Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Lembah Automotif Berteknologi Tinggi bakal jadikan Malaysia hab pengeluar kenderaan elektrik
Diterbitkan:  Apr 15, 2022 4:04 PM
Dikemaskini: Apr 18, 2022 8:06 AM

Tanjung Malim: Industri automotif negara telah berjaya melangkah lebih jauh selepas meneroka projek mega menerusi pembangunan Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (Automotive High-Tech Valley (AHTV).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia komited dalam membangunkan industri automotif yang dimajukan berpandu kepada Dasar Automotif Nasional (NAP) sejak tahun 1985.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, kewujudan AHTV DRB-Hicom Berhad boleh menjadikan negara sebagai hab pengeluar kenderaan elektrik dan pembekal komponen ke pasaran ASEAN bahkan ke pasaran yang lebih luas lagi.

“Pembangunan AHTV telah dicadangkan lebih 10 tahun lalu bagi memantapkan operasi pengilangan PROTON dari Shah Alam, Selangor ke Tanjung Malim supaya lebih berpusat.

Pembangunan ini juga dilihat dapat menarik minat pelabur-pelabur asing khususnya dari China dan negara lain kerana berpotensi memperkasakan ekosistem dunia automotif dalam satu kawasan yang besar.

Meningkatkan peluang pekerjaan

Selain itu, Tanjung Malim bakal menyaksikan limpahan ekonomi daripada aktiviti projek pembangunan AHTV yang dijangka menjana peluang pekerjaan sebanyak 370,000 sepanjang pembinaan dan 160,000 apabila beroperasi kelak.

“Pembangunan lain yang mempunyai rantaian ekonominya seperti taman perindustrian dan pembangunan hartanah bagi tujuan komersial secara keseluruhannya berpotensi menjana sebanyak RM32 bilion menjelang 2030.“

AHTV juga disasarkan menjadi pusat rujukan pembangunan dan penyelidikan (R&D) bagi teknologi berasaskan pematuhan iklim global dengan penubuhan Universiti Penyelidikan yang signifikan dengan industri ini,” ujarnya.

Jadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon menjelang 2050

Perdana Menteri berkata, usaha membangunkan AHTV sebagai hab baharu pengeluaran kenderaan elektrik selari dengan hasrat dan komitmen kerajaan ke arah pencapaian matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) selain menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon menjelang 2050.

Kerajaan berharap projek pembangunan ini akan dapat memacukan pembangunan industri hiliran dan lain-lain sektor yang menumpukan teknologi terkini terutamanya dalam penggunaan dan pengurusan sumber yang cekap sekaligus mengurangkan kesan rumah hijau.

“Dengan hala tuju yang dibuat secara teliti, AHTV akan memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk tempatan, malah kepada negara Malaysia amnya.

Beliau yakin dan percaya dengan kemampuan DRB-HICOM dibantu penyelarasan bersama agensi kerajaan berkaitan serta dana yang disalurkan mampu menjadi projek mega perindustrian automotif yang gah di rantau ini.

“Bagi memenuhi keperluan tenaga kerja terlatih, pendidikan dan juga penyelidikan, saya mencadangkan agar Universiti Pendidikan Sultan Idris membangunkan sebuah pusat latihan dan penyelidikan,” katanya.

“Dilengkapi dengan bilik kuliah, kemudahan penginapan dan makmal berteknologi tinggi, pusat latihan dan penyelidikan automotif di UPSI akan memberikan tumpuan kepada penyelidikan, latihan kemahiran, pembangunan sumber manusia, serta penyelenggaraan yang berkaitan dengan teknologi automotif terkini.

“Ini bagi memastikan permintaan dan bekalan dari segi teknologi terkini, latihan serta sumber tenaga manusia di AHTV ini dapat dilestarikan secara produktif,” katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS