Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
SK Pulau Aman Terima Bot Baharu, Mudahkan Murid Dan Guru Berulang-Alik
Diterbitkan:  Nov 18, 2024 11:53 AM
Dikemaskini: Nov 21, 2024 2:44 AM

BATU KAWAN - Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Aman pada Sabtu menerima sebuah bot baharu bagi memudahkan akses kepada murid dan guru untuk berulang-alik ke sekolah.

Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Wan Sajiri Wan Hassan berkata, bot bernilai RM218,097 itu diberikan bagi menggantikan bot lama yang rosak. Sekolah berkenaan turut menerima sebuah treler bot bernilai RM30,000 menjadikan jumlah perolehan keseluruhan bagi pembelian bot berjumlah RM248,097.

"SK Pulau Aman ialah satu-satunya sekolah di Pulau Pinang yang menggunakan medium pengangkutan air untuk pergerakan guru dan pelajar. Bot sedia ada telah digunakan sejak 2014 sering rosak. Bagi pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Bahagian Perolehan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," katanya pada Majlis Penyerahan Bot Baharu. 

Pada majlis itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyerahkan replika kunci bot kepada Guru Besar SK Pulau Aman Rohayu Ibrahim selain penyerahan sumbangan kepada dua murid sekolah terbabit.

“Setahun yang lalu Guru Besar sekolah ini telah bertemu dengan saya dan menyatakan hasrat (penggantian bot untuk kegunaan murid serta guru).

“Hari ini kita telah pun menunaikan hasrat khususnya untuk memastikan isu-isu akses pendidikan di Pulau Aman ini dapat kita terjemahkan dalam konteks memastikan tiada siapa yang terpinggir,” katanya.

Wan Sajiri berkata sekolah terbabit mempunyai seramai 26 murid dan lapan guru namun enam murid dan tujuh guru berulang-alik setiap hari ke sekolah menaiki bot kerana tinggal di luar kawasan Pulau Aman. "Ini membuktikan komitmen besar kita dalam memastikan keselamatan murid dan guru, sudah tentu inisiatif (penyerahan bot) ini akan diperluas ke tempat-tempat lain dengan melihat kepada kapasiti, khususnya di kawasan pulau yang mempunyai sekolah dan guru kita," katanya.

KPM melalui JPN juga sedang meneliti untuk menamakan SK Pualu Aman sebagai sekolah digital ke arah melahirkan lebih ramai murid fasih digital yang mampu menggunakan teknologi secara bersepadu, kreatif, inovatif, bertanggungjawab dan beretika.


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS