Musibah banjir yang melanda beberapa negeri termasuk Selangor sejak Sabtu mendorong semua rakyat untuk bersatu di bawah semangat Keluarga Malaysia dalam menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa. Keperluan membantu mangsa banjir bukan sekadar terletak di bahu jabatan kerajaan, namun merupakan tanggungjawab bersama rakyat Malaysia.
Operasi untuk membantu mangsa banjir tidak sepatutnya dijadikan isu politik kerana semua pihak perlu turun padang dan menolong tidak kira pihak kerajaan, negeri persekutuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat atau lain-lain.
Kejadian banjir di Selangor adalah situasi yang tidak dijangkakan kerana bagi negeri-negeri di pantai timur lain, segala persediaan untuk menghadapi musim tengkujuh telah dilakukan lebih awal dan Selangor sebelum ini sangat jarang dinaiki air dengan teruk apabila tibanya monsun timur laut.
Mengambil kira kepayahan yang didepani Keluarga Malaysia, beberapa agensi kerajaan dan sektor perbankan akan melaksanakan beberapa inisiatif bagi meringankan beban rakyat dan perniagaan terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terkesan akibat bencana banjir.
Untuk membela nasib mangsa banjir, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bantuan bayaran balik pinjaman akan diberikan untuk mangsa-mangsa banjir bagi pinjaman perumahan dan hartanah, kenderaan, kad kredit serta pinjaman peribadi sehingga enam bulan. Antara kemudahan termasuklah penangguhan atau pengurangan bayaran balik ansuran.
Cuti kecemasan juga diberikan kepada penjawat awam yang terkesan daripada bencana banjir dan beliau juga menyarankan majikan swasta memberi cuti dan tidak memotong gaji atau cuti tahunan pekerja yang terjejas.
Kerajaan telah bersetuju menyediakan peruntukan awal RM100 juta untuk pasca banjir bagi membaiki kerosakan rumah dan infrastruktur manakala setiap ketua isi rumah terjejas banjir akan menerima bantuan sumbangan RM1,000.

Selain itu, Pembiayaan Kewangan Peribadi tanpa faedah juga diberikan sehingga RM5,000 oleh Bank Simpanan Nasional (BSN). TEKUN Nasional pula mengkhususkan dana berjumlah RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir Pembiayaan bagi PKS mikro yang terkesan, manakala Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kemudahan pembiayaan sebanyak RM200 juta yang disediakan untuk PMKS yang terjejas melalui Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (Disaster Relief Facility, DRF 2022).
Semasa mesyuarat khas penyelarasan bencana negara Perdana Menteri berkata, untuk menyelesaikan isu banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam dengan kadar segera, sebanyak 41 bot, 16 lori dan juga aset-aset lain telah digerakkan ke tempat berikut dengan kekuatan anggota pasukan penyelamat seramai 321 orang.
Beliau juga telah mengambil tindakan yang segera dengan mengarahkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menggerakkan 20 aset pam mudah alih ke kawasan yang terjejas, tambahan kepada empat buah pam sedia ada. Pam-pam yang diperolehi akan digunakan untuk mengalirkan air genang ke sungai yang berhampiran.
Sementara itu, Perdana Menteri turut bersetuju dengan cadangan supaya beberapa bahagian benteng sungai dipecahkan atau ditebuk buat sementara untuk mengalirkan air genang segera keluar ke sungai.
Di samping itu, pasukan Kementerian Kesihatan juga disediakan di setiap Pusat Pemindahan Sementera untuk memberi rawatan kepada mangsa banjir.
Kerajaan mengumumkan bahawa Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) telah bersetuju menyumbang sebanyak RM50.8 juta bagi membantu usaha menangani bencana banjir dan usaha pemulihan pasca banjir. Ini adalah peningkatan lebih 100% berbanding jumlah RM25 juta yang diumumkan sebelum ini.
Perdana Menteri berkata, kerajaan bersetuju memberikan dua bulan pengecualian sewa kepada penyewa SME Bank’s Entrepreneur Premises Complex yang terjejas akibat banjir. Katanya, kerajaan melalui SME Bank juga akan memudah cara permohonan penstrukturan semula pinjaman yang terjejas akibat banjir.
Kerajaan mengalu-alukan semua agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan orang perseorangan untuk bersama-sama menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa.
