Berita baik buat semua pencari kerja di seluruh Malaysia. Jika anda sedang buntu dalam mencari pekerjaan atau sedang mencari kerja baru untuk peningkatan kerjaya, kini tiada lagi halangan buat anda!
Rata-rata pengunjung khususnya pemohon melahirkan rasa teruja kerana lebih 10,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan di Karnival Kerjaya Keluarga. Karnival ini juga disertai sekurang-kurangnya 75 majikan terdiri daripada pelbagai industri termasuk syarikat besar dan ternama seperti ExxonMobil, Prasarana, KPMG, UOA Group dan lain-lain.



Di Malaysia sahaja, seramai 90,470 individu hilang pekerjaan bagi tahun ini berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setakat 28 Oktober lalu.
Justeru, dengan adanya Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia anjuran Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui PERKESO, ini dilihat mampu membuka lembaran baharu kepada golongan pencari kerja.
Karnival pekerjaan anjuran Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ini dianjurkan sempena dengan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.
Di samping itu, karnival ini juga bakal melancarkan 61 buah Pusat Satelit MYFutureJobs yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Antara perkhidmatan pekerjaan lain disediakan ialah bantuan pendaftaran ke Portal Pekerjaan Negara, MYFutureJobs, bengkel penyediaan resume, taklimat kerjaya dan bimbingan carian pekerjaan secara percuma oleh Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO.
Penganjuran karnival pekerjaan kali ini juga adalah berkonsepkan hibrid, di mana aktiviti ini akan diadakan secara fizikal dan dalam talian. Sesiapa yang tidak dapat datang secara fizikal, boleh mengikuti taklimat dan ceramah secara dalam talian menerusi beberapa pusat-pusat satelit MYFutureJobs di seluruh Malaysia serta di platform media sosial rasmi PERKESO seperti Facebook dan Youtube.
Ini adalah semangat keprihatinan dan Keluarga Malaysia yang diamalkan agar tiada sesiapapun yang tercicir dalam mendapat manfaat daripada penganjuran aktiviti yang dilaksanakan.
Untuk sertai karnival ini, boleh buat pendaftaran menerusi pautan www.myfuturejobs.gov.my/careerfair atau hubungi nombor hotline pendaftaran PERKESO di talian 019-250 3565 / 019-607 9532 / 019-607 8905.
