Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Situasi air banjir di Taman Lanchang Indah kali ini didakwa sebagai yang terburuk
Diterbitkan:  Jan 7, 2022 8:45 AM
Dikemaskini: Jan 10, 2022 4:23 AM

Pahang: Kebanyakan rumah di Taman Lanchang Indah ditenggelami air banjir berikutan taman ini bersebelahan Sungai Semantan dan dianggap sebagai kawasan paling teruk di mana dikategorikan ‘total lost’ kerana paras air hampir mencecah atap rumah.

Menurut salah seorang mangsa banjir, Rozain Sulaiman, banjir kali ini melebihi paras bahaya berbanding awal tahun 2021 yang lalu di mana air hampir mencecah bumbung rumah di semua kawasan perumahan.

“Pada pagi 19 Disember 2021, air telah mula menaiki dalam rumahnya pada pukul 4 pagi. Keluarga saya tidak berkesempatan untuk menyelamatkan barang-barang keperluan yang penting kerana air naik begitu cepat,” katanya.

Mangsa banjir dari Taman Lanchang Indah, Norida binti Md Sabri berkata, bahawa dalam 16 tahun pengalamanya menduduki di kawasan tersebut, banjir ini merupakan banjir yang paling besar. Walaupun kawasan tersebut pernah dinaiki air pada awal tahun lalu namun paras airnya tidak begitu tinggi berbanding kali ini.

Katanya, kerosakan yang dialami hampir 95 peratus kerana tidak dapat menyelamatkan harta benda disebabkan paras air naik terlalu cepat.

Rozain berkata bahawa perkhidmatan yang diberikan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Lanchang adalah baik kerana mereka telah menyediakan pelbagai barang keperluan untuk mangsa-mangsa banjir seperti makanan, tilam, bantal dan sebagainya.

Bantuan kerajaan yang pantas

Selain itu, bantuan kerajaan kali ini amat pantas diberikan kepada mangsa-mangsa banjir berbanding kerajaan dulu yang hanya memberi bantuan selepas beberapa bulan. Dalam jangka masa 2 minggu, bantuan sudah diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir.

Bina benteng untuk menangani masalah banjir

Satu alternatif yang dicadangkan oleh penduduk di Taman Lanchang Indah adalah untuk membina benteng. Inisiatif ini perlu dilaksanakan bagi memastikan air dari sungai berkenaan tidak melimpah masuk ke kawasan perumahan.

Bantuan Pembelian Peralatan Elektrik Domestik 

Sebanyak RM500 dalam bentuk e-rebat akan diberikan kepada mangsa banjir supaya mereka dapat membuat pembelian peralatan elektrik bagi menggantikan peralatan yang rosak.

Pelaksanaannya akan menggunakan platform dan mekanisme Program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency (SAVE) yang diselaraskan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA Malaysia).

Bantuan khas ini dikhususkan kepada warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai pengguna/pemilik akaun elektrik (domestik) dengan syarikat utiliti elektrik, rumah kediaman yang terkesan oleh banjir dan tersenarai sebagai Mangsa Bencana yang disahkan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB). Pembelian Barangan Elektrik Domestik telah bermula pada 7 Januari 2022. Untuk maklumat lanjut, pemohon boleh merujuk ke laman sesawang di pautan www.seda.gov.my/bantuan.

Selain daripada Bantuan Pembelian Peralatan Elektrik Domestik, kerajaan juga telah mengumumkan tentang Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia sehingga RM1,000 kepada warganegara yang layak untuk pembaikan atau penggantian kenderaan penumpang persendirian termasuk motosikal, trak pikap dan van bertingkap yang rosak akibat banjir.

Tarikh akhir tuntutan baucar ini adalah pada 31 Mac 2022 dan pengguna dinasihatkan untuk segera membuat tuntutan dari pusat servis/pengedar sah yang berdaftar bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

 


This content is provided by 99 Media.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS