Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam atau Bank) menjalin kerjasama dengan MESINKIRA Sdn Bhd (MESINKIRA) untuk mengguna pakai penyelesaian bersepadu pengurusan perniagaan mudah alih. Kerjasama ini bertujuan untuk menyokong pendigitalan operasi perniagaan usahawan-usahawan mikro yang kurang mendapat akses perbankan.
Pelanggan pembiayaan mikro Bank Islam di bawah program iTEKAD merupakan usahawan-usahawan mikro yang akan memperoleh manfaat menerusi kerjasama ini.
Mohd Nazri Chik, Ketua Pegawai Rangkuman Kewangan Kumpulan Bank Islam, telah menandatangani perjanjian kerjasama ini bagi pihak Bank Islam, sementara MESINKIRA diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Omar Syed Abu Bakar Almohdzar. Turut hadir, Noor Farilla Abdullah, Ketua Pegawai Digital Kumpulan Bank Islam dan Nurullasyikin Ahmad, Ketua Pegawai Pengalaman MESINKIRA.
Melalui kerjasama ini, Bank Islam akan terus membimbing usahawan mikro yang sebelum ini kurang mendapat akses perbankan untuk melayakkan mereka mendapatkannya melalui aplikasi mudah alih MESINKIRA. Aplikasi tersebut akan membantu usahawan merekodkan hasil jualan secara digital, menerima bayaran menerusi pelbagai saluran, inventori, perbelanjaan perniagaan dan simpan kira yang seterusnya menghasilkan penyata kewangan lengkap sebagai dokumen sokongan perniagaan mereka untuk masa hadapan.
Selain itu, Bank Islam akan turut memanfaatkan penyelesaian Papan Pemuka Impak MESINKIRA untuk menilai prestasi para usahawan mikro dengan lebih lanjut dan meneliti kecekapan program pembiayaan mikro yang disediakannya dalam mewujudkan peningkatan status sosioekonomi dalam kalangan usahawan terbabit.
Penyelesaian bersepadu MESINKIRA turut memperkasakan usahawan-usahawan mikro ke arah penyelesaian tanpa tunai dan menerima kaedah pembayaran digital seperti kad, bayaran digital, bayaran komunikasi medan dekat (NFC) dan e-dompet dengan lebih selamat. Kemudahan simpan kira bersepadu ini terus dihubungkan ke akaun semasa perniagaan usahawan-usahawan mikro selain menyediakan penyelesaian dalam membina kepercayaan kredit agar mereka dapat menikmati akses perbankan yang lebih meluas.
Mohd Nazri Chik berkata, “Bank Islam menerusi strategi perniagaan lima tahunnya berhasrat untuk menjadi penyedia penyelesaian kewangan lengkap patuh SyariahESG dan menerajui bidang perbankan digital dan kewangan sosial menjelang tahun 2025. Kami terus mengadakan libat urus dengan usahawan mikro yang kurang mendapat akses perbankan di lapangan dan peka akan kekangan yang mereka hadapi, terutamanya aspek celik kewangan. Kami berbesar hati menjalin usaha sama dengan MESINKIRA dalam menyediakan ekosistem inklusif kepada segmen ini.”
“Kerjasama ini akan menyediakan peluang pertumbuhan kepada usahawan mikro dan membantu mereka celik kewangan. Usaha ini selaras dengan komitmen Bank Islam dalam mewujudkan impak sosial, yang mana kami menyokong ekonomi sebenar dan memupuk peningkatan isi rumah menerusi keusahawanan dan ekosistem kewangan sosial,” tambah Mohd Nazri.
Syed Omar Almohdzar berkata, “Kerjasama kami dengan Bank Islam ini bertujuan meningkatkan celik kewangan dan pada masa sama memperkukuhkan rangkuman kewangan kepada segmen usahawan mikro yang kurang mendapat akses perbankan. Kemudahan inovatif MESINKIRA dapat mengurangkan kos dan memperluas akses kepada produk kewangan, seterusnya membolehkan perniagaan terlibat untuk berkembang maju. MESINKIRA turut menambah baik pendapatan bersih usahawan mikro dan lebih utama, membina kepercayaan kredit yang lebih kukuh kepada ekosistem ini.”
“Kami menjangkakan kerjasama efektif dapat dicapai bersama Bank Islam bagi membina ekosistem yang lebih inklusif supaya dapat memenuhi keperluan pasaran sasaran, menjana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejajar dengan inisiatif Kerajaan dalam menyokong segmen yang kurang mendapat akses perbankan,” tambahnya.
Kandungan ini disediakan oleh Bank Islam Malaysia Berhad
