Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
KOPETRO terima penghargaan Top Achiever Tawarruq daripada ANGKASA
Diterbitkan:  Feb 8, 2023 12:06 PM
Dikemaskini: 4:06 AM

Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) menerima penghargaan sebagai Penyumbang Utama (Top Achiever) Platform Sistem Tawarruq Angkatan Koperasi Malaysia (ANGKASA) bagi tahun 2022 di Majlis Makan Malam Penghargaan Syarikat Bersekutu, Anak Syarikat dan Rakan Niaga MyANGKASA Holdings Sdn. Bhd. (MHSB) yang berlangsung pada 29 Januari 2023 lalu di Hotel Summit, Petaling Jaya, Selangor.

MHSB adalah anak syarikat ANGKASA dan diwujudkan untuk membantu ANGKASA dan gerakan koperasi menceburi bidang perniagaan baharu yang boleh meningkatkan pendapatan dan memberikan manfaat menyeluruh kepada semua masyarakat khususnya koperasi dan anggotanya.

Sistem Tawarruq ANGKASA merupakan sebuah platform buat koperasi yang menjalankan aktiviti pembiayaan. Platform tersebut adalah satu instrumen patuh syariah yang komprehensif dan dinamik selaras dengan Maqasid Syariah.

Tawarruq merujuk kepada transaksi jual beli komoditi atau aset berasaskan pembayaran tangguh daripada penjual kepada pembeli, dan kemudiannya komoditi atau aset tersebut akan dijual secara tunai kepada pihak ketiga bagi mendapatkan tunai.

Menghadiri majlis makan malam untuk menerima plak penghargaan Top Achiever Tawarruq bagi pihak KOPETRO adalah Encik Azizan Abd Hamid, Ketua Pegawai Operasi, Perkhidmatan Perdagangan & Peruncitan KOPETRO. Menurut beliau, pengiktirafan ini hasil kerja keras setiap warga KOPETRO terutamanya sektor Pembiayaan dan Servis Kewangan.

“Penghargaan ini didedikasikan buat seluruh warga kerja KOPETRO yang terlibat dan juga Anggota KOPETRO yang sentiasa memberikan sokongan padu dalam setiap usaha yang dijayakan kami tanpa berbelah bagi. Tidak lupa juga buat pelanggan tetap kami dan juga pelanggan korporat yang sentiasa mempercayai KOPETRO,” katanya ketika ditemui pada majlis makan malam tersebut.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah MHSB, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah menyampaikan penghargaan tersebut kepada KOPETRO. Melalui petikan ucapan beliau, Abdul Fattah berkata pelbagai inisiatif telah dijalankan oleh ANGKASA bersama gerakan koperasi melalui keterlibatan dalam pelbagai sektor baharu yang sebelum ini tidak diceburi oleh koperasi.

“ANGKASA akan sentiasa menyokong usaha anak syarikat bersama syarikat bersekutu dan rakan niaga lainnya dalam usaha memperkasakan sektor koperasi. Ini secara tidak langsung memberi sumbangan berkesan kepada komuniti dan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” ujarnya.

Ditubuhkan lebih 40 tahun yang lalu, KOPETRO dianggotai lebih 15,000 kakitangan PETRONAS, diiktiraf sebagai 10 Koperasi Terbaik di seluruh Malaysia. KOPETRO juga menerima anugerah Jenama Terbaik The BrandLaureate SMEs BestBrands Award bagi kategori Riadah - Solusi Percutian dan Pelancongan pada tahun 2022. KOPETRO turut merangkul dua anugerah berprestij pada tahun 2020 iaitu anugerah oleh The BrandLaureate bagi kategori SMEs Bestbrands e-Branding Awards dan juga Lang International Corporate Titan Awards – Cooperative Icon of The Year 2020.

Selain Servis Kewangan, KOPETRO juga terlibat di dalam bidang Pelancongan dan Perhotelan, Makanan dan Minuman juga Perdagangan dan Peruncitan.

Maklumat lanjut mengenai Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) boleh didapati di laman sesawang KOPETRO atau di akaun media sosial Facebook dan Instagram @kopetroberhad.


Kandungan ini disediakan oleh Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS