Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
RMHC Malaysia Sumbang 10,000 Pek Kembali ke Sekolah untuk Kanak-Kanak Kurang Berkemampuan
Diterbitkan:  Dec 9, 2024 2:44 PM
Dikemaskini: 6:44 AM

TAMPIN: Hampir 200,000 kanak-kanak di seluruh negara telah menerima Pek Kembali ke Sekolah daripada Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) sejak inisiatif ini dimulakan pada tahun 2017.

Bagi tahun ini, RMHC Malaysia meletakkan sasaran untuk mengagihkan 10,000 Pek Kembali Ke Sekolah kepada kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan di seluruh negara, dengan perbelanjaan sekitar RM1 juta. Sasaran ini merangkumi murid prasekolah yang akan memasuki Tahun 1 pada 2025. Pengagihan pek sedang dijalankan secara berperingkat dan dijangka selesai sebelum sesi persekolahan Mac depan.

Yayasan Jaafar Ahmad bersama RMHC Malaysia tampil menaja 350 anak-anak prasekolah 

Pek Kembali ke Sekolah RMHC Malaysia merangkumi beg sekolah serta dilengkapi dengan keperluan asas seperti pakaian seragam sekolah dan lain-lain.

RMHC Malaysia baru-baru ini melancarkan program terasnya, Program Pek Kembali ke Sekolah, di Felda Pasir Besar, Negeri Sembilan.

"Sepanjang pelaksanaan program ini, kami menerima banyak maklum balas positif daripada ibu bapa, guru, dan pihak sekolah. Program ini sentiasa dinantikan oleh kanak-kanak setiap tahun. Apabila mereka mendapat kelengkapan persekolahan baharu, semangat mereka untuk ke sekolah dan belajar meningkat," kata Dato’ Haji Azmir Jaafar, Presiden RMHC Malaysia.

Beliau juga pengasas Yayasan Jaafar Ahmad (YJA) berkata usaha ini diteruskan dengan sokongan rakan korporat dan individu yang komited setiap tahun. YJA juga sering menjadi rakan penaja di Negeri Sembilan dan pada kali ini, dianggarkan 1,000 murid akan menerima manfaat tersebut. Dalam pada itu, beliau berkata YJA menyumbang RM50,000 kepada RMHC Malaysia untuk 350 kanak-kanak daripada 11 sekolah rendah dan empat Tabika KEMAS di daerah Tampin tahun ini.

Zainudin Jaafar, Penasihat Yayasan Jaafar Ahmad berkata, “Sebagai anak jati Negeri Sembilan, kami sekeluarga sentiasa ingin menabur bakti kepada negeri kelahiran dan masyarakat di sini. Sumbangan Pek Kembali ke Sekolah pada hari ini adalah sebahagian daripada usaha keluarga saya untuk memastikan kanak-kanak yang memerlukan mendapat akses pendidikan yang adil dan saksama, dan berjaya dalam alam persekolahan.”

Menurut Mohd Nasri Nordin, Pengurus Besar RMHC Malaysia, RMHC Malaysia bekerjasama dengan Mydin untuk mengagihkan Pek Kembali ke Sekolah kepada penerima di seluruh negara. Pihak sekolah turut membantu dengan menyediakan senarai murid yang memerlukan bantuan ini. Beliau berkata kerjasama RMHC Malaysia dan YJA melibatkan pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan di Negeri Sembilan.

“Dalam keadaan ekonomi yang agak mencabar, terutama terhadap ibu bapa yang mempunyai pendapatan tidak tetap, bantuan ini dapat menolong ibu bapa dalam persediaan awal sebelum pembukaan sekolah. Sebahagian besar sumbangan yang diberikan oleh pihak RMHC Malaysia dan YJA telah memberikan manfaat besar kepada warga sekolah, seperti smart TV untuk sesi pembelajaran. Bagi pihak sekolah SK Felda Pasir Besar, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak YJA dan RMHC Malaysia atas sokongan yang diberikan,” kata Aznizam Mohd Noor, Guru Besar SK Felda Pasir Besar.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak RMHC Malaysia dan YJA atas sumbangan yang amat bermakna ini. Sumbangan tersebut bukan sahaja memberikan manfaat kepada penerima, tetapi juga menunjukkan komitmen kedua-dua pihak dalam membantu masyarakat di Negeri Sembilan,” kata Shikin, 37, Suri Rumah.

Di peringkat global, RMHC baru-baru ini telah menyambut ulangtahunnya yang ke-50 dalam
menyentuh kehidupan kanak-kanak dan keluarga di seluruh dunia. Khusus di Malaysia, RMHC telah beroperasi selama 34 tahun dan berazam untuk terus menambah baik perkhidmatan sokongannya kepada kanak-kanak yang memerlukan demi meningkatkan kesejahteraan mereka, sama ada melibatkan aspek kesihatan mahupun pendidikan.


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS