Bersempena dengan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd meneruskan lagi usahanya bersama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) untuk memperkukuhkan kepentingan hutan dalam bandar, yang dikenali sebagai “Khazanah Rimba” di Pantai Eco Park, Pantai Dalam, dengan bekerjasama dengan kumpulan anak muda dari rumah kebajikan dan komuniti setempat.
Melalui kempen "Adopt a Tree", IWK dan MNS memulakan semula aktiviti penanaman pokok selepas ianya dihentikan sementara ketika pandemik dan susulan penyertaan orang ramai yang semakin meningkat untuk menyumbang dalam usaha menanam pokok-pokok hutan di taman tersebut.
Kerjasama sosial antara syarikat pembetungan nasional dan badan bukan kerajaan alam sekitar ini juga memperkukuhkan lagi potensi penggunaan bi-produk IWK untuk memelihara alam sekitar khususnya dalam penggunaan biopepejal sebagai baja ke atas pokok-pokok hutan ini.

Minggu lepas, sebahagian daripada inisiatif IWK Cares, pihak syarikat telah menjemput 40 orang pelajar dari Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu, Ampang dan masyarakat setempat di sekitar kawasan Pantai Dalam untuk menanam pokok-pokok hutan serta mendengar taklimat daripada pihak IWK dan MNS mengenai kepentingan melindungi alam sekitar.
Kira-kira 200 pokok hutan telah didermakan minggu lalu daripada syarikat swasta, CTC Global Sdn Bhd (CTCG), iaitu sebuah syarikat perunding IT serta kakitangan IWK, di mana beberapa anak pokok telah ditanam daripada benih yang diusahakan di makmal Pusat Penyelidikan Indah Water.
Sejak Kempen “Adopt a Tree” diperkenalkan pada tahun 2020, sebanyak 400 pokok hutan telah ditanam di Khazanah Rimba, dengan kira-kira 100 batang pokok lagi disasarkan untuk ditanam di kawasan tersebut hujung tahun ini.
Bersama-sama dengan MNS, IWK berusaha untuk menghijaukan semula kawasan tersebut; dengan memberi perlindungan kepada spesies fauna dan mengubah taman tersebut untuk menjadi pusat komuniti dan pendidikan mengenai alam sekitar.

“Kami sangat gembira kerana melalui inisiatif ini, kita dapat berjumpa dengan rakan kongsi yang mempunyai arah tuju yang sama, daripada industri, NGO dan komuniti tempatan, demi memelihara warisan alam sekitar bagi generasi akan datang. Visi kami adalah untuk membangunkan masa hadapan yang mampan serta menyemarakkan lagi peluang pembangunan sosio-ekonomi seperti rangkaian sosial dan pendidikan demi persekitaran komuniti yang lebih baik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam.
Lebih penting lagi, Narendran berkata, aktiviti penanaman pokok ini akan menggalakkan lagi penggunaan salah satu produk sampingan IWK - biopepejal - sebagai perapi tanah atau baja untuk memperbaiki keadaan tanah dan meningkatkan pertumbuhan tanaman bukan makanan dan tumbuhan hiasan. Biopepejal ini dihasilkan menerusi proses rawatan kumbahan yang berkualiti tinggi daripada loji rawatan kumbahan IWK.
Seiring dengan tema Hari Alam Sekitar Sedunia 2022, Hanya Satu Bumi, IWK dan MNS, melalui kempennya, terus mengajak semua pihak untuk bekerjasama dalam tindakan kolektif dan transformatif yang boleh diambil oleh sektor perniagaan, organisasi dan individu dalam usaha melindungi dan memulihkan planet ini.
Pada tahun 2020, IWK bekerjasama dengan MNS untuk menambahbaik projek hutan bandar Khazanah Rimba di IWK Eco Park dan seterusnya memperkenalkan kempen “Adopt a Tree”. Kempen ini terbuka kepada orang ramai dan bayaran sumbangan bagi setiap pokok adalah berjumlah RM140.00.
Bagi mereka yang berminat untuk menderma, sila layari https://bit.ly/2Fps4ep untuk maklumat lanjut.
Kandungan ini disediakan oleh Indah Water Konsortium Sdn Bhd
