempen berkenaan atau mengisi borang secara manual di kaunter PPZ-MAIWP, kaunter Zakat Bergerak PPZ-MAIWP atau menerusi majikan masing-masing.
Hadiah Menarik Menanti Anda!
Selain itu, 102 pembayar zakat melalui Skim PZB yang bertuah turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik seperti komputer riba, tablet, telekung eksklusif, dan e-Wallet bernilai RM100 berserta produk asnaf untuk setiap seorang pemenang.
“Cabutan pemilihan pemenang akan dibuat dua kali dalam tempoh kempen pada Oktober depan dan Januari 2022. Mereka ini akan dipilih dalam kalangan pembayar di sektor swasta dan kerajaan,” ujarnya.
Kempen ini adalah satu usaha untuk mengajak dan mendidik seramai yang mungkin tentang kewajipan berzakat dan mula menunaikannya walau dengan hanya RM10.
Sebagai galakan, kempen ini turut menawarkan hadiah menarik kepada pembayar-pembayar yang terpilih melalui cabutan bertuah seperti car recorder dashcam dan fitness smartwatch untuk setiap seorang. Cabutan akan dilakukan sebanyak 3 kali iaitu pada September 2021, November 2021 dan Januari 2022.

Untuk maklumat lanjut tentang Skim PZB dan Kempen RM 10, anda boleh layari https://www.zakat.com.my/skim-pzb/ dan https://www.zakat.com.my/sl/zakat_10/
Anda juga boleh mendapat keterangan lanjut di:
Portal Zakat : www.zakat.com.my
E-mel : info@zakat.com.my
Talian Zakat : 1 300 88 5757
Facebook PPZ : Pusat Pungutan Zakat
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/09/91f33e0f901f01db9e29a3781ea706ab.png)
