Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mulai 9 hingga 12 Disember 2021, jam 9 pagi hingga 10 malam. Program ini akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Inisiatif program ini adalah untuk menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia, menyeru rakyat mengetepikan perbezaan dalam memulihkan semula negara dalam cabaran mendepani pandemik COVID-19 dan merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Walau bagaimanapun, baru-baru ini terdapat satu kes varian Omicron yang
dicatatkan di Malaysia dan kes ini telah menimbulkan kebimbangan rakyat.
Meskipun majoriti rakyat Malaysia sudah divaksin, tetapi langkah pencegahan
perlu diambil untuk mengelak peningkatan kes Covid-19.
Menurut Puan Wan Azilawati, Pengarah Eksekutif Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), penganjuran program ini akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat berdasarkan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Anggota polis dan petugas kesihatan akan mengatur gerak program tersebut bagi memastikan pemeriksaan pematuhan SOP dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Di samping itu, bilik isolasi juga akan disediakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur”
“Pengunjung perlu memeriksa suhu dan mengimbas aplikasi MySejahtera sebelum memasuki Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Hanya individu yang sudah mendapat suntikan dos vaksin lengkap dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin dibenarkan masuk. Kanak-kanak yang belum divaksin (bawah 12 tahun) perlu diiringi ibubapa atau penjaga” katanya.
Orang ramai digesa untuk mengamalkan penjarakkan sosial sepanjang masa dan memakai pelitup muka. Jumlah kehadiran pengunjung di pusat konvensyen tersebut dihadkan mengikut kapasiti yang dibenarkan.
Setiap booth pameran perlu menyediakan sanitasi tangan dan setiap kawasan yang terdapat banyak sentuhan juga perlu disanitasi. Individu yang baru pulang dari luar negara dalam tempoh kurang 7 hari dinasihatkan tidak hadir ke konvensyen ini.
Sepanjang empat hari, rakyat akan berpeluang untuk menyaksikan persembahan Malam Aspirasi Perdana yang akan menghimpunkan artis kesayangan ramai, persembahan kebudayaan, pameran dan jualan usahawan, galeri pencapaian kementerian, I’m Youth, aktiviti Cabutan Bertuah Perdana, program bantuan, pameran kementerian dan agensi serta padanan perniagaan.
Anda juga boleh menyertai Keluarga Malaysia Esports Tournament secara percuma dan berentap dalam permainan yang terkenal seperti FIFA and Mobile Legend Bang Bang. Di samping itu, Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia juga akan menyediakan kaunter diskaun pembayaran saman untuk rakyat.
Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia akan digunakan sebagai petunjuk prestasi utama dan kejayaannya adalah hasil usaha kerajaan dalam mencapai aspirasi Keluarga Malaysia bagi tempoh 100 hari.
