Baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah melancarkan jenama baharu Human Resources Development Corporation (HRD Corp) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Penjenamaan baharu HRD Corp akan menandakan hala tuju yang baharu dalam menyokong aspirasi pembangunan bakat Malaysia secara keseluruhan.
HRD Corp akan bertindak sebagai agensi pusat yang menguruskan Upskill Malaysia, platform "single window" kebangsaan untuk semua program latihan peningkatan kemahiran yang ditawarkan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

"Pada tahun depan, lebih sejuta rakyat Malaysia akan mendapat akses kepada sistem bersepadu ini. Sebanyak 5,000 kursus akan ditawarkan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan, dan ia dijangka akan menarik seramai 220,000 peserta yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan," kata Perdana Menteri.
HRD Corp atau dikenali sebagai “Human Resources Development Fund (HRDF)” sebelum ini, telah ditubuhkan pada 1993, di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia (MOHR). Ia telah dijenamakan semula sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan peranan agensi dalam inisiatif pembangunan bakat.
Dalam tempoh 18 bulan, HRD Corp telah meluaskan peranannya untuk menyokong keperluan latihan dan pembangunan rakyat Malaysia bagi semua lapisan masyarakat.
“Ini termasuk latihan kemahiran dan program menjana pendapatan PENJANA HRDF yang diperkenalkan pada Jun 2020 dan telah membantu hampir 100,000 peserta melalui lima skim utama iaitu Place & Train, B40 Development, Gerak Insan Gemilang (GIG), Industrial Revolution 4.0 dan SME Development, ” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
HRD Corp juga telah memperkenalkan hub latihan dalam talian percuma e-LATiH, yang kini mempunyai 154,000 pelajar berdaftar dan pendaftaran 400,000 dalam lebih 400 kursus latihan berkemahiran tinggi.
Menurut Perdana Menteri, HRD Corp akan terus menggalas tanggungjawab dalam mengutip levi dan mengagihkan dana untuk program latihan kemahiran oleh majikan berdaftar. Hampir RM420 juta telah diagihkan tahun lalu untuk program latihan kemahiran melibatkan lebih 416,000 pekerja.
“Tahun ini, kutipan levi telah mencecah RM680 juta dan sebahagian daripadanya telah digunakan untuk memberi latihan kepada 500,000 pekerja,” tambahnya.
HRD Corp mampu menyokong visi negara untuk menjadi negara berpendapatan tinggi berteraskan ekonomi digital melalui pembangunan aset negara paling berharga iaitu Keluarga Malaysia.
“Ini selaras dengan aspirasi kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), berteraskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Dua komponen utama RMK-12, iaitu Pemerkasaan Ekonomi dan Kejuruteraan Sosial, memerlukan inisiatif yang mewujudkan peluang pekerjaan dan latihan kemahiran untuk semua lapisan masyarakat,” tambahnya.
Platform sehenti yang memudahkan proses permohonan untuk latihan kemahiran.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata platform "single window" akan membolehkan individu merancang kerjaya dan merekodkan pengalaman, kelayakan dan latihan profesional mereka. Individu juga boleh menggunakan platform ini untuk meneroka pelbagai pilihan latihan kemahiran dan mengenal pasti kursus yang sesuai untuk mereka.
Beliau juga berkata platform "single window" telah membantu 2.9 juta pekerja dan 300,000 syarikat yang terjejas akibat pandemik.
“Kami sedang bersiap sedia untuk menghadapi cabaran yang akan datang dengan penduduk yang semakin menua di negara ini. Dalam tempoh 10 tahun, Malaysia akan mempunyai lebih ramai pesara daripada pekerja golongan muda. Oleh itu, usaha mesti dilakukan untuk memastikan rakyat bersedia apabila tiba masanya”
Beliau menyatakan bahawa HRD Corp memainkan peranan yang sangat penting dalam memenuhi keperluan latihan dan pembangunan rakyat dalam usaha memulihkan sosioekonomi negara.
Antara inisiatif yang diperkenalkan dalam menyokong pemulihan ekonomi ialah platform beli-belah dalam talian Jana'Preneur, program “Second Chances and Opportunities for People to Excel (SCOPE)” dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia (JPM) untuk menyediakan latihan dan pekerjaan kepada bekas tahanan.
Mempromosikan budaya pembelajaran sepanjang hayat untuk rakyat Malaysia

HRD Corp menyedari bahawa untuk memastikan kejayaan mandatnya diperluaskan, organisasi tersebut perlu menggalakkan semua rakyat Malaysia untuk membangunkan kedua-dua bidang profesional dan peribadi secara konsisten dan berterusan. Oleh itu, selepas acara pelancaran jenama baharu tersebut, HRD Corp telah menganjurkan forum yang bertajuk “RESET & REDEFINE” yang memfokuskan kepada manfaat teknologi pembelajaran untuk meningkatkan landskap latihan dan pembangunan Malaysia. Forum tersebut dihadiri oleh lebih 800 peserta yang terdiri daripada pemain industri, profesional, penyedia latihan dan eksekutif peringkat C. Sorotan utama forum tersebut termasuk perbincangan panel bertajuk 'The 2030 Workforce: Balancing Three Symbiotic Elements; work, Workers & Workplace’, yang dikendalikan oleh Sarveen Kandiah dari Open Learning Malaysia dan menampilkan penceramah daripada Thriving Talents, Deloitte dan LinkedIn.
Para hadirin juga berkesempatan untuk menyaksikan 11 persembahan PechaKucha iaitu format pembentangan yang menjadi fenomena global di Jepun sejak dekad yang lalu. Semasa sesi tersebut dijalankan, penceramah yang terdiri daripada pengasas baru, ahli pakar dan ahli akademik telah membentangkan pelbagai topik yang merangkumi inovasi dalam rantaian bekalan, teknologi AI dan dron, amalan baharu dalam penggunaan media, latihan dan pembangunan, dan banyak lagi. .
Topik lain yang dibincangkan di forum tersebut termasuk industri latihan Malaysia untuk masa hadapan, mengemudi persekitaran pembelajaran yang sentiasa berubah dan memupuk bakat tempatan dengan pemikiran global.
