McDonald's Malaysia buat julung kalinya menawarkan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4, dalam bidang restoran perkhidmatan segera kepada 20 graduan menerusi Program Perantis Vokasional McDonald's Malaysia.
Diploma yang ditawarkan merupakan kesinambungan bagi Program Perantis Vokasional McDonald’s Malaysia sedia ada, membolehkan para perantis yang telah berjaya memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Sumber Manusia McDonald's Malaysia, Azhar Darbi, berkata graduan berkenaan merupakan antara kumpulan terawal yang mengikuti DKM Tahap 4 di Akademi Vokasional McDonald's Malaysia.
“Perantis yang mengikuti DKM Tahap 4 berkenaan akan mengambil masa selama 12 bulan meliputi pembelajaran teori sebanyak 30 peratus di akademi dan latihan praktikal di restoran sebanyak 70 peratus,” katanya.
Membangunkan Tenaga Kerja Mahir dalam Perkhidmatan Makanan

“Di McDonald’s Malaysia, warga kerja kami adalah keutamaan kami. Sebagai sebuah syarikat yang prihatin, kami komited memastikan mereka dapat memenuhi potensi diri dan meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran dalam industri restoran perkhidmatan segera. Sesungguhnya, McDonald’s bukan sekadar tempat kerja, tetapi tempat untuk belia Malaysia membina kerjaya yang bermakna, selain peluang untuk meningkatkan lagi tahap ekonomi keluarga masing-masing,” kata Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.
Program Perantis Vokasional McDonald’s mulai dilaksanakan pada tahun 2018 dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia, berdasarkan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) iaitu kaedah latihan berlandaskan industri. Selepas memperoleh SKM Tahap 3, para pelajar boleh menyambung pengajian ke DKM Tahap 4 yang setara dengan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan diploma di institut-institut pengajian tinggi lain.

Joel Jalong Joseph, perantis Akademi Vokasional McDonald's Malaysia berkata, program ini mengajar pelbagai kemahiran yang diperlukan dalam perkhidmatan makanan. Perantis yang terlibat juga ditaja sepenuhnya oleh McDonald’s Malaysia, disamping mendapat gaji penuh, sepanjang mengikuti pengajian ini. Selain itu, para perantis juga diberikan pelbagai lagi manfaat seperti kemudahan tempat tinggal bagi yang memerlukan, insurans perubatan, makan minum dan sebagainya. Ini merupakan sebahagian insentif pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning) untuk peningkatan kerjaya pekerja.

Afiqah Muhamad Radi, perantis Akademi Vokasional McDonald's Malaysia yang kini menjadi penolong pengurus di salah satu restoran McDonald’s berkata, program ini memberikan peluang kepada beliau untuk belajar dan menambah kemahiran sambil bekerja. Selain memberi peluang, ia juga membuka laluan pekerjaan yang luas.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua golongan belia yang mengikuti program perantis ini. Sehingga kini, terdapat lebih 4,000 perantis yang sedang mengikuti dan telah pun tamat SKM Tahap 3 di Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia,” kata Faizah Harun, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Industri dan Kerjasama Strategik, menanggung tugas Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Jabatan Kemahiran.
95 peratus belia yang tamat program ini memilih untuk membina kerjaya di McDonald's
“Menyediakan peluang pendidikan dan kerjaya kepada golongan belia yang berminat merupakan sebahagian daripada teras syarikat dalam mewujudkan impak positif dalam masyarakat. Malah, sejak Program Perantis Vokasional McDonald’s diperkenalkan, 95 peratus perantis memilih untuk terus mengembangkan kerjaya di McDonald’s dan ramai antara mereka telah pun memegang jawatan penting di restoran. Dengan kesungguhan mereka, pasti lebih banyak pencapaian bakal mereka perolehi pada masa depan dan secara tidak langsung menyumbang kepada perkhidmatan berkualiti dan kejayaan berterusan McDonald’s Malaysia,” kata Dato’ Azmir Jaafar.
McDonald’s Malaysia memperuntukkan lebih RM10 juta setiap tahun bagi melaksanakan program-program pembangunan bakat dan kemahiran untuk seluruh warga kerjanya di pelbagai peringkat jawatan.
Artikel kandungan berjenama ini disediakan oleh McDonald’s Malaysia
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].
