Paling Popular
Terkini
mk-logo
Advertorial
Jangan jadi mangsa penipuan dalam talian yang seterusnya
Diterbitkan:  Oct 11, 2021 11:45 AM
Dikemaskini: 3:45 AM

Adakah anda sentiasa menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali? Dan dihujani mesej WhatsApp dan SMS yang tidak diundang? Anda tidak keseorangan!

Macam-macam penipuan dalam talian (online scam) termasuk yang menggunakan panggilan telefon untuk menjerat mereka yang lalai. Meskipun telah berkali-kali dihebahkan oleh media massa dan diingatkan oleh kerajaan dan pelbagai pihak yang lain, gejala penipuan dalam dan luar talian masih berleluasa.

Siapa-siapa sahaja boleh menjadi mangsa

Siapa-siapa sahaja boleh menjadi mangsa tanpa mengira latar belakang dan tahap pendidikan! Lebih-lebih lagi ketika kita sedang mengharungi wabak Covid-19 berpanjangan dengan norma baru menghabiskan lebih banyak masa malayari web di rumah untuk kebanyakan urusan termasuk pembelian. Dan bagi mereka yang tertekan akibat wabak ini, mereka mungkin membuat keputusan terdesak dengan memilih jalan mudah/ pintas.

Situasi sebegini memudahkan lagi ‘toyol siber’ (penipu dalam talian/ online scammer) mencari mangsa termasuk golongan berpendidikan tinggi, pesara dan sesiapa sahaja dalam kalangan kita. Kesemua ini menjurus kepada peningkatan kes penipuan dalam talian yang mendadak sepanjang tahun lalu.

Siapa-siapa sahaja boleh terpengaruh dengan janji-janji manis. Mata terbeliak dan hati berbunga apabila mendengar rezeki harga durian runtuh, untung berganda, komisen melambak, tawaran ‘percuma’, pemenang ‘hadiah utama’, sumbangan amal kepada ‘pusat kebajikan’, pinjaman ‘serta-merta’, dan sebagainya.

Dibutai janji-janji manis dan ditakut-takutkan oleh cerita rekaan

Awas! ‘Kemanisan’ sebeginilah yang bakal menjerat anda ke dalam kandang penipuan tanpa disedari. Ini ditambah lagi dengan pelbagai cerita yang direka-reka atau insiden yang tidak masuk akal – yang menguji keupayaan anda membuat penilaian yang waras dalam setiap situasi.

Mangsa yang mudah ditipu pada kebiasaannya menunjukkan sifat keterbukaan yang leka, kawalan diri yang rendah, kecenderungan mencari jalan mudah atau pintas, sikap tidak ambil peduli dalam pengurusan hal kewangan, pandang remeh terhadap ancaman penipuan dalam talian, dan pelbagai sebab yang lain.

Malangnya, ramai antara kita yang tidak memberi perhatian terhadap laporan atau peringatan terhadap keberleluasaan penipuan dalam dan luar talian, terutamanya ugutan melalui telefon daripada sindiket yang menyamar sebagai pihak berkuasa, pihak bank, organisasi atau wakil tertentu. Mereka sengaja mewujudkan satu situasi yang tertekan dan terdesak untuk anda yang langsung tidak bersedia supaya anda mudah terpengaruh dan cepat membuat kesilapan (terperangkap).

Sekiranya anda mempunyai tabiat kecuaian tersebut, anda tergolong dalam kumpulan yang paling berisiko! Lebih membimbangkan lagi, kes-kes yang diketahui adalah antara yang dilaporkan kepada pihak polis dan pihak berkuasa yang lain. Ramai lagi mangsa yang tidak tampil ke hadapan disebabkan perasaan malu dan sebab-sebab yang lain.

Kes penipuan dalam talian semakin meningkat

Menurut statistik daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, rakyat Malaysia mengalami kerugian berjumlah kira-kira RM2.23 bilion melibatkan sebanyak 67,552 kes penipuan jenayah siber (cybercrime) antara 2017 hingga Jun tahun ini. Daripada jumlah itu, penipuan e-dagang (e-commerce) menduduki tangga teratas dengan 23,011 kes, diikuti dengan pinjaman haram (21,008) dan penipuan pelaburan dengan 6,273 kes.

Modus operandi penipu (scammer) dan jenis penipuan (scam)

Keupayaan dan kemudahan teknologi internet yang tidak terhad membolehkan penipu mempelbagaikan taktik penipuan (scamming) mereka. Ini termasuk penipuan yang melibatkan transaksi jual beli barangan, hartanah; tawaran perbankan, pinjaman wang haram; skim pelaburan cepat kaya, jualan langsung, insurans; tawaran kerja, perjudian dalam talian, perkhidmatan seks; peras ugut menyamar sebagai pihak penguatkuasa, jerat cinta (love scam) dan banyak lagi.

Bagi iklan media sosial berniat penipuan, psikologi memujuk yang gemar digunakan oleh scammer pada kebiasaannya mengandungi ciri-ciri umpan yang bersifat senang hati (feel-good) sambil diagung-agungkan dengan visual berimpak tinggi untuk membuatkan anda melakukan pembelian gerak hati tanpa pertimbangan teliti. Ini termasuk: diskaun yang tidak masuk akal (biasanya barangan palsu, ‘recond’ atau tidak wujud langsung), taktik tawaran masa terhad dengan paparan jam berdetik, tawaran ‘hari ini saja’, kandungan diskripsi ciri-ciri produk yang dipetik dan ditampal (copy-and-paste), pautan (link) yang membawa anda ke laman web khas untuk menjerat mangsa, ‘tanpa deposit/ pendahuluan’, ‘cash on delivery’ (penghantaran barangan palsu/ ‘recond’ melalui pihak ketiga), testimoni rekaan (sangat berleluasa), visual ‘sebelum dan selepas’ yang langsung tidak realisitk, dan ‘claims’ yang tidak sahih sama sekali.

Bagi penipuan melalui telefon, terdapat dua bentuk penyampaian perbualan, iaitu rakaman mesin ataupun perbualan masa nyata (real-time) dengan manusia sebenar. Talian perbualan tersebut pada kebiasaannya akan disambung kepada ‘pelakon’ (penipu) yang lain untuk memperkasakan lagi taktik menakut-nakutkan pendengar. Kata-kata kunci ugutan termasuk arahan: 'anda perlu membuat pemindahan wang', ‘anda perlu membuat bayaran segera', 'anda tidak boleh beritahu sesiapa', 'anda perlu memberitahu nombor akaun/ nombor kad kredit/debit, nombor pengenalan, nombor TAC', kata laluan, dan sebagainya. Sindiket penipuan biasanya akan menyamar sebagai pihak bank, pihak polis, pihak anti-narkotik, pihak kastam, pihak pencukaian, ahli keluarga, saudara mara, kawan lama, malah penculik.

Mengapa penipuan dalam dan luar talian terus berleluasa?

Selain faktor yang berpunca daripada mangsa itu sendiri seperti yang telah dibincangkan, terdapat beberapa penjelasan lain terhadap keberleluasaan jenayah penipuan dalam dan luar talian. Pertama sekali, penipu (scammer) mudah merahsiakan identiti mereka dalam talian atau di sebalik telefon. Pada masa yang sama, kebolehcapaian alam maya dengan teknologi internet yang serba boleh jauh lebih luas dan pantas daripada pertemuan bersemuka dan ini membolehkan scam dilakukan dalam masa yang singkat dan serentak dengan mensasarkan seramai mangsa yang mungkin.

Tips elak jadi mangsa scam

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan orang ramai agar sentiasa bersikap cermat dan menggunakan budi bicara yang sewajarnya semasa membuat pembelian dalam talian (online).

Antara perkara yang perlu anda teliti untuk mengelakkan diri anda menjadi mangsa penipuan adalah seperti berikut:

• Pilih laman web yang boleh dipercayai;

• Buat perbandingan harga yang realistik;

• Ambil kira kos sampingan;

• Teliti tawaran media sosial (penipuan melalui platform ini amat berleluasa);

• Tidak terburu-buru membuat keputusan membeli;

• Semak latar belakang penjual/ peniaga/ syarikat;

• Semak kesahihan testimoni;

• Semak terma dan syarat pembelian;

• Dapatkan butiran peribadi penjual;

• Pastikan kaedah pembayaran yang sah dan selamat;

• Gunakan kata laluan transaksi yang selamat;

• Tidak simpan maklumat perbankan secara tetap di portal jualan;

• Boleh guna konsep ‘cash on delivery’ bagi transaksi tertentu (semak kandungan yang diterima dahulu sebelum membut bayaran);

• Elakkan kemudahan ‘bayar tepi’*;

• Simpan semua bukti pembelian;

• Simpan Salinan iklan barangan yang dibeli;

*Jangan terpedaya dengan Scam Bayar Tepi

Scam Bayar Tepi terjadi apabila pembeli dalam talian diminta membuat bayaran di luar platform e-dagang. Scammer biasanya akan memujuk pembeli membuat bayaran segera atas sebab ‘barangan akan habis bila-bila masa’. Pembeli yang leka akan terus membuat bayaran dan tidak menerima bungkusan tersebut. Lebih memburukkan lagi keadaan, mangsa telah mendedahkan maklumat peribadi termasuk butiran perbankan kepada penipu.

Laporkan penipuan kepada pihak berkuasa

Jadi, jangan ambil sikap sambil lewa dan jangan layan apabila anda menerima panggilan dan mesej WhatsApp dan SMS yang mencurigakan. Kecelikan anda menghidu sesuatu yang mencurigakan seawal yang mungkin dapat mengelakkan anda menjadi mangsa yang berikutnya.

Untuk aduan pengguna seperti penipuan perkhidmatan, penipuan harga, penipuan transaksi internet dan sebagainya, anda boleh hubungi KPDNHEP dengan maklumat yang dipaparkan di sini. Bergantung pada kategori penipuan dan akta yang terlibat, anda juga boleh menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS