Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Memperkukuh Ruang Digital untuk Melindungi Rakyat
Diterbitkan:  Jan 13, 2025 10:32 AM
Dikemaskini: 2:38 AM

Peningkatan penggunaan peranti, khususnya dalam kalangan golongan muda dan kanak-kanak, meningkatkan risiko pendedahan kandungan berbahaya di ruang siber. Ancaman seperti jenayah siber, eksploitasi seksual, kandungan palsu, dan buli dalam talian menjadi cabaran yang perlu ditangani bagi melindungi masyarakat.

Sehingga kini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerima sebanyak 4,699 permohonan untuk menurunkan kandungan melibatkan perjudian dalam talian dan penipuan sejak 1 Jan tahun ini.

Kerajaan juga sedang berusaha untuk mengekang ancaman penipuan yang melibatkan penyebaran video dan imej palsu atau 'deepfake' yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (Al). Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata antara langkah yang telah diambil ialah pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang telah diluluskan pada Disember tahun lalu.

Integrasi Literasi Digital di Sekolah

Menurut Dr Benjamin Loh Yew Hoong, Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi, Malaysia perlu memperkukuhkan integrasi literasi digital dalam silibus sekolah, termasuk pengajaran tentang tanggungjawab penggunaan dalam talian. Beliau berpendapat bahawa penting untuk mendefinisikan isu buli siber dengan lebih jelas agar netizen dapat memahami batasan yang wajar dan berinteraksi secara bertanggungjawab. Dua rang undang-undang (RUU) yang diluluskan tahun lepas untuk menangani isu buli, termasuk buli dalam talian, adalah satu inisiatif yang baik oleh kerajaan.

Dr. Rani Ann Balaraman, Pensyarah Kanan Kewartawanan di USM, juga menggesa pendidikan literasi digital perlu dimulakan dari peringkat awal dan menekankan bahaya kewartawanan rakyat apabila maklumat tidak benar disebar untuk mencetuskan sentimen negatif. Beliau mencadangkan pelaksanaan program pendidikan untuk golongan ‘influencer’ dan wartawan rakyat bagi memastikan penciptaan kandungan yang beretika.

Pensyarah Kanan Komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM), Syed Agil Alsagoff, berkata dalam usaha memperkukuh keselamatan siber negara, peranan setiap individu juga adalah penting. Walaupun kerajaan boleh melaksanakan dasar dan undang-undang yang ketat, langkah-langkah ini tidak akan berkesan sepenuhnya tanpa kesedaran dan tanggungjawab peribadi setiap pengguna internet.

“Penguatkuasaan Akta Keselamatan Siber yang baru-baru ini diwartakan harus dilaksanakan dengan lebih teliti, mengambil kira setiap aspek teknikal yang berkaitan, termasuk teknologi akses, kandungan digital, serta keselamatan data. Ini adalah untuk memastikan perlindungan yang optimum terhadap keselamatan pengguna, sekaligus menjaga integriti sistem serta mencegah ancaman siber yang berpotensi merugikan. Pemantauan dan penambahbaikan berterusan adalah penting bagi memastikan bahawa Akta ini dapat dijalankan secara efektif dan responsif terhadap perubahan dalam landskap teknologi siber yang pesat berkembang”.

“Untuk memastikan akses digital kekal selamat dan inklusif untuk semua rakyat Malaysia, Kerajaan MADANI telah memperkenalkan beberapa dasar seperti MyDigital, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, JENDELA (Jalinan Digital Negara), Inisiatif Digital Malaysia, dan Keselamatan Siber,” katanya.

Antara langkah tambahan yang dicadangkan adalah kempen kesedaran keselamatan siber secara nasional, seperti "National Cyber Safety Month", yang melibatkan bengkel, media sosial, serta sesi interaktif di sekolah dan pusat komuniti. Ini bertujuan untuk mengurangkan kadar jenayah siber dan memupuk budaya kewaspadaan dalam talian. Selain itu, pelaburan dalam infrastruktur keselamatan siber perlu ditingkatkan dengan membangunkan sistem pengesanan ancaman berasaskan AI untuk sektor kritikal, mengambil inspirasi daripada kejayaan Singapura.

Pengesahan dua faktor (2FA) harus diperluaskan melalui kempen pendidikan untuk platform kerajaan, perbankan, dan e-dagang. Pendidikan keselamatan siber di sekolah juga perlu diperkasakan dengan memperkenalkan modul keselamatan siber dalam kurikulum sekolah menengah, dengan sokongan daripada Kementerian Pendidikan dan CyberSecurity Malaysia.

Meskipun langkah-langkah kerajaan dan pihak berkuasa sudah dilaksanakan untuk menangani ancaman keselamatan siber, usaha bersama antara kerajaan, sektor pendidikan, dan masyarakat amat diperlukan untuk memerangi isu ini secara menyeluruh. Pengintegrasian literasi digital dalam silibus sekolah serta kempen kesedaran keselamatan siber dapat membantu membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan beretika dalam penggunaan teknologi.


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS