Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
KPM lancar Garis Panduan PEERS tangani pelajar hamil luar nikah
Diterbitkan:  Nov 22, 2024 9:34 AM
Dikemaskini: Jan 8, 2025 3:57 AM

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melancarkan Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) Kebangsaan bagi membendung isu kehamilan remaja luar nikah yang semakin membimbangkan. 

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, penantian selama dua tahun untuk menjayakan kempen tersebut tercapai tepat pada waktunya memandangkan ketika ini negara berdepan pelbagai cabaran keganasan seksual termasuk terhadap kanak-kanak dan gadis muda.

Menurutnya, garis panduan itu sebagai rujukan kepada masyarakat khususnya, pendidik, ibubapa dan komuniti meluas bagi membantu meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan reproduktif serta menangani isu-isu berkaitan sosial.

“Selain daripada tepat dilancarkan dan perlu disebarluaskan, antara satu fokus utama adalah bagaimana ia akan mengukuhkan ekosistem, terutama dalam menjaga keselamatan anak-anak kita, terutamanya dari gangguan seksual dan melindungi maruah mereka.

“Adalah penting untuk mengajar anak-anak bagaimana berkata TIDAK terhadap gangguan dan bagaimana untuk memastikan bahawa mesej ini sampai kepada setiap orang,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran garis panduan di Sekolah Menengah Kebangsaan St. Mary Kuala Lumpur.

Menurutnya, garis panduan berkenaan akan diedarkan ke sekolah-sekolah dan pelbagai program kesedaran membabitkan ibu bapa dan komuniti akan diadakan susulan peningkatan isu terbabit.

“Kami berharap anak-anak kita akan bersedia untuk menjadi duta dan mengamalkan garis panduan ini.

“Saya yakin bahawa di masa depan, mereka akan memperjuangkan isu-isu ini dengan lebih baik daripada kami kerana pelbagai panduan tersedia, berbanding zaman dulu.

“Kita berharap mereka akan menjadi generasi lebih maju, cemerlang daripada kami dalam perkara yang berkaitan dengan kesihatan,” katanya.

Menurut Fadhlina, ini bukannya masa untuk berdebat mengenai data jumlah kehamilan luar nikah dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Namun, katanya dia percaya bahawa garis panduan itu adalah pendekatan tepat dalam memulakan tindakan bagi menangani dan mencegah kejadian berkaitan seksualiti yang tidak sesuai dalam kalangan pelajar.

“Garis panduan ini bertujuan mencapai lima objektif utama iaitu membantu pembentukan individu yang sihat dan sejahtera dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan muda.

“Pertama, membangunkan kemahiran insaniah yang berkaitan dengan kesihatan reproduktif dan sosial untuk semua lapisan masyarakat.

Kedua, memupuk sikap seimbang dan nilai positif dalam kalangan masyarakat mengenai kesihatan reproduktif dan sosial untuk kehidupan yang berkualiti, selamat, dan bertanggungjawab.

“Seterusnya, menyediakan maklumat dan panduan mengenai pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial kepada semua lapisan masyarakat serta menggalakkan pelibatan ibu bapa, guru, komuniti dan pihak berkepentingan lain dalam penyampaian pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial.

“Akhir sekali, untuk menyokong pembangunan individu yang sihat dan sejahtera dalam masyarakat, khususnya dalam kalangan belia,” katanya.


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS