Zakat perniagaan adalah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada yang melibatkan barangan atau perkhidmatan. Zakat ini merupakan suatu tanggungjawab yang wajib ditunaikan ke atas individu yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan seperti cukup nisab, niat berniaga, cukup haul dan lain-lain.

Kaedah Pengiraan Zakat Perniagaan

Kaedah pengiraan Zakat Perniagaan adalah berdasarkan kepada penyata kunci kira-kira syarikat bagi sesuatu tahun kewangan. Terdapat 3 pendekatan berbeza yang boleh digunakan:

1) Kaedah berdasarkan modal kerja

Kaedah ini juga dikenali sebagai kaedah shariah yang mana ia mengambil kira kedudukan aset semasa dengan menolak liabiliti semasa perniagaan dan mengambil kira beberapa penyesuaian yang berkaitan dengan zakat. Pelarasan ini dilakukan berdasarkan butiran-butiran yang telah dikenal pasti sama ada untuk ditambah atau ditolak dalam pengiraan zakat.

2) Kaedah Modal Berkembang

Sesuai digunakan bagi Institusi Kewangan dan Perbankan Islam, Takaful dan Syarikat Berhad di mana tiada pengkelasan Aset Semasa dan Liabiliti Semasa.

3) Untung Rugi

Sesuai digunakan bagi jenis perniagaan yang tiada akaun atau penyata kewangan seperti peniaga kecil dan runcit contohnya pasar tani, pasar malam, restoran, kedai makan, dan lain-lain perniagaan yang berkaitan.

Perbezaan antara zakat perniagaan dan zakat pendapatan

Menurut Tuan Haji Khairulazhar Bin Hj. Samsudin, Penolong Pengurus Besar Dakwah Zakat PPZ-MAIWP, zakat perniagaan merujuk kepada zakat yang dikeluarkan hasil dari harta perniagaan (sama ada berasaskan barangan atau perkhidmatan) di mana apa sahaja yang diperniagakan/disediakan untuk berjual beli bagi tujuan memperoleh keuntungan. Manakala zakat pendapatan atau harta perolehan adalah mana-mana harta yang diperolehi berdasarkan hasil usaha seseorang yang bekerja seperti gaji, elaun, upah dan sebagainya.

Pembayaran zakat perniagaan layak mendapat potongan cukai tertakluk kepada had maksima 2.5% daripada pendapatan agregat sesebuah syarikat manakala pembayaran zakat pendapatan (termasuk jenis zakat lain seperti simpanan, saham, emas, KWSP dan fitrah) layak mendapat rebat cukai di bawah Seksyen 6A (3) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

Perbezaan antara zakat dan cukai

Zakat adalah kewajiban yang ditentukan Ilahi ke atas setiap Muslim yang telah memenuhi syarat-syarat wajibnya manakala cukai adalah ketetapan dari pemerintah/kerajaan kepada setiap rakyat yang layak dikenakan cukai.

Zakat ditentukan pada kadar 2.5% atau 1/40 sahaja manakala cukai mempunyai tahap/kadar peratusan yang berbeza yang telah ditentukan.

Selain itu, zakat diagihkan kepada 8 golongan (asnaf) selaras dengan surah At Taubah ayat 60 manakala hasil cukai digunakan bagi tujuan pembangunan negara seperti pembinaan jalan dan sebagainya.

Kempen Year End Zakat (YEZ) 2021

Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah melancarkan Kempen Year End Zakat (YEZ) 2021 pada bulan ini dengan tema Berdiri Bersama.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, kempen ini bertujuan untuk menyeru para pembayar untuk menyegerakan bayaran zakat mereka sebelum 31 Disember 2021 bagi menikmati rebat cukai pendapatan taksiran tahun 2021 disamping pelbagai aktiviti akan dilaksanakan sepanjang kempen ini.

