Menaikkan siling ekonomi negara memerlukan anjakan berani untuk merubah struktur ekonomi agar Malaysia menuju status negara berpendapatan tinggi dalam tempoh beberapa tahun lagi.
Menurut Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, Belanjawan 2025 menzahirkan usaha kerajaan untuk membawa Malaysia mara sebagai sebuah negara yang menawar nilai tambah dan mempunyai daya tinggi relatif kepada negara-negara berpendapatan tinggi.
“Pertumbuhan berterusan akan memastikan kita dapat merealisasi impian capai negara berpendapatan tinggi.
“Negara kita berada dalam perangkap pendapatan pertengahan sejak tahun 1992 hingga kini.
“Untuk keluar daripada perangkap ini dan mencapai pendapatan yang lebih tinggi, adalah penting bagi negara untuk meningkatkan pendapatan negara secara keseluruhan,” katanya.

Tambah Mohd Afzanizam, sistem pendidikan yang berkualiti tinggi bukan saja meningkatkan kemahiran dan produktiviti tenaga kerja, ia juga mendorong inovasi dan perkembangan teknologi.
Belanjawan 2025 menyaksikan peruntukan untuk Kementerian Pendidikan Tinggi meningkat sebanyak 10.76 peratus kepada RM18.1 bilion berbanding tahun lalu manakala sebanyak RM64.1 bilion kepada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Belanjawan 2025 juga menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh dan memperluas sistem pendidikan serta memperkasa Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melahirkan modal insan tempatan berdaya saing dan memenuhi keperluan industri semasa.
Menurut Mohd Afzanizam, ia bagi menggalakkan pelaburan dan memperkukuh industri tempatan supaya lebih inovatif dan berdaya saing serta mampu melonjak ke pasaran global.
“Ia akan memastikan tenaga kerja yang lebih berkemahiran untuk meningkatkan produktiviti negara serta mempercepatkan transisi Malaysia ke dalam ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi,” katanya.

Katanya, melalui pendekatan peningkatan siling, kerajaan berpeluang melabur lebih banyak dalam teknologi baru termasuk kecerdasan buatan (AI) yang akan memacu produktiviti dalam pelbagai sektor ekonomi.
“Selain aspek pendidikan, sudah pasti ia berkait rapat dengan pelaburan dalam kalangan sektor swasta terutama apabila bercakap mengenai perkembangan teknologi begitu pesat AI.
“Bagaimana perubahan landskap trend terbaru itu perlu diraikan dengan memastikan pelaburan dilaksanakan oleh pihak swasta akan terurus.
“Kerajaan perlu sediakan satu platform yang kondusif bagi pihak swasta untuk meningkatkan pelaburan dalam aspek teknologi terutama kecerdasan AI,” katanya.
Menurut Mohd Afzanizam, untuk meningkatkan daya saing negara bagi meletakkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi rantau Asia, penstrukturan ekonomi merujuk kepada bagaimana kelima-lima sektor utama seperti pertanian, perlombongan, pembinaan pembuatan dan perkhidmatan menggunakan tenaga buruh mereka.
Belanjawan 2025 memperuntukkan jumlah terbesar dalam sejarah iaitu sebanyak RM421 bilion. Daripada jumlah tersebut, RM86 bilion disediakan untuk perbelanjaan pembangunan.
Ini juga ditambah dengan RM9 bilion projek-projek di bawah inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dan komitmen pelaburan langsung domestik oleh syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), membawa jumlah pelaburan daripada jentera kerajaan sebanyak RM120 bilion.
Perangkaan Belanjawan 2025 merupakan kesinambungan usaha kerajaan untuk mencapai wawasan Ekonomi MADANI yang ingin mengangkat Malaysia menjadi peneraju ekonomi di Asia dalam jangka masa sederhana.
Visi itu berteraskan tiga teras yang saling berkait rapat untuk memajukan negara, iaitu menaikkan siling (meningkatkan potensi pertumbuhan ekonomi dan daya saing industri tempatan), menaikkan lantai (menambah baik mutu hidup dan darjat rakyat) dan tatakelola baik dan reformasi perkhidmatan awam.
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].
