Most Read
Most Commented
Read more like this

Sebuah majalah politik popular, Detik, yang tidak disambung permitnya mulai Disember lalu hari ini 'memohon' secara terbuka kepada Kementerian Dalam Negeri agar 'mengharamkannya'.

"Sukacita kami mengingatkan pihak Menteri Dalam Negeri, lakukanlah, Dato' Seri [Abdullah Badawi] punya kuasa mutlak untuk berbuat demikian. Jangan dera kami lebih lama lagi," kata Bekas Ketua Pengarangnya, Ahmad Lutfi Othman, hari ini dalam satu kenyataan selepas 100 hari permit majalah itu dibekukan.

"Bagi saya, kalau KDN mahu mengharamkannya terus, kami persilakan, kerana ia jauh lebih baik daripada membiarkan Detik digantung tidak bertali."

"Apalah yang ditakutkan dengan Detik, sedangkan Harakah yang begitu berbisa pun dibenarkan keluar, meskipun dikurangkan kekerapannya," kata Lutfi lagi, merujuk keputusan KDN mengurangkan bilangan tabloid PAS itu daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan.

Hari ini Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor berkata parti itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap KDN, selain menganjurkan perhimpunan umum di seluruh negara sebagai membantah tindakan tersebut.

Sebelum itu Fadzil, yang juga Ketua Pembangkang, mencadangkan kepada Dewan Rakyat agar isu itu dibahaskan. Bagaimanapun, usul itu ditolak dengan alasan ia tidak perlu disegerakan.

Lutfi, yang dikenali sebagai penulis buku politik yang prolifik, berkata syarikatnya terpaksa menanggung kos kakitangan dan sewa pejabat walaupun majalah itu tidak diterbitkan sebanyak lapan keluaran, mulai 1 Disember tahun lalu.

Satu sumber yang rapat dengan syarikat swasta itu menyebutkan bahawa ia kini berdepan dengan masalah kewangan untuk meneruskan beberapa lagi penerbitan. Selain Detik, syarikat itu juga menerbitkan makalah, buku, komik dan kalendar yang mempunyai nilai-nilai politik proreformasi.

Lutfi berkata KDN tidak ada sebarang sebab munasabah untuk menyekat penerbitan yang dilihat tidak sebulu dengan pemerintah.

"Kerajaan yang bertanggungjawab akan mengambilkira semua pandangan, termasuk yang tidak berpuas hati dengannya," katanya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS