SELAYANG, 3 Februari 2025 – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merupakan agensi yang bertanggungjawab terhadap pemasaran hasil pertanian negara. FAMA telah mengambil langkah proaktif bagi menangani isu kekurangan bekalan kelapa di pasaran tempatan dengan melaksanakan pelan intervensi bagi memastikan kestabilan bekalan dan harga kelapa, khususnya menjelang musim perayaan.
Selaras dengan iltizam kerajaan dalam memastikan pembekalan ini dapat diteruskan, ketika ini, FAMA telah dipertanggungjawabkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebagai salah satu usaha bagi memastikan bekalan tersebut berada di pasaran.
Melalui pelan intervensi pemasaran kelapa, FAMA telah mengenal pasti kawasan bekalan baharu kelapa di Sabah dan Sarawak. FAMA akan membawa masuk kelapa sebanyak 64 metrik tan (mt) setiap minggu mulai Februari 2025 ke pasaran Semenanjung bagi menampung permintaan domestik.
Dalam usaha menambah bekalan kelapa, FAMA melalui anak syarikatnya, FAMA Corporation Sdn Bhd, telah meningkatkan pembelian kelapa dari Kepulauan Riau, Indonesia daripada 180 metrik tan (mt) sebelum ini kepada 240 metrik tan (mt) sebulan bermula Disember 2024. Bekalan tambahan baharu juga telah dikenal pasti dari Palembang sebanyak 84 metrik tan (mt) seminggu akan dibawa masuk bermula Februari 2025 dan akan diedarkan ke 42 Pusat Operasi FAMA seluruh Malaysia.
Bekalan ini juga akan ditempatkan di tiga Pusat Pengedaran (DC) utama FAMA iaitu di Pusat Operasi FAMA Dengkil, Pusat Operasi FAMA Simpang Pulai dan Pusat Operasi FAMA Senawang. Bekalan ini sedang diedarkan ke 509 outlet peruncitan FAMA seperti Pasar Tani, Agrobazaar Rakyat, Pasar Tani Kekal (PTK) dan lain-lain termasuk 212 usahawan santan.
Bagi memperkukuh rantaian bekalan tempatan, FAMA berkerjasama dengan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk mengumpul bekalan daripada pekebun-pekebun kecil melalui Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP) di empat buah negeri iaitu Johor, Terengganu, Negeri Sembilan dan Perak. Langkah ini membolehkan pemasaran kelapa dilakukan dengan lebih sistematik dan memberi pulangan yang lebih baik kepada pekebun kecil tempatan.
Dalam perancangan jangka panjang, FAMA akan berkerjasama dengan Jabatan Pertanian dalam usaha meningkatkan keluasan tanaman sebanyak 2500 hektar bagi tempoh lima tahun melalui program tanaman baru dan pemulihan kawasan menerusi tanaman semula menggunakan benih yang berkualiti tinggi.
FAMA juga akan terus bekerjasama dengan pemain industri bagi memastikan rantaian bekalan kelapa kekal mampan serta mampu memenuhi keperluan pengguna.
Dengan pelaksanaan pelan intervensi pengedaran kelapa oleh FAMA ini, ia dapat membantu pengguna, pengusaha santan, pemborong dan peruncit untuk menangani isu kekurangan bekalan dan ketidakstabilan harga kelapa.
Kandungan ini disediakan oleh Cawangan Korporat & Advokasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
