Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Kerjasama kerajaan, penyedia perkhidmatan dalam talian, dan masyarakat kunci tangani jenayah siber
Diterbitkan:  Feb 4, 2025 2:48 PM
Dikemaskini: 6:48 AM

Penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial perlu memainkan peranan penting dalam menyediakan sistem pemantauan proaktif yang dapat mengenal pasti dan menghapus kandungan berbahaya.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Pulau Pinang, Syerleena Abdul Rashid berkata, dengan perkembangan teknologi dan transformasi digital yang pesat, jenayah seperti penipuan, pemerdagangan manusia, pornografi kanak-kanak dan penyebaran berita palsu kini semakin beralih ke platform dalam talian.

Menurutnya, hal itu menjadikan undang-undang sedia ada kurang relevan dalam menghadapi cabaran baharu dan kerajaan perlu memberi tumpuan kepada mengemaskini Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 (Akta 588) untuk memastikan ia sejajar dengan ancaman digital terkini.

Justeru, beliau berkata, selain mematuhi undang-undang tempatan dengan memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP (C)) untuk beroperasi di negara ini, penyedia platform yang relevan perlu bekerjasama memberikan maklumat penting kepada pihak berkuasa serta memastikan langkah keselamatan tambahan untuk melindungi pengguna. 

“Pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) harus terus menguatkuasakan undang-undang serta memastikan peraturan sedia ada dikemas kini untuk menangani ancaman moden. 

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid mencadangkan penyedia platform bekerjasama memberikan maklumat penting kepada pihak berkuasa

“Selain itu, mereka perlu bekerjasama dengan pihak lain dalam membina rangka kerja pengawalseliaan yang lebih jelas dan mempercepatkan proses pelaporan serta tindakan terhadap pelaku jenayah dalam talian.

“Kerjasama erat antara pihak berkuasa, penyedia perkhidmatan digital, dan masyarakat adalah kunci untuk mencapai keberkesanan optimum dalam menangani isu-isu seperti jenayah dalam talian, buli siber, eksploitasi seksual dan penipuan siber,” katanya.

Menurut beliau, langkah pelesenan di bawah akta berkenaan turut berpotensi memberi kuasa tambahan kepada pihak berkuasa dan memastikan MCMC dilengkapi dengan teknologi terkini untuk mengesan dan menangani pelanggaran undang-undang.

“Penggunaan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) dan analitik data besar bertujuan mengenal pasti aktiviti mencurigakan dan mengambil tindakan lebih pantas sebelum kerosakan lebih besar berlaku.

“Saya juga melihat Akta 588 sebagai satu rangka perundangan yang sangat penting kerana ia boleh menjadi alat berkesan khususnya untuk mengesan dan mendakwa pelaku penganiayaan seksual kanak-kanak secara dalam talian melalui peruntukan mengenai kawal selia kandungan,” katanya.

Syerleena menyokong Akta 588 sebagai alat perundangan penting untuk mengesan dan mendakwa pelaku penganiayaan seksual kanak-kanak

Menurut beliau, selain itu, dalam konteks menangani jenayah siber dan kerjasama antarabangsa, pindaan tersebut memberi banyak ruang untuk kerjasama yang lebih efektif antara agensi penguatkuasa undang-undang di Malaysia dengan platform antarabangsa.

Katanya, akta tersebut juga boleh dijadikan asas bagi negara ini membangunkan kerangka kerjasama serantau dan global.

“Oleh kerana banyak penipuan dan jenayah siber melibatkan pelaku antarabangsa, kerjasama rentas sempadan dengan negara-negara lain dan badan antarabangsa juga amat penting,” katanya.

Menurut beliau, walaupun terdapat undang-undang, masyarakat tetap perlu mempunyai kesedaran terhadap keselamatan siber kerana tanpa pengetahuan, mereka mudah menjadi mangsa.

Katanya, mungkin ramai tidak menyedari bahawa tindakan seperti berkongsi maklumat peribadi secara berlebihan atau membuka pautan yang mencurigakan boleh membawa kepada risiko penipuan, pencurian identiti, atau serangan siber.

Literasi digital perlu diperkasa bagi membantu pengguna mengenal pasti risiko dalam talian 

“Setiap pihak mempunyai peranan yang unik dan saling melengkapi dalam usaha ini termasuk menambah lagi kempen kesedaran terhadap ibu bapa dan penjaga.

“Literasi digital perlu diperkasa bagi membantu pengguna mengenal pasti risiko dalam talian dan perlu ada tindakan pantas melaporkan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia dan Kanun Keseksaan berkaitan buli siber dalam dan luar talian yang diluluskan Dewan Rakyat Disember tahun lalu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim baru-baru ini.

Pada 27 Julai tahun lalu, MCMC mengumumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurang 8 juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon lesen untuk beroperasi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS