Sindiket penipuan pelaburan semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat Malaysia. Terkini, VI College mendakwa bahawa nama syarikat mereka telah disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam melakukan sindiket jenayah pelaburan. Jurulatih VI College, Helmy Kasim, dikejutkan dengan mesej daripada mangsa melalui Facebook yang menyatakan bahawa mangsa telah ditipu oleh sindiket penipuan dan penyelewengan wang pelaburan yang menyalahguna nama VI College dan jenamanya, VI Syariah.

Helmy berkata, terdapat pihak yang menyamar menjadi dirinya dan rakan kerja yang lain dengan menawarkan khidmat pelaburan dengan jaminan pulangan yang lumayan dalam grup telegram. Merasa dirinya difitnah dan ingin membersihkan namanya serta nama baik VI College dan VI Syariah, Helmy membuat laporan polis ke atas tuduhan tersebut selepas berbincang dengan pihak pengurusan VI College sendiri.
Beliau juga menyatakan bahawa ada beberapa orang yang sudah tertipu dengan sindiket ini sehingga mengalami kerugian sehingga RM20,000. Beliau menekankan bahawa VI College atau VI Syariah tidak menawarkan khidmat pelaburan dan hanya menawarkan perkongsian ilmu serta khidmat pendidikan dalam pelaburan. Helmy juga menyatakan beliau sering menekankan bahawa pengetahuan asas dalam pelaburan amat penting dan setiap pelaburan mempunyai risiko. Jaminan pulangan yang lumayan dalam masa singkat adalah sesuatu yang amat mustahil dan mencurigakan.
Helmy menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan sentiasa memeriksa latar belakang setiap syarikat sebelum melakukan apa-apa pelaburan. Terdapat pelbagai agensi seperti pasaran Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti yang boleh dijadikan tempat rujukan bagi individu yang ingin melabur untuk mula menapak dalam dunia pelaburan dengan cara yang selamat dan berbaloi.

Menurut Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pemalsuan/Pelaburan Bersindiket) JSJK Bukit Aman, ACP Mohamad Usuf Jan berkata, jenayah dalam pelaburan kini semakin berleluasa dan statistik kes meningkat lebih dari seratus peratus pada tahun 2021. Ini merupakan kesan daripada keadaan ekonomi rakyat Malaysia yang terjejas akibat pandemik dan menjadi faktor utama yang mendesak mereka melakukan pelaburan dalam menjana pendapatan sampingan.
Usuf juga berkata, pulangan seratus peratus dalam masa singkat itu sudah diguna pakai sebagai ‘umpan’ oleh sindiket pelaburan. Beliau menegaskan, pelbagai usaha pencegahan telah dijalankan oleh pihak berkuasa tetapi mangsa tetap tertipu oleh kerana kepakaran yang digunakan oleh sindiket tersebut dalam melakukan penipuan.
Menurut Usuf juga, kes scammer yang melibatkan penyalahgunaan nama baik Helmy Kasim dan VI College masih dibawah siasatan pihak polis dan tindakan yang sewajarnya akan dikenakan kepada pihak yang bersalah. Pelbagai jenis kes pelaburan telah diselesaikan dan pihak polis akan terus berusaha sebaik mungkin dalam mencari titik penamat untuk kes yang melibatkan syarikat ini.
Turut berkongsi pengalaman, salah seorang mangsa berkata, penipuan tersebut bermula dari satu jemputan daripada grup Telegram. Terpedaya dengan testimoni dan pautan video Youtube dari VI College yang dikongsi menerusi grup tersebut, mangsa akhirnya melakukan pelaburan pertamanya dengan jumlah yang paling minimum iaitu RM1,000 yang menjanjikan pulangan RM15,000 dalam masa 6 jam.
Mangsa juga berkata, pihak sindiket tersebut sangat professional dan menunjukkan ciri-ciri islamik yang berjaya mengaburi mata mangsa. Mangsa menegaskan pelaburan tersebut mempunyai perjanjian di mana sekiranya tiada keuntungan dari pelaburan tersebut, maka wang mangsa akan dipulangkan. Tetapi sekiranya pelaburan tersebut berjaya, mangsa perlu membayar 30% dari keuntungan kepada pihak yang menyamar sebagai VI College.
Percaya bahawa iainya seperti upah, mangsa mula membuat transaksi kedua sebanyak RM4,500 kepada akaun individu lain yang dinyatakan sebagai rakan kongsi syarikat tersebut. Mangsa mula menyedari beliau sudah terpedaya dengan sindiket penipuan apabila beliau menghubungi Encik Helmy menerusi Facebook selepas pihak sindiket tersebut meminta beliau untuk melakukan pembayaran sebanyak RM4,000 lagi sebagai deposit untuk keuntungan pelaburannya dikeluarkan. Mangsa kesal dan menasihatkan agar orang ramai tidak mudah terpedaya dan membuat pemeriksaan yang mendalam kepada setiap syarikat pelaburan yang ada bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Orang ramai dinasihatkan melakukan semakan sebelum melakukan sebarang transaksi dengan menyemak butir sesebuah syarikat menerusi SSM atau menerusi Bank Negara untuk semakan lesen pelaburan bagi syarikat yang menawarkan khidmat pelaburan. Pihak polis juga menyeru orang ramai menggunakan portal CCID atau memuat naik aplikasi Semak Mule PDRM untuk membuat semakan terhadap nombor akaun individu atau nombor telefon yang mencurigakan sebagai salah satu langkah pencegahan jenayah komersial.