Berikut adalah kemudahan saluran-saluran pembayaran zakat yang disediakan:

1. 10 Kaunter PPZ-MAIWP

Sepanjang November dan Disember, 10 kaunter PPZ-MAIWP akan beroperasi seperti biasa iaitu dari jam 8.15 pagi hingga 4.45 petang. Pada bulan Disember kaunter akan dibuka setiap hari termasuk cuti umum. PPZ-MAIWP sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan mengikut SOP. Pada minggu terakhir Disember PPZ-MAIWP menyediakan kaunter khas taksiran bagi memudahkan pengiraan, pertanyaan zakat atau semakan penyata zakat.

2. Portal PPZ-MAIWP dan Aplikasi MyZAKAT

Sebagai usaha membantu kerajaan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19, PPZ-MAIWP menggalakkan urusan pembayaran zakat dilakukan secara dalam talian melalui www.zakat.com.my atau aplikasi MyZakat yang boleh dimuat turun di Google Play atau Apple Store.

3. Ejen-ejen kutipan zakat

Pembayaran zakat juga boleh dibuat melalui ejen-ejen rasmi yang telah dilantik oleh PPZ-MAIWP iaitu melalui perbankan internet, portal online, e-wallet, kaunter-kaunter bank dan pos.

4. Zakat + @MYTEMUJANJI

Zakat+ @MyTemujanji berperanan sebagai ‘one stop centre” bagi memberi pilihan kepada para pembayar zakat untuk menetapkan temujanji bagi perkhidmatan iaitu Kaunter Zakat Digital, Kaunter Zakat Bergerak, Door To Door & Ride2U. Untuk tempahan boleh layari link di portal https://mytemujanji.zakat.com.my/

Pembayar yang membuat bayaran zakat sepanjang kempen ini berpeluang memenangi lebih 1,200 hadiah menarik. Pemenang akan dipilih melalui cabutan secara rawak tertakluk kepada terma dan syarat.

Skim Kafalah Muzakki

Skim ini berbentuk seperti sumbangan khairat kematian yang diberikan kepada Waris Pembayar Zakat sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang PPZ-MAIWP terhadap pembayar zakat yang telah melaksanakan kewajipan berzakat di PPZ-MAIWP. Disamping itu skim ini juga membantu mengurangkan bebanan kepada Waris Pembayar Zakat apabila berlaku kematian.

Waris akan menerima sumbangan sehingga RM3,000 dan jumlah sumbangan yang akan diberikan kepada Waris tertakluk kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan oleh PPZ-MAIWP.

Skim Wakalah

Skim Wakalah merupakan dasar pengembalian wang zakat oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kepada entiti yang membayar zakat kepada Pusat Pungutan Zakat-MAIWP untuk diagihkan kepada asnaf yang layak. Syarikat atau organisasi boleh memohon pengembalian zakat sehingga 50% daripada jumlah bayaran zakat manakala majikan boleh memohon pengembalian zakat sehingga 37.5% daripada jumlah potongan gaji zakat kakitangan.

Zakat tanggungjawab semua

Setiap umat Islam perlu menanam kefahaman serta keyakinan apabila dia menafkahkan sebahagian hartanya ke jalan Allah SWT termasuk berzakat, pasti ada pulangannya. Yakinlah akan janji Allah SWT dengan berzakat tidak akan mengurangkan harta seseorang, malah akan bertambah keberkatan dan rezeki si pemiliknya.

“Apabila kita cukup syarat wajib, kita perlu melunaskan tanggungjawab berzakat. Sebagai tanda keprihatinan kita yang masih mampu, marilah kita menunaikan tanggungjawab berzakat untuk membantu golongan asnaf,” Tuan Haji Khairulazhar berkata.

Untuk maklumat lanjut tentang Zakat Perniagaan dan Kempen Year End Zakat (YEZ) 2021, anda boleh layari https:/zakat-perniagaan/ dan https://www.zakat.com.my/yez2021/

Anda juga boleh mendapat keterangan lanjut di:

Portal Zakat : www.zakat.com.my

E-mel : info@zakat.com.my

Talian Zakat : 1 300 88 5757

Facebook PPZ : Pusat Pungutan Zakat