Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil atau Bersih 2.0 ialah gabungan NGO dan kumpulan masyarakat sivil, fokus kepada pembaharuan sistem pilihan raya dengan harapan agar rakyat dapat melihat Malaysia yang lebih baik.
Bersih 2.0 telah melancarkan secara rasmi Kempen Ketuanan Pengundi pada hari ini, 15 September, sempena Hari Demokrasi Antarabangsa bagi mengembalikan semula kuasa kepada rakyat.
Menurut Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann, Kempen Ketuanan Pengundi bertujuan untuk membawa semula fokus perbahasan negara agar mengutamakan kepentingan pengundi berbanding perkara yang lain. “Kita ingin memperkasakan suara rakyat sebagai suara keramat dalam demokrasi melalui pembaharuan institusi dan sistem politik negara”, katanya.
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam satu kenyataan berkata, kempen tersebut akan berjalan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan sasaran agar cadangan polisi diterima oleh rakyat, seterusnya diangkat oleh parti-parti politik dalam manifesto pilihan raya mereka.
Bersih 2.0 telah mengenal pasti kelemahan struktur dan halangan dalam sistem pilihan raya dan politik. Oleh itu, kempen ini akan membawa semua pembaharuan penting dalam enam tuntutan untuk memperkasakan hak pengundi dan meratakan padang permainan politik kepada semua parti politik. Enam tuntutan tersebut adalah:
1) Akses Untuk Mengundi Dalam Pilihan Raya
Dalam sistem demokrasi, semua rakyat mempunyai hak untuk mengundi di dalam pilihan raya. Namun hak ini perlu seiring dengan kemudahan kepada rakyat untuk mendapat akses pengundian yang baik.
Bersih 2.0 menyarankan bahawa pendaftaran pengundi automatik (AVR) dan UNDI 18 patut dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan segera. Melalui cara ini 5.6 juta rakyat Malaysia akan secara automatik memasuki proses pemilihan tanpa perlu menunggu lama untuk proses pendaftaran dan pengesahan.
Selain itu, pengundian pos domestik perlu dibatalkan dan digantikan dengan pengundian awal. Ini disebabkan kurangnya ketelusan dan kepercayaan masyarakat umum terhadap proses pengundian pos yang sedia ada. Saranan ketiga ialah pengundian pos perlu dikekalkan untuk pengundi yang menetap di luar negara.
Saranan seterusnya ialah untuk meluaskan pengundian di luar kawasan seperti pengundi Sabah dan Sarawak yang bekerja di Semenanjung dan sebaliknya. Ini dapat meningkatkan akses untuk mengundi sekaligus mengurangkan risiko penularan Covid-19.
2) Hentikan Lompat Parti!
Isu lompat parti akan menyebabkan ketidakstabilan politik. Hal ini wujud akibat perubahan kerajaan persekutuan dan tumbangnya beberapa kerajaan negeri. Yang lebih menyedihkan adalah wakil rakyat yang tidak mempedulikan perasaan atau kepentingan pengundi yang memilih mereka.
Bagaimana pengundi boleh ambil tindakan?
Gejala politik boleh dikawal dengan pelaksanaan Undang-Undang Prosedur Pecat Wakil Rakyat (RPL). Pelaksanaan ini akan mengembalikan mandat kepada pengundi dengan membenarkan mereka memulakan petisyen untuk mengekalkan atau memecat seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
3) Jaminkan Autonomi Parlimen
Parlimen adalah ruang sakral untuk membahas polisi, mekanisme semak dan imbang kerajaan, kepentingan dan keperluan rakyat, justeru Parlimen perlu bebas! Jaminkan autonomi parlimen dengan pengembalian akta perkhidmatan parlimen dan pemerkasaan jawatankuasa pilihan parlimen.
4) Hak Rakyat Untuk Membantah
Ketuanan Pengundi bermakna suara rakyat perlu dihormati dan diberikan ruang seluas-luasnya tanpa perlu menghadapi sebarang tuduhan jenayah. Rakyat yang bersuara, berhimpun dan berpersatuan perlu dibenarkan selaras dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Ia adalah hak asasi manusia yang penting dan tidak boleh melulu dibungkam dengan akta terutama apabila suara itu mengkritik kerajaan atau mana-mana ahli politik. Oleh itu, akta draconian seperti Akta Hasutan 1948 perlu dimansuhkan.
5) Tolak Undang-Undang Dua Darjat
Apabila individu yang tidak berkelayakan dan berat sebelah dilantik, ruang untuk rasuah dan kronisme akan terbuka. Pelantikan pegawai daripada institusi utama negara seperti SPRM, PDRM, SKMM dan lain-lain patut berdasarkan atas dasar yang telus dan yang disemak selia. Ini akan dapat mengelakkan isu tertimbul dua darjat.
Salah satu cadangan yang Bersih telah keluarkan dalam laporan rasmi ialah Pengenalan Rang Undang-Undang (RUU) Pelantikan dan Pemecatan Jawatan Utama Kerajaan untuk menjadikan proses pelantikan calon yang lebih telus, terbuka dan berdasarkan merit.
Selain itu, golongan profesional dan badan-badan berkaitan dipelawa untuk menyertai kempen seperti #RasuahBusters yang berinisiatif untuk menghapuskan budaya memberi dan menerima rasuah serta sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa di dalam ekosistem di Negara ini.
6) Perkasakan suara pembayar cukai
Mengagihkan kuasa di Putrajaya kepada kerajaan negeri dan tempatan serta mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan.
Pengerusi Bersih 2.0 juga telah melancarkan simbol Kempen Ketuanan Pengundi dalam sidang media secara maya hari ini. “Simbol Ketuanan Pengundi ialah nombor enam dalam bahasa isyarat, ambil tangan terbuka dan sentuh ibu jari ke jari kelingking,”ujarnya.
Menurut Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, pihaknya akan menjalankan beberapa siri kempen di platform media sosial seperti Instagram, Twitter, Facebook, portal berita dengan tema tanda pagar #KetuananPengundi dan akan mengadakan kempen “roadshow” seluruh negeri. Di samping itu, Ketuanan Pengundi juga akan melancarkan pertandingan mereka bentuk pelitup muka dan baju pada bulan Oktober. Pemenang pertandingan tersebut akan menjadi reka bentuk rasmi kempen ini.
“Kami dengan sukacita ingin memaklumkan bahawa beberapa tuntutan telah pun menjadi sebahagian daripada memorandum persefahaman untuk transformasi dan kestabilan politik yang baru ditandatangani dua hari yang lepas. Kami akan bekerjasama dengan rakan-rakan dari Gabungan Organisasi Masyarakat Madani (CSO) untuk terus berkempen atas isu yang dikongsi bersama,” Thomas berkata.
Sudah tiba masanya kita mengembalikan demokrasi negara dengan meletakkan kepentingan rakyat di hadapan. Rakyat secara keseluruhan perlu menjadi tuan. Suara rakyat kita pertahankan, ini ialah inti Ketuanan Pengundi!
